Follow us

Filipina Sambut Baik Ketegasan AS Mengenai Laut China Selatan

Luis Liwanag, Jojo Rinoza, Tia Asmara & Ronna Nirmala
Manila dan Jakarta
2020-07-14
E-mel
Komen
Share
Ahli-ahli kesatuan pekerja dan aktivis Kilusang Mayo Uno (Gerakan Buruh 1 Mei) mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di Bandar Makati, Metro Manila, bagi membantah kehadiran berterusan China  di Scarborough Shoal di Laut China Selatan serta perjanjian anti-pekerja yang ditandatangani oleh Filipina dan China, 30 November 2019.
Ahli-ahli kesatuan pekerja dan aktivis Kilusang Mayo Uno (Gerakan Buruh 1 Mei) mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di Bandar Makati, Metro Manila, bagi membantah kehadiran berterusan China di Scarborough Shoal di Laut China Selatan serta perjanjian anti-pekerja yang ditandatangani oleh Filipina dan China, 30 November 2019.
[Jojo Rinoza/BeritaBenar]

Filipina pada Selasa menyokong pendirian lebih tegas Washington terhadap Laut China Selatan manakala Indonesia menganggapnya sebagai "normal", sehari selepas diplomat tertinggi Amerika Syarikat (A.S) menyatakan bahawa dunia tidak akan membenarkan Beijing memperlakukan laluan perairan yang menjadi pertikaian itu sebagai "empayar maritimnya."

Di Manila, ketua pertahanan Filipina menyambut baik kenyataan Setiausaha Negara A.S Mike Pompeo, yang berjanji bahawa Amerika Syarikat akan bersama-sama sekutunya di Asia Tenggara "dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber luar pesisir." Tetapi pegawai kerajaan di negara jiran, Malaysia, yang turut membuat tuntutan di Laut China Selatan, enggan mengulas kenyataan Pompeo.

Filipina sedang mendesak Beijing supaya mematuhi gesaan komuniti antarabangsa, demi ‘kepentingan kestabilan serantau’, kata Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana, yang menyuarakan kebimbangannya berhubung pergerakan kapal-kapal laut China di kawasan Laut China Selatan.

"Kami amat bersetuju dengan pendirian komuniti antarabangsa bahawa perlu ada perintah berdasarkan peraturan di Laut China Selatan," kata Lorenzana dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengulangi gesaan Manila supaya Beijing mematuhi penghakiman mahkamah timbang tara antarabangsa di The Hague pada Julai 2016, yang memihak kepada Filipina serta membatalkan tuntutan meluas Beijing terhadap Laut China Selatan.

"Kami mendesak China supaya mematuhi keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) dan mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dengan ia adalah antara negara yang menandatanganinya," kata Lorenzana.

Filipina juga mendesak supaya dimuktamadkan segera kod tata laku "substantif" di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber-sumber mineral bagi mengelak ketegangan daripada terus meningkat, kata setiausaha pertahanan itu.

Pada Selasa juga, bekas setiausaha luar Filipina memberitahu sebuah forum dalam talian yang disertai pakar-pakar tentang Laut China Selatan bahawa Filipina harus membawa isu penghakiman mahkamah pada 2016 ke peringkat antarabangsa dengan membangkitkan tentangnya sebelum sesi ke-75 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada September depan.

"Ini akan menjadi masa paling tepat kerana sessi UNGA yang akan datang adalah berhubung komitmen terhadap multilateralisme," kata Albert del Rosario.

"Kami percaya penghakiman itu akan mendapat sokongan pelbagai hala kerana ia memberi manfaat kepada negara-negara pesisir di Laut China Selatan, yang daratan dan lautnya diceroboh oleh 'sembilan garisan putus-putus' China," kata del Rosario, yang merujuk kepada garisan pada peta rasmi China bagi menggambarkan tuntutan wilayahnya di Laut China Selatan.

Selain China dan Filipina, negara lain yang turut membuat tuntutan di wilayah maritim itu ialah Taiwan, Brunei, Malaysia dan Vietnam.

Indonesia dan Malaysia

Indonesia, negara terbesar di Asia Tenggara, tidak membuat tuntutan rasmi di wilayah itu. Namun, ketegangan timbul antara Jakarta dan Beijing berikutan kehadiran kapal-kapal nelayan China di luar Kepulauan Natuna, sebuah rantaian pulau Indonesia di kawasan selatan Laut China Selatan, pada awal 2010 dan 2016.

Pompeo memperkatakan tentang Kepulauan Natuna dalam kenyataannya itu, dengan menyatakan bahawa tuntutan Beijing terhadap sumber-sumber luar pesisir di sebahagian besar kawasan Laut China Selatan sebagai "tidak sah langsung."

"Amerika Syarikat menolak sebarang tuntutan maritim oleh RRC di perairan di sekitar Tebing Vanguard (di luar Vietnam), Luconia Shoals (di luar Malaysia), perairan di EEZ Brunei dan Natuna Besar (di luar Indonesia)," katanya yang merujuk kepada Republik Rakyat China.

