Laporan Ketua Audit Negara: Malaysia rugi RM6.34 juta dalam perolehan senjata
2023.11.22
Kuala Lumpur

Kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengurus perolehan senjata api dengan baik telah menyebabkan Kerajaan Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM6.34 juta (AS$1.35 juta), demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan pada Rabu.
Kerugian itu dialami selepas syarikat yang diberikan kontrak membekalkan senjata api serta aksesori kepada KDN mengingkari perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan pada 2012 dan belum melunaskan tanggungjawabnya setakat Februari tahun ini.
Laporan setebal 459 halaman itu turut memperinci beberapa masalah lain termasuk isu polisi dan kes kehilangan senjata api yang diakui berisiko mencetuskan masalah besar terhadap keselamatan negara.
"Secara keseluruhannya, pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah KDN adalah kurang memuaskan," rumus laporan itu berkaitan audit ke atas tatakelola kementerian berkenaan dalam pengurusan senjata api.
"Perolehan senjata api yang tidak diuruskan dengan cekap menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta dan kelemahan pengurusan pelupusan senjata api boleh menimbulkan risiko keselamatan."
Menurut laporan itu, yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara, Syarikat X telah menandatangani kontrak dengan KDN pada 1 Okt 2012 bagi melupuskan pelbagai jenis senjata lama atau lusuh serta aksesori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Syarikat itu juga bersetuju membekalkan senjata dan aksesori baharu bagi menggantikan senjata yang telah dilupuskan serta perlu mengadakan latihan selama dua hari. Semakan audit bagaimanapun mendapati ia hanya menyerahkan aksesori bernilai RM1.16 juta (AS$248,000) kepada PDRM setakat Februari.
"Dengan mengambil kira nilai aksesori yang telah dibekalkan berjumlah RM1.16 juta, obligasi kontrak yang belum dilaksanakan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta. Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada tindakan susulan diambil terhadap syarikat bagi memastikan syarikat memenuhi obligasi kontrak.
"Kegagalan tindakan susulan oleh KDN terhadap pematuhan terma kontrak menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta," menurut laporan itu.
Susulan teguran oleh jabatan audit, laporan itu memaklumkan bahawa KDN telah menghantar surat kepada Syarikat X supaya memenuhi tanggungjawabnya dengan segera dan akan mengambil tindakan undang-undang jika ia terus ingkar.
Dasar tidak dikemas kini
Audit yang dilaksana turut mendedahkan bahawa PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dua badan penguatkuasaan undang-undang utama di bawah KDN, menggunakan dasar berkaitan senjata api serta peluru yang tidak dikemas kini hampir 20 tahun manakala empat agensi lagi langsung tidak mempunyai dasar sedemikian.
Masalah itu menyebabkan pihak audit tidak dapat mengesahkan kecukupan senjata api di setiap agensi kerana mereka tidak mempunyai asas untuk membuat pengukuran.
"Penyediaan dasar sukatan senjata api serta peluru adalah penting bagi menentukan kesiapsiagaan senjata api di setiap jabatan dan agensi," menurut laporan itu.
Jabatan audit turut mendapati berlaku kehilangan 25 pucuk senjata api milik tiga agensi kerajaan antara 2019 dan 2022. Daripada jumlah itu, 20 laras adalah milik PDRM, tiga milik APMM dan dua lagi milik pasukan RELA.
Antara sebab kehilangan senjata api ialah kegagalan anggota mematuhi peraturan atau arahan agensi masing-masing supaya mereka menyarungkannya dengan sempurna atau memasang tali lanyard bagi mencegah kehilangan.
"Kehilangan senjata api boleh mendatangkan risiko penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, kehilangan senjata api juga boleh menjejaskan kesiapsiagaan senjata agensi terlibat," katanya.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu memaklumkan ia akan meneliti LKAN 2022.
"PAC akan memberi tumpuan kepada tajuk-tajuk yang mempunyai 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran serta kecuaian," kata Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Parlimen.
Sementara itu, dua badan bukan kerajaan menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap Syarikat X yang gagal memenuhi tanggungjawab membekalkan senjata api kepada PDRM melalui KDN.
Meor Chek Hussien Mahayuddin, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia, berkata keingkaran kontraktor tersebut pasti menjejaskan kecekapan PDRM dalam menjalankan tugasnya disebabkan kekurangan aset.
"Sepatutnya ada aset tetapi tidak dapat. Itu menjejaskan penugasan serta perkhidmatan polis… mengapa tindakan tidak diambil dengan pantas… ia sudah berlarutan sejak 2014," katanya kepada BenarNews sambil menambah latar belakang semua syarikat harus disemak sebelum diberikan tender kerajaan.
Muhammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia, pula berkata kerugian sebanyak RM6.34 juta itu tidak boleh diterima kerana ia adalah wang pembayar cukai.
Beliau turut menyifatkan pegawai kerajaan yang tidak memastikan kontraktor menepati perjanjian sebagai telah gagal melaksanakan amanah mereka.
"Tindakan harus diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. Isu sebegini nampaknya menjadi perkara yang berulang setiap tahun di kementerian dan agensi berlainan.
"Mengapa kita tidak belajar daripada kesilapan? Ia kerana kita tidak mempunyai budaya kebertanggungjawaban," katanya kepada BenarNews.