Kapal Tangki Malaysia Ditemui Di Perairan Teluk Siam

Oleh H. Aleeya
2015.06.18
150618-MY-ORKIMLANUN620 Kapal tangki Malaysia "MT Orkim Harmony" yang ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat Malaysia dan Australia di perairan Teluk Siam berhampiran Kemboja. 18 Jun 2015
Tentera Laut Diraja Malaysia

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Abdul Aziz Jaafar mengesahkan sekurang-kurangnya lapan orang perampas bersenjata dilihat berada diatas kapal tangki Malaysia “MT Orkim Harmony” semasa kapal itu ditemui di perairan Teluk Siam pada Rabu petang.

Katanya, kapal itu dikesan oleh pesawat peninjau Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) P3 Orion, yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat bersama TLDM dan Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan Teluk Siam, berhampiran Kemboja, iaitu kira-kira 210 batu nautika utara Pulau Redang.

“Kesemua perampas yang bersenjatakan pistol dan parang berada diatas kapal, dan kesemua anak kapal selamat,” kata Abdul Aziz dalam twitter milik beliau pada Khamis.

“Kapal perang Malaysia, KD Terengganu berjaya memintas kapal tangki itu, serta dapat berkomunikasi dengan kapten kapal dan melalui perbualan itu, kesemua anak kapal disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambah beliau.

Beliau berkata, perampas tidak membenarkan TLDM dan APMM menghampiri kapal berkenaan, dan pasukan itu mengawasi kapal berkenaan dari jarak lima batu nautika dari kapal itu.

Perundingan masih berjalan

“TLDM juga sedang berunding dan memujuk perampas supaya menyerah diri dan berjanji mereka tidak akan diapa-apakan,” katanya.

Beliau berkata sebahagian serombong kapal yang berwarna biru dicat kepada warna hitam, manakala perkataan "Orkim Harmony" telah dicat dan dikaburkan menjadi "Kim Harmon."

Kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang berlayar dari Melaka ke Kuantan apabila dirampas.

Kali terakhir kapal itu dikesan ialah pada kedudukan 31.5km (17 batu nautika) dari Pulau Aur  di antara Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor  pada 11 Jun lepas.

Kapal tangki itu, turut membawa seramai 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk kaptennya, Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Abdul Aziz berkata, perampas kapal itu bertutur dalam bahasa Melayu loghat Indonesia, dipercayai mahu menjual minyak RON95 itu kepada sindiket tertentu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar percaya muatan petrol dalam kapal itu tidak terjejas setelah ia disahkan sendiri oleh pemilik kapal yang dipanggil bagi membuat pengecaman selepas kapal itu ditemui pada Rabu.

Berdasarkan gambar yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik RAAF, pemilik kapal mengesahkan kedudukan paras muatan 6,000 tan metrik petrol yang dibawa kapal kekal.

Ahmad Puzi berkata, proses rundingan yang dijangka mengambil sedikit masa itu, dilaksanakan secara profesional oleh jururunding terlatih bagi memastikan penjenayah meletak senjata dan menyerah tanpa syarat.

Alih arah berlayar

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Muda Azahari Abdul Rashid sebagai berkata, kapal tangki yang sedang diawasi TLDM itu dilaporkan beralih arah belayar ke timur Indonesia menuju ke Kepulauan Natuna.

Katanya, kumpulan perampas yang bersenjata itu dipercayai berbuat demikian untuk melepaskan diri, selain meminta pihak penguatkuasa Malaysia untuk menyediakan bot apabila mereka sampai di Pulau Natuna kelak.

"Proses rundingan masih berjalan...apabila sampai di Pulau Natuna, mereka (perampas kapal) meminta disediakan sebuah bot untuk mereka melepaskan diri sementara pihak TLDM masih mengiringi kapal tangki itu ke sana.

"Kapal itu dijangka sampai ke pulau berkenaan pada Sabtu pagi dan TLDM juga telah memaklumkan pihak penguatkuasa Maritim Indonesia mengenai perkara itu," katanya

Sementara itu, Bernama melaporkan Samsiah Baba, 60, ibu kepada Nor Fazly, kapten kapal itu, sebaagi berkata, beliau berasa lega apabila mendapat berita kapal berkenaan telah ditemui dan kesemua anak kapalnya selamat, namun pada masa sama hatinya masih berasa bimbang.

"Selagi makcik tidak lihat anak makcik di depan mata, selagi itu hati makcik belum lega sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.