Israel Dakwa Malaysia Jadi Lokasi Latihan Anggota Hamas

Oleh staff BenarNews
2015.04.28
150428-MY-SHINBET620 Rakyat Palestin yang menyokong pergerakan Hamas mengadakan perhimpunan semasa pilihan raya majlis pelajar di Bir Zeit University, di pinggir bandar Tebing Barat Ramallah pada 21 April 2015.
AFP

Agensi Keselamatan Dalam Negeri Israel mengatakan pelajar Palestin yang melanjutkan pelajaran di Malaysia telah dilatih oleh Hamas untuk menyertai sayap ketenteraan kumpulan itu, tetapi polis Malaysia dan Hamas telah menolak dakwaan yang disiarkan oleh sebuah akhbar terkemuka Israel pada Selasa.

Menurut laporan akhbar Haaretz, Agensi Shin Bet berkata pelajar yang dilatih di Malaysia akan digunakan untuk operasi pengintipan dan penyamaran apabila mereka pulang ke Tebing Barat, yang ditadbir oleh Presiden Palestin Mahmud Abbas dari parti Fatah.

Hamas memerintah jalur Gaza sejak tahun 2007 manakala pihak berkuasa Palestin telah memerintah kawasan penduduk Palestin di Tebing Barat sejak 1994.

Hamas rekrut pelajar Palestin

Menurut Shin Bet, lelaki-lelaki Hamas di Malaysia telah merekrut secara aktif pelajar Palestin dalam memberi latihan ketenteraan kepada mereka.

“Pihak yang merekrut juga mempersiapkan para penuntut berkenaan dengan latihan ideologi termasuk menyertai Ikhwanul Muslimin dan pertubuhan amal Palestin yang beroperasi di Malaysia.

“Selepas latihan itu, mereka dihantar untuk menubuhkan rangkaian ketenteraan di Tebing Barat, bertindak sebagai utusan antara wilayah dan negara-negara asing, serta melaksanakan pemindahan dana rahsia bagi memenuhi keperluan Hamas,” kata agensi keselamatan itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Malaysia dan Hamas nafi dakwaan

Malaysia dan Hamas menafikan dakwaan Israel itu, yang merupakan dakwaan kali kedua. Dakwaan kali pertama ialah pada Julai tahun lepas.

Ketua Polis Malaysia, Khalid Abu Bakar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Israel itu

“Kalaupun ada rakyat Palestin yang datang belajar di universiti tempatan, mereka datang sebagai pelajar warga Palestin untuk mengikuti pengajian biasa yang ditawarkan oleh mana-mana universiti,” katanya semasa dihubungi oleh sebuah media Malaysia, SinarTV pada Selasa.

Beliau turut berkata tiada mana-mana individu atau kumpulan yang memberi sebarang bentuk latihan ketenteraan kepada anggota Hamas atau penuntut Palestin di Malaysia.

Julai tahun lepas, Israel mendakwa Hamas melatih pelajar Palestin dengan teknik luncur layar di Malaysia, seperti yang disiarkan oleh Jerusalem Post, dan dinafikan oleh pentadbiran Malaysia dan Hamas.

Ini merupakan kali pertama Shin Bet membuat dakwaan terperinci tentang aktiviti Hamas di Malaysia, menurut laporan Haaretz.

Portal berita World Bulletin yang berpangkalan di Istanbul, Tukri melaporkan pada Selasa, Hamas menafikan laporan media Israel itu.

Tuduhan Bet Shin ini tidak berasas, dan satu pembohongan semata-mata," kata Hamas dalam satu kenyataan seperti yang disiarkan oleh portal berita itu.

Haaretz melaporkan Shin Bet dalam kertas pertuduhan yang difailkan pada 18 Mac lepas di Mahkamah Tentera Israel berkata seorang penduduk Hebron, Waseem Qawasmeh, 24, didakwa menganggotai dan aktif dalam pertubuhan yang diharamkan, mengadakan hubungan dengan musuh dan menerima wang daripada musuh.

Qawasmeh ditangkap pada 13 Februari lepas di Jambatan Allenby selepas pulang dari Malaysia melalui Jordan.

Haaretz turut melaporkan, pada musim panas lepas, semasa Operasi Perlindungan Sempadan, Israel menerbitkan butir-butir yang diperoleh daripada soal siasat ke atas seorang anggota pasukan terowong Hamas di Semenanjung Gaza.

Dalam pengumumannya itu, ia mendakwa lelaki itu telah dilatih di Malaysia untuk masuk ke wilayah Israel secara meluncur layar bagi melakukan pembunuhan dan penculikan.

Menurut Shin Bet seperti laporan akhbar itu, Qawasmeh memulakan hubungannya dengan Hamas melalui persatuan pelajarnya di Universiti Islam Antarabangsa di ibu negara Malaysia.

“Selama dua tahun beliau bekerja untuk sebuah persatuan amal Hamas dan pada Disember 2013 beliau direkrut oleh Mustafa Najam, seorang aktivis kanan Hamas di Malaysia, untuk menyertai Ikhwanul Muslimin.

“Qawasmeh mengambil bahagian dalam majlis angkat sumpah yang dihadiri oleh Ma'anHatib dan Radwan al-Atrash, pegawai kanan Hamas yang menetap di Malaysia,” kata akhbar berkenaan.

Shin Bet juga menggambarkan Hatib sebagai "bertanggungjawab bagi meja luar negeri Hamas di Malaysia." Atrash adalah "seorang tokoh kanan dalam Majlis Syura," yang aktif disertai kariah lelaki Hamas di Malaysia.

Pertuduhan terhadap Qawasmeh turut menyatakan bahawa beliau telah menjalani pemeriksaan keselamatan dan kemudiannya dilatih untuk operasi rahsia oleh anggota-anggota Hamas di Malaysia. Beliau juga telah dihantar selama seminggu ke Turki untuk berlatih dengan Hamas di sana.

Antara perkara yang beliau pelajari ialah bagaimana untuk bertindak balas terhadap soal siasat yang akan beliau jalani di Jambatan Allenby dan bagaimana untuk bertindak apabila dipenjarakan dan semasa disoal siasat oleh Shin Bet.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Negara semasa dihubungi oleh SinarTV pada Selasa, turut menafikan semua dakwaan itu.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.