Follow us

Kerajaan Malaysia Setuju Lakukan Siasatan Baru Berhubung Kehilangan Paderi dan Aktivis

Ali Nufael dan Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2019-04-05
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia. 5 April, 2019.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia. 5 April, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia pada Jumaat bersetuju melakukan siasatan baru terhadap kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat susulan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) beberapa hari lalu.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu sidang media di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya bahawa siasatan itu akan hanya dimulakan selepas pelantikan Ketua Polis Negara yang baru.

“Kita bersetuju satu siasatan baru dilakukan ke atas kehilangan dua individu itu selepas KPN (Ketua Polis Negara) baru dilantik kerana sekarang ini, banyak tuduhan dilemparkan kepada KPN  sekarang (Mohamad Fuzi Harun). Jadi, lebih baik Ketua Polis Negara baru yang menyiasat perkara ini,” kata Mahathir.

Perdana Menteri berkata sebuah pasukan khas juga akan dibentuk bagi mengkaji dan meneliti dapatan laporan Suhakam tentang kemungkinan penculikan dua individu itu dilakukan oleh Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia.

Pada Rabu, Mahathir berkata kerajaan akan menunggu Mohamad Fuzi bersara dahulu sebelum siasatan baru itu dimulakan.

Mohamad Fuzi akan berusia 60 tahun iaitu had umur bersara wajib pada 4 Mei ini.

Suhakam dalam laporannya menamakan Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur sebagai pihak yang mungkin mempunyai peranan dalam kehilangan secara paksa paderi Koh dan Amri.

Mohamad Fuzi merupakan pengarah Cawangan Khas ketika dua individu itu dilaporkan hilang.

Pada hari sama, Mohamad Fuzi memberitahu akhbar The Malay Mail bahawa beliau hanya akan memberikan kenyataan selepas membaca laporan Suhakam itu. 

Sementara itu, Khalid Abu Bakar yang merupakan Ketua Polis Negara semasa dua individu tersebut dilaporkan hilang, tetap dengan pendiriannya dan memberitahu bahawa kenyataan yang diberikan kepada Suhakam pada inkuiri kes itu adalah tetap sama.

Beliau hadir sebagai saksi kelima inkuiri itu pada Oktober 2017.

Dalam keterangan itu,  Khalid mengakui kemungkinan berlakunya kesilapan di dalam prosedur polis kerana mereka telah melengahkan proses untuk mengambil keterangan daripada saksi  kes penculikan Koh.

Kehilangan secara paksa

Suhakam pada Jumaat berkata satu salinan laporan itu sudah dihantar kepada Mohamad Fuzi melalui khidmat kurier manakala Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara masing-masing akan menerima salinan laporan itu pada Isnin depan.

Laporan Suhakam setebal 95 muka surat itu, yang dikeluarkan pada Rabu, merumuskan bahawa kehilangan Koh dan Amri  sebagai ‘kehilangan secara paksa’.

Suhakam berpendapat anggota polis Cawangan Khas mungkin menjadi dalang di sebalik penculikan Koh dan Amri lebih dua tahun lalu.

Paderi Raymond Koh dan aktivitis sosial Amri, masing-masing  dilaporkan hilang sejak 2016 dan 2017.

Laporan dengan butiran hasil siasatan itu menumpukan kepada sama ada kehilangan mereka adalah secara sukarela atau melibatkan ejen kerajaan.

Menurut Suhakam, inkuiri berhubung kehilangan dua individu itu dilakukan selepas badan hak asasi manusia itu menerima aduan daripada keluarga mangsa dan orang awam.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Mah Weng Kwai berkata Suhakam mempunyai kuasa untuk menjalankan inkuiri terhadap sesuatu kes bagi mengetahui jika terdapat pelanggaran hak asasi manusia dalam sesuatu kes itu.

“Bukti langsung dan bukti berdasarkan keadaan dalam kes Paderi Raymond Koh menunjukkan, berdasarkan imbangan kebarangkalian,  dia telah diculik oleh ejen kerajaan,” kata suruhanjaya itu.

Laporan itu turut menggunakan penerangan sama dalam merumuskan kehilangan Amri dengan dia mungkin diculik oleh ejen kerajaan terutamanya polis Cawangan Khas di Kuala Lumpur.

“Tidak ada bukti yang menunjukkan Amri telah ditangkap atau ditahan, tetapi dia telah dibawa pergi dan hilang,” kata Pesuruhjaya Mah Weng Kwai kepada wartawan.

Paderi Koh diculik di sebatang jalan di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb 2017 apabila beberapa kenderaan SUV dan motosikal memaksa keretanya berhenti sebelum sekumpulan lelaki bertopeng hitam membawanya pergi.

Penculikan itu berlaku dalam tempoh kurang seminit dan  dirakam oleh kamera pengawasan.

Amri, yang berasal dari negeri Perlis, pula dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa dia sedang menyebarkan ajaran Syiah, menurut laporan akhbar tempatan.

Suhakam berkata ia tidak menemui bukti bagi menyokong hujah peguam Koh bahawa penculikan paderi itu telah dilakukan “dengan kebenaran, sokongan dan persetujuan kerajaan.”

Beberapa kumpulan hak asasi sebelum itu berkata paderi tersebut mungkin menjadi sasaran kerana dia dipercayai menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut Islam.

Laporan Suhakam itu dikeluarkan selepas panel inkuiri awam itu mendengar keterangan daripada 16 saksi dari Oktober 2017 hingga Disember 2018.

Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty, Eric Paulsen, dalam kenyataannya pada Khamis turut mengesa kerajaan supaya mengambil maklum balas terhadap dapatan inkuiri Suhakam itu.

“Kehilangan secara paksa amat jarang berlaku di Malaysia tetapi laporan itu merumuskan bahawa polis mungkin terlibat dalam kehilangan mereka.

“Kehilangan secara paksa seharusnya menjadi perhatian kita. Ini bermakna kerajaan dan jenteranya tidak bertindak mengikut undang-undang dan prosedur, dan mereka telah menjadi samseng bagi melenyapkan individu tertentu,” kata Paulsen.

Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh