Polis Filipina Tembak Mati Ketua Penculik Di Sabah

Oleh staf Berita Benar
2015.05.21
150521-MY-ABUSAYYAF620 Tentera Filipina berada di atas kenderaan bersedia untuk menjalankan rondaan di bandar Jolo, wilayah Sulu, di pulau selatan Mindanao. 17 Oktober 2014.
AFP

Polis Filipina menembak mati ketua kumpulan Muktadil Bersaudara yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Abu Sayyaf dan terlibat dalam penculikan dua rakyat Malaysia dan beberapa warga asing.

Mindas Manda @ Muktadil, dibunuh dalam satu insiden berbalas tembakan dengan pegawai keselamatan di Wilayah Jolo, Kepulauan Sulu di selatan Filipina pada Rabu, menurut laporan tentera Filipina seperti disiarkan Agence France-Presse (AFP).

Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Kolonel Allan Arrojano berkata Mindas dipercayai enggan menyerah diri selepas beliau dikepung di pasar Jolo dalam insiden tembak menembak dengan pihak berkuasa negara itu pada Rabu.

Arrojano berkata Mindas dan adiknya, Kadafy dipercayai terlibat dalam kes penculikan  pengurus restoran Ocean King Seafood, Thien Nyuk Fun, 50 dan Bernard Then Ted Fen, 39, yang bekerja sebagai jurutera di negeri Sabah pada Khamis lepas.

Nasib mangsa culik belum diketahui

Kedua-dua tebusan dilaporkan dibawa ke Jolo dan ahli keluarga mereka dipercayai telah dihubungi kumpulan penculik, menuntut wang tebusan dalam jumlah yang banyak.

Bagaimanapun nasib kedua-dua mangsa penculikan itu masih belum diketahui.  Sabah terletak hanya kira-kira satu jam perjalanan dengan bot laju di pulau terdekat dengan Kepulauan Sulu.

Menurut laporan tentera Filipina, kumpulan adik-beradik Muktadil itu merupakan sebahagian daripada kumpulan Abu Sayyaf yang beroperasi dibawah Idang Susukan, Alhabsy Misaya, Anga Adji dan Yasser Igasan.

Mereka berpangkalan di selatan Filipina telah melakukan banyak penculikan di beberapa buah gugusan pulau yang berhampiran dengan perairan pantai timur Sabah dan Filipina sejak beberapa tahun lepas.

Adik-beradik itu dikaitkan dengan siri penculikan di Sabah termasuk satu insiden melibatkan pelancong Taiwan, Evelyn Chang, dua tahun lalu.
Chang diculik ketika dia dan suaminya Hsu Li-min bercuti di Pulau Pom Pom pada 2013.

Suaminya dibunuh manakala Chang dikurung kumpulan Abu Sayyaf selama dua bulan sebelum dibebaskan di sebuah bandar kecil di Jolo.

Muktadil bersaudara itu, juga dikatakan sebahagian daripada kumpulan yang menculik, seorang warga China, Gao Huayun dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan pada April tahun lalu di Resort Singamata, Semporna di Sabah.

Kumpulan itu dipercayai masih menawan seorang pemerhati burung rakyat Belanda yang diculik di Tawi-Tawi tiga tahun lepas, serta turut menculik seorang Datuk Bandar sebuah kawasan di selatan Filipina, dari rumahnya bulan lalu.

Kumpulan Abu Sayyaf ditubuhkan oleh pejuang pemisah Islam, Moro sejak 1991, mempunyai lebih 400 anggota turut mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Mereka menggunakan wang tebusan hasil penculikan dan pemerasan untuk menampung kehidupan harian dan menjadikan Jolo, yang terletak kira-kira 1,400 kilometer (870 batu), dari ibu negara Filipina, Manila, sebagai kubu kuat mereka.

Kumpulan itu, tidak begitu dikenali sehingga Mei 2000 apabila menculik 21 tebusan di Pulau Sipadan, Sabah.

Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.