"Sebarang tindakan RRC untuk mengganggu penangkapan ikan atau pembangunan hidrokarbon di perairan ini - atau untuk menjalankan kegiatan tersebut secara satu pihak - adalah tidak sah," kata Pompeo.

Walaupun kapal-kapal China menerjah kedaulatan dan menceroboh perairan Indonesia dari rantaian Natuna, Indonesia tetap menyatakan bahawa ia tidak mempunyai tuntutan bertindih dengan Beijing di wilayah maritim itu dan bukan merupakan pihak dalam pertikaian wilayah berkenaan.

Ditanya mengenai kenyataan dasar A.S itu, seorang jurucakap kementerian luar Indonesia enggan mengulasnya tetapi menganggap sokongan mana-mana negara berhubung hak Indonesia di perairan Natuna adalah sebagai "normal."

"Pendirian Indonesia mengenai perairan Natuna sentiasa tegas dan konsisten, yang dibuat berdasarkan UNCLOS. Penghakiman mahkamah tribunal pada 2016 telah mengesahkan pendirian Indonesia berhubung perkara ini,” kata Teuku Faizasyah, jurucakap kementerian itu, kepada BeritaBenar.

Menurut seorang penganalisis tempatan, beberapa rakyat Indonesia percaya bahawa Jakarta perlu mengambil pendirian lebih tegas berhubung isu rantaian Natuna.

"Indonesia harus menegaskan tentang kekecewaannya berhubung keengganan China menunjukkan niat baik mereka dengan menghormati kedaulatan Indonesia di Laut Natuna Utara," kata Dinna Prapto Raharja, pensyarah Universitas Binus di Jakarta, kepada BeritaBenar.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, para pegawai Kementerian Luar enggan mengulas kenyataan Pompeo.

Kerajaan Malaysia berada dalam kedudukan sukar untuk mengeluarkan kenyataan mengkritik berhubung Laut China Selatan kerana ia adalah negara yang agak kecil di rantau itu dan perlu berhati-hati dalam usaha mengekalkan hubungan ekonominya dengan Beijing, kata Ramli Dollah, penganalisis keselamatan di Universiti Malaysia Sabah.

“Malaysia menuntut dan menguasai banyak terumbu dan pulau di Laut China Selatan bersama-sama dengan banyak negara lain. Namun, pihaknya juga berdepan penuntut yang lebih berkuasa iaitu China, yang baru-baru ini bersikap lebih tegas terhadap tuntutannya di wilayah itu,” kata Ramli kepada BeritaBenar.

"Keadaan ini menjadi semakin sukar ketika hubungan ekonomi Malaysia-China boleh terjejas berikutan masalah tuntutan bertindih itu, yang menimbulkan dilema bagi para pembuat dasar di negara ini."

Ramli berpendapat cara yang paling berkesan bagi Kuala Lumpur untuk melindungi kedaulatannya di Laut China Selatan adalah dengan menyuarakan kebimbangan mengenai tuntutan wilayahnya melalui diplomasi pelbagai hala, seperti melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) atau PBB.

Pada pertengahan April lalu, Malaysia tidak banyak bersuara apabila ketegangan timbul di Laut China Selatan dengan Amerika Syarikat dan Australia mengerah kapal-kapal perang mereka ke kawasan itu, setelah kapal peninjau China didapati berlayar berhampiran kapal eksplorasi minyak yang dikontrak oleh Malaysia dan beroperasi di dalam perairan Malaysia.

Pada Selasa, laporan ketua audit negara mendedahkan bahawa kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantai China telah menceroboh perairan Malaysia di luar Pulau Borneo sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

China: A.S semai pertikaian

China pula tidak mengendahkan keputusan mahkamah timbang tara itu, dengan ulang tahun keempatnya adalah pada Ahad.

Pada 12 Julai, kedutaan Beijing di Manila mengulangi kenyataan bahawa ia menganggap penghakiman itu sebagai "tidak sah" dan Beijing "tidak akan pernah menerima tuntutan atau tindakan" berdasarkan penghakiman tersebut.

Dan sehari selepas kenyataan Pompeo di mana beliau menganggap tuntutan Beijing terhadap sebahagian besar Laut China Selatan sebagai "tidak sah langsung" dan menuduh kuasa besar Asia itu terlibat dalam "kempen membuli" untuk mengawal sumber-sumber persisir, kerajaan China membalas kenyataan itu.

Kedutaan Beijing di Washington mengeluarkan satu kenyataan pada Selasa yang mendakwa bahawa Amerika Syarikat memutarbelitkan fakta dan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS dalam usaha "untuk menyemai perselisihan antara China dan negara-negara kecil lain."

"Amerika Syarikat bukanlah negara yang terlibat secara langsung dalam pertikaian ini. Namun, pihaknya terus campur tangan dalam isu berkenaan,”kata kedutaan itu.

"Atas alasan mahu menjaga kestabilan, ia sebenarnya sedang berusaha meningkatkan ketegangan dan mencetuskan konfrontasi di wilayah itu."

Nisha David dan Noah Lee di Kuala Lumpur, serta Jason Gutierrez di Manila, menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh