Laporan Hak Asasi Manusia 2014 Jabatan Negara Amerika

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.26
150625-MY-STATEDEPT620 Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. 13 Ogos 2014
AFP

Sekatan terhadap kebebasan bersuara termasuk berucap, berhimpun, berpersatuan dan media adalah antara masalah hak asasi kemanusiaan yang paling ketara di Malaysia, menurut laporan tahunan mengenai Hak Asasi Manusia 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis.

Laporan hak asasi itu meliputi 199 buah negara dan wilayah di seluruh dunia telahpun dikemukakan kepada Kongres Amerika, kata Setiausaha Negara itu John Kerry.

"Mesej utama laporan ini adalah bagi setiap negara melakukan yang terbaik untuk rakyatnya supaya mereka dapat menikmati hak dan kebebasan yang patut mereka perolehi sepenuhnya,” katanya di sidang media.

Laporan kali ke-39 itu boleh dibaca oleh orang awam di laman rasmi jabatan berkenaan di – www.state.gov/humanrightsreports dan www.humanrights.gov/reports.  

Bahagian khusus mengenai Malaysia tercatit dalam 39 muka surat menyenaraikan satu persatu kejadian yang melanggar hak asasi manusia yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia  dalam mencari penyelesaian kes-kes yang berlaku.

Bagaimanapun perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia menurut laporan itu, adalah memberi perhatian khusus kepada siasatan mengenai hasutan dan tuduhan terhadap berpuluh-puluh yang didapati bersalah.

Pendakwaan bermotifkan politik yang berterusan terhadap pemimpin pakatan pembangkang Anwar Ibrahim, juga diselitkan di dalamnya.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyebut mengenai kebebasan beragama yang dianggap membimbangkan termasuk larangan terhadap kumpulan agama dan kebebasan menukar agama serta sekatan terhadap pendakwah.

Kematian dalam tahanan polis dan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara, hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman yang dikenakan oleh mahkamah jenayah dan syariah adalah antara masalah hak asasi yang perlu diberi perhatian di Malaysia, menurut laporan itu.

“Rasuah, keganasan dan diskriminasi terhadap wanita, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan sekatan ke atas hak-hak pendatang, termasuk pekerja asing, pelarian, dan mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia,” juga mendapat perhatian laporan itu.

“Dasar-dasar kerajaan yang sudah lama diamalkan, terutamanya memberi keutamaan kepada orang Melayu dalam banyak bidang,” turut mendapat teguran Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Kerajaan Malaysia, menurut  laporan itu, telah menyekat sebarang tuntutan kesatuan dan kolektif,  dan dasar-dasar kerajaan yang memburukkan lagi masalah buruh kanak-kanak dan buruh paksa, terutamanya pekerja asing.

Kerajaan menahan dan mendakwa sesetengah pegawai yang terlibat dalam rasuah, salah guna jawatan dan yang melanggar hak asasi manusia, masyarakat awam mendakwa perbuatan itu masih terus berlaku, menurut laporan itu.






Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.