Beijing Pancing Anggota ASEAN Dengan Tawaran Perdagangan

Bagaimanapun tiada kemajuan dilihat dalam rundingan bagi tatakelakuan mengenai Laut China Selatan susulan peningkatan keagresifan Beijing.
Tria Dianti
Jakarta
2021-11-22
Share
Beijing Pancing Anggota ASEAN Dengan Tawaran Perdagangan Gambar tangkap layar menunjukkan pemimpin sembilan negara ASEAN dan China mengangkat tangan sebagai tanda mereka hadir pada mesyuarat khas maya ASEAN-China, yang menyaksikan Myanmar tidak menghantar wakil, 22 Nov 2021.
[Foto ihsan @saifuddinabd via Twitter]

Presiden China pada Isnin berkata negara itu akan membeli produk pertanian bernilai AS$150 bilion daripada negara-negara ASEAN bagi tempoh lima tahun ketika beliau memberi jaminan bahawa Beijing tidak berhasrat untuk mendominasi, membuli atau mengancam jiran-jirannya.

Xi Jinping berkata demikian pada sidang kemuncak khas bersama dengan pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)  sempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China. Myanmar tidak hadir selepas ASEAN menyatakan hasrat untuk menyekat pemimpin junta tentera Burma daripada menyertai sidang kemuncak utama yang kedua itu secara berturut-turut.

Xi berkata Beijing dan ASEAN perlu memelihara kestabilan di Laut China Selatan namun beliau dan kenyataan bersama China-ASEAN tidak memberikan garis masa untuk tatakelakuan berhubung pertembungan yang berlaku di kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu.

“China bersedia mengimport lebih banyak produk berkualiti dari negara-negara ASEAN termasuk membeli produk pertanian yang bernilai sehingga AS$150 bilion dari ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Xi.

Tahun lepas, ASEAN menjadi rakan perdagangan terbesar China, menggantikan Kesatuan Eropah – dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$732 bilion.

Xi berkata China bersedia menyalurkan satu lagi bantuan pembangunan bernilai AS$1.5 bilion kepada negara anggota ASEAN bagi tempoh tiga tahun akan datang bagi pemulihan ekonomi pasca pandemik  COVID-19.

Menyentuh isu keselamatan serantau, Xi berkata “usaha bersama diperlukan bagi melindungi kestabilan di Laut China Selatan dan menjadikan ia sebagai laut yang penuh dengan keamanan, persahabatan dan kerjasama,” katanya.

Bagaimanapun, Xi tidak menyebut mengenai tuntutan bertindih Beijing dan empat negara anggota ASEAN ke atas Laut China Selatan atau menyentuh dakwaan pencerobohan oleh kapal dan pesawat miliknya ke perairan atau ruang udara negara terbabit, sebaliknya beliau merujuk ketegangan berkaitan perkara itu secara tidak langsung.

“China dengan tegas membantah hegemonisme dan politik kuasa… China tidak akan mengamalkan hegemoni atau membuli negara lebih kecil,” kata Xi.

“China ingin menjalinkan hubungan jangka panjang, bergaul mesra dengan negara-negara jiran, dan turut berusaha ke arah mewujudka keamanan di rantau ini. China tidak akan mengamalkan hegemoni, jauh sekali membuli negara-negara yang lebih kecil.”

Beijing menuntut hampir keseluruhan kawasan perairan di Laut China Selatan, termasuk yang berada di dalam zon ekonomi eksklusif empat negara penuntut dari ASEAN iaitu Filipina, Malaysia, Brunei dan Vietnam.

Kenyataan Xi dibuat selepas Filipina mengeluarkan bantahan keras pada Khamis lepas berhubung tindakan pengawal pantai China yang didakwa melepaskan tembakan meriam air bagi menghalang misi menghantar bekalan kepada pos kawalan tentera di terumbu karang yang terletak di Laut China Selatan.

China mendakwa bot Filipina itu ‘telah menceroboh’ perairan China.

Semasa sidang kemuncak pada Isnin itu bersama Xi, Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi amaran bahawa insiden itu boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Satu perintah tribunal arbitrasi antarabangsa pada 2016 membatalkan tuntutan menyeluruh Beijing ke atas Laut China Selatan kerana ia bercanggah dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Tribunal itu mengesahkan hak-hak kedaulatan Manila bagi zon ekonomi eksklusif sepanjang 200 batu nautika di laut itu.

China enggan menerima perintah ini yang dikeluarkan oleh UNCLOS.

Tatakelakuan mengenai Laut China Selatan

Bagaimanapun, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ASEAN dan China di akhir sidang kemuncak sehari itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mengesahkan “kepentingan mendukung undang-undang antarabangsa, termasuk …UNCLOS 1982.”

ASEAN dan China turut mengulangi komitmen masing-masing “untuk mengekal dan mempromosi satu persekitaran yang kondusif kepada rundingan mengenai Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Ia menambah bahawa kedua-dua pihak tidak sabar-sabar menanti rumusan awal “COC yang berkesan dan substantif yang selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.”

