Malaysia dan Singapura Mula Berpuasa Khamis Ini

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.17
150617-MY-RAMADAN620 Umat Islam di Malaysia berbuka puasa pada bulan Ramadan yang mulia di perkarangan kawasan Masjid Putrajaya. 16 Julai 2014.
AFP

Umat Islam di Malaysia dan Singapura mula berpuasa pada Khamis ini. Kedua-dua negara mengumumkan tarikh permulaan puasa pada Selasa lalu.

Di Malaysia, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad membuat pengumuman secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan Ramadan berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Khamis, 18 Jun 2015, ” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di laman web rasminya.

Sementara itu, Mufti Singapura, Dr. Mohamed Fatris Bakaram yang mengumumkan permulaan berpuasa dalam satu kenyataan berkata, menurut kiraan falak, anak bulan Ramadan pada malam Selasa, tidak memenuhi kriteria yang dipersetujui bersama oleh negara-negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

Oleh yang demikian, katanya, Rabu adalah hari terakhir bulan Syaaban dan Ramadan bermula pada Khamis.

Beliau mengucapkan Ramadan al-Mubarak kepada setiap umat Islam di Singapura.

"Dalam bulan yang penuh berkat ini, saya menyeru setiap umat Islam mengambil peluang memupuk ikatan keluarga yang lebih erat dan menjalankan ibadat seperti bersahur di samping beriftar dan mengerjakan solat malam bersama sebagai satu keluarga.

"Semoga Allah memberi kita petunjuk untuk melakukan ibadat dengan penuh tawaduk dan mempertingkat iman kita," kata beliau.

Cuaca panas

Sementara itu, Malaysia diramal akan mengalami keadaan cuaca panas dengan taburan hujan yang sedikit sepanjang bulan Ramadan tahun ini, demikian menurut ramalan Jabatan Meteorologi negara itu.

Agensi Berita Nasional (Bernama) melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata suhu pada bulan Ramadan yang bermula pertengahan Jun diramalkan sekitar 33 hingga 35 darjah Celsius (91-95 Fahrenheit) di samping keadaan hujan yang kurang daripada biasa.

"Suhu biasa di Malaysia adalah sekitar 30 darjah celsius (86 Fahrenheit) tapi untuk puasa tahun ini, kita ramalkan agak panas sedikit mungkin sampai 35 darjah Celsius (95 Fahrenheit)," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri Terengganu telah menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras gejala 'kaki ponteng puasa' pada bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata pasukan khas itu ditubuhkan bagi memastikan umat Islam di negeri  berkenaan mematuhi syariat Islam pada bulan Ramadan.

"Pasukan khas ini akan menjalankan pemeriksaan dan serbuan di kedai-kedai dan restoran yang beroperasi pada siang hari sebelum pukul dua petang yang mana kita tak akan benarkan restoran dan kedai terutamanya milik orang Islam beroperasi sebelum pukul dua petang.

"Kita juga akan membuat penangkapan terhadap orang Islam yang baligh tak kira lelaki atau perempuan yang didapati makan pada siang hari di tempat awam," katanya pada Isnin lepas.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Rabu, dalam cacatan terbaru di laman Twitternya, berharap ibadah puasa yang dilaksanakan semua umat Islam pada bulan mulia itu diterima oleh Allah.

"Selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarrak kepada semua Muslimin dan Muslimat. Moga ibadah puasa saudara dan saudari diterima Allah," katanya.

Sementara itu, portal berita M-Star melaporkan, gerai-gerai yang menjual ikan kering dan telur masin menjadi tumpuan orang ramai di Pasar Besar Alor Setar, sejak beberapa hari lepas, sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Oleh Staf BeritaBenar dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.