Thailand Gesa Kerjasama Serantau Hentikan Pemerdagangan Manusia

Oleh Nasueroh and Jesmin Papri
2015.05.08
150508-MY-TH-BANGLA620 Duta Bangladesh ke Thailand, Saida Muna Tasneem (dua dari kanan) bertemu dengan Kolonel Polis Nares Inprom (dua dari kiri) di Hat Yai, wilayah Songkhla, 8 Mei, 2015.
BenarNews

Terkejut dengan penemuan 32 mayat pendatang yang diperdagangkan di selatan Thailand, junta di Bangkok pada Jumaat meminta kerjasama Malaysia dan Myanmar untuk membantu membanteras masalah penyeludupan manusia yang semakin berleluasa di rantau ini.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, dalam ucapan lewatnya di televisyen, mengakui  penglibatan pegawai-pegawai kerajaan dalam sindiket pemerdagangan manusia yang menguntungkan itu, di tengah-tengah laporan bahawa datuk bandar dan timbalan datuk bandar telah ditangkap dan kira-kira 50 pegawai polis ditukarkan daripada jawatan mereka di kawasan selatan yang bermasalah di negara itu.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri supaya menghubungi Malaysia dan Myanmar untuk mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan perkara ini," kata Prayuth kepada wartawan, menurut agensi berita Reuters. "Kami fikir mesyuarat itu boleh diadakan akhir bulan ini.

Selatan Thailand amat terkenal sebagai pusat transit penyeludupan warga Islam Rohingya ke Malaysia. Mereka yang tidak mempunyai negara itu, melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Duta Bangladesh ke Thailand Saida Muna Tasneem berkata negaranya juga bersedia untuk bekerjasama dengan Thailand untuk membendung masalah itu.

"Tidak lama lagi, Bangladesh akan berbincang dengan kerajaan Thai mengenai kerjasama antara kedua-dua negara untuk tindakan bersama bagi membanteras penyeludupan manusia," kata beliau kepada Berita Benar ketika dihubungi melalui telefon pada Jumaat.

Beliau dihubungi sebelum berlepas ke Songkhla, di mana beliau bertemu dengan gabenor, ketua polis wilayah dan dua pendatang Bangladesh yang ditemui di daerah selatan Thailand baru-baru ini.

Pada perkembangan lain 60 pendatang Bangladesh ditahan semasa mereka  merentas sebuah ladang  getah di daerah Rattapum, di Songkhla,  kata Kolonel Polis Polahol Ketkaew, yang bertugas dengan peronda sempadan tempatan.

Pengedar disyaki dibunuh di Bangladesh

Sementara itu di Dhaka, Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal, memberitahu pemberita bahawa kerajaan Bangladesh akan bertindak tegas membanteras pemerdagangan manusia.

"Agensi perundangan dan penguatkuasaan akan memburu para pengedar... yang menyeludup lelaki Bangladesh atau Rohingya menggunakan laluan Thai untuk masuk ke Malaysia, dan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya.

Pada Jumaat, polis Bangladesh menembak mati tiga suspek, yang dituduh memperdagangkan beribu-ribu warganegara Bangladesh dan Burma, semasa kejadian tembak menembak di daerah Bazar Cox,  berhampiran sempadan Myanmar.

Ketiga-tiga lelaki itu mengendalikan operasi rangkaian pemerdagangan manusia di Bangladesh, Thailand dan Malaysia,  Agence France-Presse memetik Ataur Rahman, Ketua Polis di daerah itu, sebagai berkata.

"Ketiga-tiga adalah penyeludup manusia yang paling terkenal telah beroperasi di sepanjang sempadan Bangladesh-Myanmar selama bertahun-tahun,"

Lebih banyak tangkapan di Thailand

Di selatan Thailand, beberapa pegawai tempatan dan warganegara  Burma telah ditangkap atas tuduhan pemerdagangan manusia yang berkaitan dengan kubur-kubur pendatang yang ditemui di kawasan hutan di Songkhla.

Polis negara itu, pada Jumaat mengumumkan bahawa Datuk Bandar Padang Besar – sebuah daerah kecil di Songkhla di mana mayat-mayat itu ditemui - telah ditangkap berkaitan dengan kes berkenaan. Timbalan Datuk Bandar Padang Besar telah ditangkap sehari sebelum itu atas tuduhan yang sama.

Ketika mengumumkan penangkapan Datuk Bandar Banjong Pongpol, ketua polis negara Jeneral Somyos Poompanmuang memberi amaran keras sambil merujuk kepada 50 pegawai yang dikenakan tindakan disiplin  awal minggu ini berikutan didakwa berperanan dalam membantu sindiket pemerdagangan manusia itu,  lapor Associated Press.

"Jika anda masih mengabaikan, atau terlibat dengan, atau  menyokong atau mendapat manfaat daripada rangkaian pemerdagangan manusia – anda akan menerima akibatnya," AP memetik Somyos sebagai memberitahu pemberita di Bangkok.

Pada petang Jumaat, Somyos  ke wilayah Trang di bahagian selatan, di mana beliau mengumumkan penangkapan suspek ketujuh dalam kes itu, Supoj Meuansew, seorang pembunuh upahan  yang dikaitkan  dengan kes pemerdagangan manusia itu.

Supoj ditangkap atas tuduhan pembunuhan dan pemerdagangan  manusia, selain merupakan "suspek utama" dalam sindiket itu yang dimiliki oleh Banjong, kata Somyos.

PBB: 'Peningkatan ketara’ perjalanan merentasi lautan berbahaya

Di Geneva, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) mengumumkan bahawa jumlah pendatang haram yang mengikut perjalanan laut berbahaya di dalam dan sekitar Teluk Bengal telah meningkat dengan ketaranya pada suku pertama 2015.

UNHCR menganggarkan kira-kira 25,000 orang Rohingya dan warganegara Bangladesh menaiki bot penyeludup dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini - hampir dua kali ganda daripada jumlah mereka yang berbuat demikian di rantau itu dalam tempoh sama tahun lepas.

UNHCR mengeluarkan kenyataan yang mengalu-alukan tindakan tegas kerajaan Thailand membanteras pemerdagangan manusia, tetapi agensi itu berkata ia terkejut dengan kematian pendatang-pendatang itu yang mayat mereka  ditemui di Songkhla.

"Memandangkan kadar peningkatan dan tahap penghijrahan beramai-ramai menggunakan bot, UNHCR menyeru negara-negara di rantau ini supaya menjalinkan kerjasama dengan lebih erat untuk menangani penyeludupan dan pemerdagangan mereka yang lemah ini," kata jurucakap UNHCR Adrian Edwards.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.