Aktivis Hak Asasi Manusia Dilantik Pesuruhjaya SPRM Baharu

Vathani Panirchellvum dan Hadi Azmi
2019.06.04
Kuala Lumpur
190604-MY-corruption-620.jpg Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar menyerahkan surat pelantikan kepada Pesuruhjaya SPRM yang baharu Latheefa Koya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, Malaysia. 4 Jun 2019.
Gambar ihsan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Malaysia pada Selasa menamakan peguam dan aktivis hak asasi manusia Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya selepas setahun mengepalai agensi tersebut.

Mohd Shukri, yang telah berkhidmat selama 32 tahun di SPRM, mengambil keputusan untuk bersara awal dari tarikh kontrak beliau tamat iaitu pada 17 Mei 2020.

Sebelum menerima pelantikan bersejarah itu, Latheefa, 45, merupakan pengarah di Lawyers for Liberty bersama-sama sekumpulan peguam yang berjuang menentang kes-kes didakwa membabitkan ketidakadilan.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan mengejut sehari sebelum Aidilfitri berkata pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh dua tahun itu berkuat kuasa pada 1 Jun.

“Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi-institusi kerajaan,” kata JPM.

Menurut JPM, Yang di-Pertuan Agong telahpun memperkenan permohonan Mohd Shukri untuk mempercepat tempoh tamat kontrak beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

JPM turut merakamkan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang Mohd Shukri sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Mohd Shukri dilantik mengepalai agensi itu pada 17 Mei 2018 setelah Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketika dihubungi, Mohd Shukri secara ringkas berkata tugasnya di SPRM telah selesai sebagaimana yang dijanjikan kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad, iaitu memfokuskan masa setahun untuk menyelesaikan siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International.

“Misi saya telah selesai. SPRM kini di landasan yang betul dan pasukan ini tekad bersatu menentang penyelewengan,” katanya kepada BeritaBenar, tanpa memberikan sebarang komen berkaitan penggantinya.

Walaupun mendapat kepercayaan sebagai wanita pertama mengetuai suruhanjaya itu, pelantikan Latheefa mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak memandangkan ia dilakukan tanpa melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pelantikan jawatan utama.

“Pelantikan beliau sepatutnya dibincangkan bersama kami, namun kami tidak tahu. SPRM seharusnya bebas daripada politik tetapi kini ia diketuai seorang ahli parti politik,” kata Pengerusi jawatankuasa itu, William Leong.

Latheefa bagaimanapun memberi maklum balas melalui laman Twitternya dengan berkata bahawa beliau sedar akan isu itu dan telah mengumumkan untuk keluar parti secara serta-merta.

“Terima kasih atas nasihat anda. Tetapi saya telahpun menghantar surat peletakan jawatan secara serta-merta sebagai ahli biasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada (Isnin) setelah dimaklumkan akan ditawarkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Latheefa.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata beliau tidak dimaklumkan tentang perkara itu dan berpendapat Latheefa masih lagi ahli parti tersebut.

Selain itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut melahirkan keraguannya terhadap pelantikan Latheefa.

“Pakatan Harapan secara jelas menentang lantikan politik dalam manifesto pilihan raya lalu. Jika Latheefa masih lagi ahli PKR, beliau perlu meletak jawatan secara serta-merta kerana saya yakin beliau akan menjadi ketua yang baik di SPRM,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Maria, dalam kenyataan sama, turut meluahkan harapannya untuk melihat pelantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya baharu dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan berharap ia dilakukan secara telus bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Walaupun menerima kritikan, pelantikan Latheefa turut mendapat reaksi positif beberapa pihak. Antaranya pengarah undang-undang Fortify Rights Eric Paulsen yang mengucapkan tahniah kepada Latheefa melalui satu hantaran Twitter.

“Syabas Malaysia Baharu – pelantikan beliau adalah mesej tegas kerajaan bahawa mereka serius dalam menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kini bukan lagi menjadi perkara biasa untuk pesalah kecil mahupun besar. Malaysia perlu bebas korupsi,” kata beliau.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata Latheefa telah membuktikan kredibiliti dan keupayaannya untuk memegang jawatan tersebut.

“Beliau terkenal sebagai peguam PKR dan seorang aktivis. Beliau pasti cemerlang di SPRM dan kredibilitinya tidak dapat disanggah. Namun timbul kerisauan tentang keahliannya dalam PKR dan bukan daripada kalangan petugas SPRM sendiri,” katanya kepada BeritaBenar.

“Ini mungkin sebahagian strategi kerajaan untuk melaksanakan pelan-pelan reformasi,” tambah beliau.

Latheefa merupakan graduan undang-undang Universiti London dan telah berkhidmat sebagai peguam selama 17 tahun.

Sejak 2002, beliau bertugas di firma Daim & Gamany serta mewakili Anwar Ibrahim dalam pelbagai tindakan undang-undang beliau.

Pada 2011, Latheefa bersama-sama Eric Paulsen dan peguam N. Surendran menubuhkan Lawyers for Liberty.

Kerjaya politik beliau pula bermula di Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang menyaksikan beliau adalah Exco Pemuda dari tempoh 1998-2003.

Selain itu, beliau terlibat dalam jawatankuasa penggabungan PRM dengan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) untuk membentuk PKR dan bertugas sebagai Exco Pemuda gagasan Barisan Alternatif dari 1999-2002.

Beliau kemudian dilantik ke jawatankuasa pusat PKR pada 2003-2018 dan bertugas sebagai kaunselor Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi tempoh 2008-2012 sebelum melepaskan jawatan tersebut susulan satu konflik dengan Menteri Besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.