Ketua Pembangkang: Pakatan Rakyat Berkubur

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.17
150617-MY-PRK620 Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim (pada waktu itu) berjabat tangan dengan pemimpin kanan parti Azmin Ali selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Subang Jaya, Selangor. 17 Ogos 2014.
AFP

Ketua Pembangkang Malaysia Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu, mengakui gabungan Pakatan Rakyat sudah berkubur secara rasmi berikutan keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memutuskan hubungan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) semasa muktamar parti itu, awal bulan ini.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61, tindakan tersebut telah mencetuskan kepada pengumuman Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP untuk menamatkan riwayat Pakatan Rakyat yang PKR anggap satu tindakan tergesa-gesa,

“Ekoran dari itu, gabungan politik Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formal,” kata Wan Azizah yang juga Presiden PKR dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu malam.

Ahli paling kuat dalam pakatan pembangkang Malaysia, DAP pada Selasa telah menarik diri daripada Pakatan Rakyat, sekaligus mengakhiri perikatan selama tujuh tahun dengan dua parti pembangkang iaitu PAS dan PKR.

Tindakan keluar daripada pakatan itu, merupakan tindak balas terhadap resolusi rakan pembangkangnya PAS, semasa muktamar parti itu, yang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa mengumumkan penarikkan diri parti itu daripada Pakatan Pembangkang pada Selasa berkata, "Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menerima usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan berkuatkuasa daripada itu, Pakatan Rakyat tidak lagi wujud,"

"Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh tiga parti berkenaan berdasarkan konsensus dan terikat dengan Rangka Kerja Polisi Bersama, usul Muktamar PAS secara berkesan telah membunuh Pakatan Rakyat. Oleh itu Pakatan Rakyat tidak lagi wujud," kata Guan Eng.

Dalam pada itu, sejak beberapa bulan lepas, DAP dan PAS bertegang leher berhubung isu hudud.

PAS menyarankan supaya hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, negeri yang dikuasainya, untuk umat Islam sahaja. Mengikut hudud, pesalah akan menghadapi hukuman keras di bawah undang-undang syariah termasuk pemotongan tangan dan direjam dengan batu.

Perintis usaha permuafakatan

“PKR akan terus merintis usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional,” kata Wan Azizah

“PKR sangat menghargai permuafakatan yang digembleng bersama dengan PAS dan DAP sebelum ini dan dukungan padu rakyat yang melonjakkan Pakatan Rakyat sehingga mendapat sokongan 52 peratus pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“PKR bersyukur atas semangat dan permuafakatan Pakatan Rakyat dan terus memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor Azmin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob,” tambah Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tubuh permuafakatan baru

Sementara itu Ahli Parlimen Sepang yang juga seorang pemimpin PAS yang disingkir dalam Muktamar PAS ke-61 menegaskan pemuafakatan baru perlu dibentuk kerana Pakatan Rakyat telah berkubur.

“Kita kena menerima bahawa Pakatan Rakyat merupakan pakatan yang tidak boleh dipertahankan lagi, ia amat menyedihkan tetapi kita perlu menerimanya dan perlu ada pemuafakatan baru dibentuk untuk melaksanakan aspirasi rakyat,” katanya.

Pengumuman DAP, untuk keluar daripada pakatan pembangkang juga menyebabkan kemelut politik tidak menentu di peringkat nasional dan mengeruhkan suasana politik di Malaysia.

Barisan pakatan pembangkang itu, berjaya memenangi undi popular dalam pilihan raya umum 2012, namun barisan parti pemerintah dan Perdana Menteri Najib Razak masih terus memegang tampuk kuasa melalui amalan "gerimander" atau memanipulasi kawasan-kawasan pilihan raya.

Di peringkat persekutuan, DAP, dengan keahlian yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina Malaysia, memiliki 37 kerusi di Parlimen berbanding 28 dan 21 kerusi yang masing-masing disandang oleh PKR dan PAS.

H. Aleeya dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.