Polis Malaysia Patahkan Sindiket Pemerdagangan Manusia, Tangkap Dalang dan Penghantar

Ali Nufael dan Noah Lee
2019.09.26
Kuala Lumpur
190926-MY-Cheong-1000.jpg Cheong Koon Kock Timbalan Pengarah II Cawangan Khas bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, 26 Sept 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Satu sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa didalangi warga tempatan yang menjalankan aktiviti penyeludupan orang Rohingya berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lelaki itu dan 10 anggota sindiket dalam satu operasi oleh cawangan khas minggu ini, menurut pegawai kanan polis pada Khamis.

Antara 10 individu yang ditahan itu, sembilan daripadanya adalah etnik Rohingya yang ditugaskan sebagai “penghantar” manakala seorang lagi wanita Malaysia yang menjadi ahli sindiket tersebut.

“Tiga daripada mereka turut memiliki kad pelarian UNHCR,” kata Cheong Koon Kock, Timbalan Pengarah II Cawangan Khas dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Polis unit Cawangan Khas yang mengepalai operasi itu turut menahan 66 etnik Rohingya yang diseludup masuk menerusi Thailand di 12 lokasi berbeza di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang untuk bekerja dalam sektor pertanian.

Cheong berkata polis telah mengekori sindiket itu sejak April 2019 dan menjalankan operasi menangkap ahli kumpulan tersebut dalam operasi selama 4 hari bermula 22 Sept.

Sindiket itu, menurut Cheong, telah membawa orang Rohingya melalui jalan darat dari Myanmar sebelum ke Thailand di mana mereka akan menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Golok di kawasan sempadan bagi memasuki Malaysia melalui Rantau Panjang di Kelantan.

Kelantan adalah negeri paling utara di Malaysia dan bersempadan dengan Thailand. Sempadannya yang luas dengan hutan yang agak tebal telah menjadikan ia laluan untuk sindiket itu menjalankan aktiviti penyeludupan manusia, sekali gus menyukarkan usaha kerajaan Malaysia walaupun tahap pemantauan dan keselamatan dipertingkat.

"Ini adalah sindiket penyeludupan manusia yang menggunakan laluan darat menerusi Myanmar, Thailand dan memasuki Malaysia melalui Sungai Golok.

“Kita telah menyiasat sindiket ini selama beberapa bulan dan operasi selama empat hari ini dilakukan setelah kami menerima maklumat tentang pergerakan sindiket ini."

"Tangkapan pertama dilakukan di Pesisir Jalan Tunjung, Pasir Mas di Kelantan sebelum tangkapan seterusnya di Kampumg KBG Panjang, juga di daerah Pasir Mas.

“Kemudian kita menyerbu rumah di Kampung Kerasak Kedondong sebelum ke Tumpat, sebuah lagi daerah di Kelantan, di satu taman perumahan iaitu Taman Perumahan Dalam Rhu."

"Polis kemudian pergi ke satu tempat di Kampung Tok Leber Beta Ketereh dan Kampung Tok Leber Lundang Paku, yang juga di Ketereh, Kelantan," kata Cheong berkata dalam sidang media.

Menurut beliau, selepas tangkapan di Kelantan, polis bergerak ke Pulau Pinang sebelum ke Selangor dan Kuala Lumpur.

"Di Pulau Pinang, kami pergi ke tiga lokasi dan menahan beberapa orang. Selepas itu ke Selangor di mana seorang lelaki tempatan ditembak mati, dan di Kuala Lumpur, kami ke dua lokasi di Kepong dan Bandar Tasik Selatan," tambah beliau.

Beliau berkata sindiket itu menerima bayaran daripada etnik Rohingya untuk membawa mereka ke Malaysia namun jumlahnya masih disiasat.

"Kami masih menyiasat jumlah bayaran yang dikenakan," kata Cheong.

Kesemua ahli sindiket disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala mangsa disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Pada 24 Sept, polis menembak mati seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun selepas suspek gagal memberhentikan kenderaan dan cuba melanggar polis yang bertugas. Kejadian berlaku pada pukul 7 petang di Puchong, Selangor.

Seorang mangsa yang diseludup turut mengalami kecederaan apabila terkena tembakan dalam kejadian tersebut.

Kehidupan lebih baik

Sementara itu, pakar kajian strategik Universiti Malaysia Perlis Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata Malaysia menjadi tarikan aktiviti penyeludupan migran atas beberapa sebab khususnya faktor 'penolakan dan penarikan.'

Menurut Mizan, yang turut mengkaji isu jenayah rentas sempadan, Malaysia menjadi pilihan warga asing yang ingin mencari kehidupan lebih baik di luar negara asal mereka, terutama dari Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka.

Jelasnya, rakyat dari negara berkenaan memiliki faktor penolakan tersendiri termasuk dari segi politik dan ekonomi yang menyebabkan mereka keluar dari negara asal dan mencari tempat lain untuk menetap serta mencari punca pendapatan.

"Dan di Malaysia pula ada faktor penarikan untuk mereka datang ke sini, antaranya kerana ada permintaan untuk khidmat mereka iaitu peluang pekerjaan, ketirisan sempadan serta rasuah yang memudahkan mereka masuk.

"Selain itu, toleransi dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap warga asing juga menjadi salah satu sebab mengapa Malaysia menjadi pilihan berbanding negara-negara jiran," katanya kepada BeritaBenar.

Tambahnya lagi, faktor agama turut memainkan peranan dalam menarik migran beragama Islam yang lebih selesa tinggal di Malaysia berbanding negara jiran seperti Thailand.

Mizan berkata aktiviti penyeludupan migran, jika tidak ditangani segera oleh kerajaan, boleh menyebabkan pelbagai masalah besar yang lain di negara ini.

Pada Januari 2015, pihak berkuasa Malaysia menemui sejumlah 139 kubur dan 28 kem yang ditinggalkan sekitar kawasan bukit berbatu di sepanjang sempadan Thailand di Bukit Wang Burma, Wang Kelian namun hanya mengeluarkan mayat terbabit empat bulan kemudian.

Lebih 100 rangka manusia, yang dipercayai etnik minoriti Rohingya Myanmar tanpa kerakyatan, ditemui dalam kubur-kubur itu manakala rangka lain dipercayai milik pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Pihak berkuasa di bawah kerajaan terdahulu telah menahan 12 pegawai polis dan beberapa rakyat asing. Bagaimanapun, pada 2017 Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa para pegawai itu telah dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Pada Ogos lepas, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbang  undang-undang dan polisi yang lebih efektif bagi membanteras penyeludupan manusia.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata perlu ada satu usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara agensi kerajaan, kumpulan awam dan institut antarabangsa.

“Saya percaya kita boleh menghentikan jenayah ini dengan bekerjasama,” kata beliau seperti dilaporkan akhbar The New Straits Times.

Muhyiddin turut mendedahkan jumlah mangsa penyeludupan manusia di Malaysia yang semakin menurun setiap tahun.

Meskipun Muhyiddin melihatnya sebagai satu perkembangan positif, laporan penyeludupan manusia pada 2019 yang dikeluarkan Amerika Syarikat telah meletakkan Malaysia di tempat kedua terbawah dalam ranking kerana tidak menepati standard minimum dalam usaha membanteras penyeludupan manusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.