Temu bual: Thailand Perlu Bantuan Malaysia Selesaikan Konflik Selatan, Kata Pegawai

Oleh Pimuk Rakkanam di Bangkok
2015.06.26
MY-TH-NAKROB620 Mej. Jen Nakrob Boonbuathong bertemu bual dengan BeritaBenar di pejabatnya di Bangkok, Thailand. 26 Jun, 2015.
BeritaBenar

Mej. Jen Nakrob Boonbuathong terlibat dalam usaha kerajaan Thailand untuk mengadakan semula rundingan damai dengan para pemberontak selatan.

Awal bulan ini, Nakrob memberitahu BeritaBenar bahawa usaha sedang dilakukan bagi menyambung semula rundingan itu, yang dinantikan sejak sekian lama, bertujuan untuk menyelesaikan masalah pemberontakan di wilayah selatan atau ‘Deep South’ Thailand.

Beliau mengakui para pegawai kerajaan Thailand menghadapi kesukaran memujuk pelbagai puak pemberontak untuk bersetuju kembali ke meja rundingan.

Sememangnya ada  keperluan "untuk membina kepercayaan segi tiga" antara Thailand, Malaysia dan pelbagai kumpulan pemberontak itu, kata Nakrob pada ketika itu.

Sejak April, para pegawai Thailand telah mengadakan sekurang-kurangnya dua mesyuarat prarundingan rahsia di Kuala Lumpur dengan wakil-wakil kumpulan pemberontak selatan.

Sekiranya rundingan bersambung semula pada bila-bila masa, ia adalah yang pertama di bawah pemerintahan junta Thailand, yang mengambil alih kuasa pada Mei 2014, dan yang pertama sejak 2013.

Sekurang-kurangnya dua rundingan damai diadakan di bawah kerajaan awam sebelum ini yang diterajui Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Ia diadakan selepas Majlis Keselamatan Thailand menandatangani perjanjian dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) – satu daripada kumpulan pemberontak utama - di Kuala Lumpur pada Februari 2013 yang membawa kepada rundingan itu.

Namun, dialog terhenti pada Julai 2013 apabila kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana melanggar syarat-syarat gencatan senjata pada bulan Ramadan.

Rundingan tidak diteruskan selepas Disember tahun itu, apabila kerajaan menolak lima tuntutan yang dikemukakan menerusi video dalam talian oleh perunding BRN dan ketuanya Hassan Bin Toyib.

Satu daripada tuntutan itu ialah Thailand perlu memberikan kedaulatan kepada Deep South dan mengiktiraf "Bangsa Melayu Patani," yang tidak dapat diterima oleh Bangkok.

Deep South yang dipenuhi penduduk Islam -  terdiri daripada wilayah-wilayah sempadan selatan Pattani, Narathiwat dan Yala, serta beberapa daerah di wilayah Songkhla - telah menjadi medan konflik pemisah yang meragut sekurang-kurangnya 6,000 nyawa sejak 2004.

Pada Jumaat, Mej. Jen Nakrob bercakap dalam satu temu bual dengan BeritaBenar di pejabatnya di Bangkok.

Beliau bercakap mengenai status usaha semasa untuk mengadakan semula rundingan itu, peranan Malaysia sebagai broker keamanan serta fakta penting pemimpin-pemimpin utama kumpulan pemberontak yang tinggal di Malaysia.

BeritaBenar: Pada masa ini, kumpulan pemisah mana yang menjalankan keganasan di Deep South. Adakah benar mereka akan berbincang dengan kerajaan di bawah kumpulan induk, MARA Patani?

Nakrob: Saya ingin memberitahu anda bahawa masalah di selatan telah lama wujud dan terdapat beberapa organisasi. Ia bukan organisasi yang sah, mereka hanya mempunyai nama organisasi semata-mata.

Pada masa ini terdapat beberapa kumpulan. Terdapat hampir sepuluh kumpulan yang aktif atay tidak aktif. Mungkin anda tahu di kalangan ISOC [Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri) dan rundingan damai, mengikut dasar Perdana Menteri, kita telah cuba mencari kumpulan yang memainkan peranan aktif. Dan terdapat enam daripada kumpulan itu.

BeritaBenar: Apakah kemajuan yang dicapai pasukan ini dan bila rundingan seterusnya akan didakan?

Nakrob: ... Di bawah dasar Perdana Menteri, beliau bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia pada Januari lepas. Selepas itu,  beliau mengadakan (prarundingan), bersetuju supaya Malaysia menjadi fasilitator dan menugaskan Jen Aksara [Kerdpol] untuk mengetuai pasukan rundingan Thailand.

Selepas itu, kami terus membuat langkah susulan. Pada peringkat awalnya, kita bekerja dengan Malaysia. Ada mesyuarat, perbincangan dan mengenali satu sama lain serta membina kepercayaan bersama .... Kami di peringkat membina kepercayaan.

BeritaBenar: Selepas mesyuarat terakhir itu, anda rasa adakah setiap pihak terbuka untuk membina kepercayaan?

Nakrob: Ini perkara biasa pada peringkat mesyuarat pertama, kedua-dua pihak memendam perasaan sendiri. Kita perlu makan dan bercakap dan cuba menghilangkan rasa kekok. Dan ini akan meningkatkan lagi hubungan untuk langkah seterusnya. Sebahagian besar, pada permulaannya, semua konservatif.

Tetapi kami mempunyai ikatan. Fasilitator yang telah menyatukan kami bersama-sama, ia sangat berkesan. Dengan kata-kata itu, kita percayakan Malaysia. Pihak penentang percayakan Malaysia. Oleh itu, apabila kita bertemu dengan pihak penentang, Malaysia bawa kami ke meja rundingan dengan sempurnanya.

BeritaBenar: Terdapat beberapa penentang yang mendakwa raja atau ketua penentang itu masih  berada di Thailand. Jadi, mengapa anda  mendekati mereka yang berada di Malaysia? Apa pendapat anda mengenainya?

Nakrob: ... Satu daripada sebab kita tidak boleh selesaikan masalah ini dengan mudah, atau melakukannya dengan mudah, semua harus mengakui sebahagian besar daripada penentang ini menetap di Malaysia. Mereka boleh menyeberangi sempadan. Kebanyakan daripada mereka - apa sahaja nama organisasi tidak tinggal di Thailand tetapi di Malaysia...

Adalah sukar untuk menyelesaikan masalah ini kerana adanya sokongan daripada beberapa pihak di Malaysia. Keupayaan untuk menyeberangi sempadan, bersembunyi, ini menyukarkan kami untuk menyelesaikan masalah itu.

Tetapi apabila kita membuat analisa dan kita dapati sekiranya kita mendekati kawasan seberang sempadan, kita boleh menyelesaikannya. Kita sebagai pegawai-pegawai keselamatan, berpendapat kita perlu mendekati mereka yang berada di luar negara.

Bagi mereka yang tinggal di Thailand, kita boleh mengadakan perbincangan pada bila-bila masa dalam negara kita, jika mereka mendakwa mereka adalah penentang  tulen dan bersedia untuk bercakap. Adalah sukar bagi kita jika mereka tidak bersuara.

Pemimpin-pemimpin utama mereka semua berada di Malaysia. Jadi, jika kita boleh berbincang dengan Malaysia dan penentang yang tinggal di Malaysia, dan kita boleh mengekang semua menyokong,  semua isu-isu dalaman kita dapat dikawal dengan mudah. Inilah prinsip kami.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.