Ahli Baharu IS Rancang Serang Malaysia, Indonesia Antara 16 Ditahan Polis

Ray Sherman dan Noah Lee
2019.09.26
Kuala Lumpur
190926-MY-Ayob-1000.jpg Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, Malaysia, 26 Sept 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seramai 12 ahli sebuah sel baharu Negara Islam (IS) di Malaysia adalah antara 16 individu yang ditahan pasukan antikeganasan kerana disyaki terbabit dalam pelbagai aktiviti pengganas sejak Julai lalu, kata polis Malaysia pada Khamis.

Suspek yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan 11 warga Indonesia, termasuk seorang wanita, ditahan di Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Selangor serta Johor dalam satu operasi yang mengambil masa selama 12 hari dan berakhir pada Rabu.

Menurut Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia, kumpulan itu didapati telah bergiat aktif mempromosi IS dan merekrut anggota baharu melalui media sosial.

"Penangkapan dibuat antara 14 dan 25 Sept. Kumpulan ini telah merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia dan Indonesia. Suspek warga Malaysia itu telah secara spesifik merancang serangan ke atas orang bukan Islam dan pemimpin sebuah parti politik yang dikatakan telah menekan orang Islam di dalam negara ini serta tidak menghormati bangsa Melayu dan agama Islam," kata Ayob dalam sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur.

Katanya, semua warga Indonesia yang ditahan adalah buruh dan pekerja ladang di Malaysia.

"Sesetengah mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala  yang lain masuk ke negara ini menggunakan pasport palsu dan ada juga yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan," kata beliau kepada BeritaBenar selepas sidang akhbar berkenaan.

Beliau berkata ahli sel pengganas itu belum menetapkan tarikh serangan namun rancangan untuk melaksanakannya sudah direncanakan dan hanya menunggu bilangan ahli yang mencukupi sebelum bertindak.

"Mereka belum membincangkan lokasi spesifik tetapi rancangan mereka adalah untuk membuat serangan secara 'lone wolf' (seorang diri) dan juga berkumpulan menggunakan senjata api sebaik sahaja mereka membuat persiapan teliti," katanya kepada BeritaBenar.

Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 22 hingga 36 tahun.

Dalam sidang media itu, Ayob mengumumkan bahawa polis turut menahan empat individu termasuk seorang wanita warga India yang bekerja sebagai pembantu pembersihan rumah di Subang Jaya.

Wanita berumur 38 tahun itu ditahan pada 2 Ogos dan merupakan ahli Sikh for Justice iaitu sebuah kumpulan pemisah yang diharamkan di India.

Menurut Ayob, wanita itu menganggotai kumpulan pemisah tersebut sejak 2017 dan telah menyalurkan dana kepada mereka.

Sementara itu, tiga lagi individu yang ditahan dalam operasi tersebut terdiri daripada dua warga Malaysia dan seorang warga Indonesia yang disyaki mempunyai kaitan dengan serangan pengebom bunuh diri di Jolo pada Januari lalu.

"Ketiga-tiga mereka merupakan fasilitator kepada pengebom bunuh diri warga Indonesia dan tiga anak mereka. Suspek berkenaan telah menguruskan supaya keluarga pengebom dapat ke selatan Filipina. Selain itu, mereka telah menyalurkan dana kepada kumpulan Maute dan merancang untuk ke Syria untuk berjuang bersama kumpulan IS. Kesemua mereka ditahan di Sabah," kata Ayob.

Katanya, warga Indonesia itu ditahan di Keningau pada Julai lalu manakala dua rakyat Malaysia pada 6 Sept di Keningau dan Tenom.

Ayob berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan polis di bawah Kanun Keseksaan kerana melakukan keganasan dan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Jakarta Sahkan Tangkapan

Kementerian Luar Indonesia di Jakarta pada Khamis mengesahkan bahawa tiga warga negara itu adalah antara yang ditangkap di Malaysia.

Teuku Faizasyah , jurucakap kementerian memberitahu BeritaBenar bahawa maklumat mengenai tangkapan lain mungkin belum disalurkan dan Jakarta sedang menunggu butiran lanjut daripada kerajaan Malaysia.

“Selalunya akan ada proses kehakiman dan kita akan lihat apa keputusannya,” kata beliau.

Brigider Jeneral Dedi Prasetyo, jurucakap Polis Indonesia berkata beliau belum menerima sebarang maklumat daripada Malaysia berkaitan tangkapan itu.

Taufik Andre, penganalisis antikeganasan Yayasan Prasasti Perdamaian yang menjalankan program rehabilitasi bagi bekas pengganas, berkata sudah bertahun lamanya Malaysia menjadi pusat transit militan dari Indonesia yang ingin ke selatan Filipina.

“Mereka mungkin rekrut baharu yang telah diradikalisasikan melalui media sosial kerana Daesh (nama lain untuk IS) sekarang ini bergerak aktif merekrut dan mendoktrin pengguna media sosial,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Sementara itu, pakar antikeganasan dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ahmed El Muhammady berkata siri tangkapan suspek pengganas di Malaysia mutakhir ini menunjukkan perkembangan membimbangkan yang menyaksikan semakin ramai warga asing mula melibatkan diri dalam kumpulan pengganas, termasuk Daesh, di Malaysia.

Katanya, ini sesuatu yang tidak boleh diambil mudah dan perlu ditangani secara serius oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Jangan sesekali ambil mudah isu keselamatan. Kita kena belajar daripada (insiden)Jemaah Islamiyah (JI). JI berkembang di Malaysia kerana kita tidak ambil kisah pada peringkat awal, akhir sekali ia mengancam bila besar.

"Apabila ia sudah menjadi besar, ia sudah terlewat," katanya kepada BeritaBenar.

Menurut Ahmed, antara bahaya yang dihadapi negara dengan keterlibatan warga asing ialah kesukaran pihak berkuasa untuk mengenal pasti suspek kerana ia memerlukan kerjasama antara agensi perisikan serantau.

"Kalau maklumat itu tidak sampai ke 'negara hos' maknanya pengesanan tidak boleh dibuat."

Ahmed berkata beliau percaya antara sebab di sebalik peningkatan penglibatan warga asing dalam aktiviti kumpulan pengganas di Malaysia ialah kerana semakin kurang warga tempatan yang menyertai aktiviti sedemikian.

Tambahnya, ini mungkin satu strategi oleh kumpulan pengganas ekoran keberkesanan usaha pihak polis.

Sehingga September, seramai 56 orang telah ditahan kerana didakwa terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan keganasan. Warga Indonesia antara yang teramai ditahan iaitu 15 orang diikuti Filipina 14 orang dan Malaysia 12 manakala bakinya dari Mesir, Myanmar, Tunisia, Pakistan, Bangladesh serta India.

Rina Chadijah dari  Jakarta turut menyumbang kepada artikel ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.