Draf pertama tatakelakuan itu telah dibentangkan pada 2017 namun prosesnya telah berlarutan. Pada November 2020, anggota ASEAN berkata mereka berharap untuk menyiapkan tatakelakuan itu tahun ini namun gelombang pandemik baharu dan serius telah melewatkan rundingan berhubung isu tersebuts.

Renne Pattirajawane, Pengerusi Yayasan Pusat Pengajian China yang berpangkalan di Jakarta berkata isu paling mendesak yang perlu diselesaikan oleh ASEAN bersama China ialah tatakelakuan.

“Apa statusnya? Adakah ia dibincangkan? Ini adalah penting dan harus dirundingkan segera. Terdapat keperluan untuk mendapatkan komitmen yang lebih konkrit daripada China,” kata Renne kepada BenarNews.

China dilaporkan berharap akan ada keputusan mengenai Tatakelakuan semasa sidang kemuncak pada Isnin sempena ulang tahun ke-30 dialog antara Beijing dan ASEAN, namun perkara itu nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Myanmar tidak diwakili

Myanmar tidak diwakili semasa sidang kemuncak pada Isnin, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah kepada pemberita,

Negara-Negara ASEAN telah memilih untuk tidak menjemput pemimpin junta Gen Min Aung Hlaing susulan kegagalan pihak tentera negara itu mengambil tindakan untuk memulihkan demokrasi susulan rampasan kuasa pada 1 Feb lepas, kata Saifuddin.

Sembilan daripada 10 negara ASEAN bersetuju dengan cadangan China agar Duta Myanmar ke Beijing mewakili negara itu pada sidang kemuncak tersebut, kata Menteri Luar Malaysia itu.

“Bagaimanapun, pagi ini kami tidak menerima sebarang kata putus dan sidang kemuncak itu berlangsung tanpa kehadiran wakil Myanmar,” katanya.

Menerusi langkah yang belum pernah berlaku, ASEAN bulan lepas melarang Min Aung Hlaing menyertai sidang kemuncak itu, dengan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Filipina mempelopori usaha untuk tidak menjemput pemimpin junta itu.

Jurucakap Junta Zaw Min Tun memaklumkan kepada pemberita termasuk Radio Free Asia (RFA), yang merupakan sekutu BenarNews, bahawa China telah menjemput Myanmar ke mesyuarat itu.

“Pihak China telah menjemput kami ke mesyuarat itu. Kami berterima kasih kepada China kerana menyelaras dengan negara-negara ASEAN (untuk membolehkan kami) menghadiri mesyuarat itu,” katanya.

Beliau berkata sesetengah negara ASEAN mendesak bahawa hanya individu yang tidak mempunyai agenda politik dibenarkan menyertai sidang kemuncak China-ASEAN itu.

RFA berulang kali menghubungi jurucakap junta itu namun belum menerima sebarang maklum balas.

 Khamis lepas, agensi berita Reuters telah melaporkan bahawa utusan China sedang melobi negara anggota ASEAN untuk membenarkan Min Aung Hlaing hadir. Sehari kemudian, jurucakapa Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah memberitahu BenarNews bahawa Jakarta memihak kepada langkah melarang Min Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak itu.

Ketika pemberita menyoal jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian mengapa Myanmar tidak diwakili pada sidang kemuncak itu, beliau menyatakan banyak perkara namun tidak menjawab soalan itu.

Myanmar adalah “ahli yang penting dalam keluarga ASEAN,” katanya.

“China sentiasa menyokong solidariti ASEAN dan menyokong ASEAN dalam melaksanakan konsensus lima perkara berkaitan Myanmar,” kata Zhao merujuk kepada desakan para pemimpin rantau itu kepada pihak junta agar mereka, antara lain, menamatkan keganasan dan mengadakan dialog dengan anggota kerajaan yang telah digulingkan.

Hla Kyaw Zaw, seorang penganalisis politik yang berpangkalan di China, berkata negara itu ingin menjemput junta untuk menyertai sidang kemuncak itu namun gagal mengatasi bantahan daripada negara anggota ASEAN. Beliau berkata utusan khas Kementerian Luar China bagi Asia, Sun Guoxian, telah melawat Singapura dan Brunei pada awal bulan ini untuk melobi (tidak berjaya) ASEAN, sebelum beliau berlepas ke Myanmar.

 “China nampaknya ingin mengekalkan hubungan baik dengan junta dan pada masa yang sama tidak mahu Myanmar malu. Jadi, saya rasa beliau [Sun] melawat Myanmar untuk berbincang mengenai situasi ini secara menyeluruh.”

Penerimaan China terhadap keputusan ASEAN membuktikan negara itu tidak lagi melakukan perkara yang sering dilakukannya sebelum ini iaitu mempertahan kediktatoran tentera Myanmar, kata Hla Kyaw Zaw.

Seorang lagi penganalisis Than Soe Naing, juga berkata Min Aung Hlaing kini berdepan kebuntuan kerana China tidak lagi menyokong junta sepenuhnya.

“Min Aung Hlaing kini berdepan peperangan dengan seluruh negara dan China nampaknya enggan memberikan beliau sokongan lanjut. Selain itu, memberikan Min Aung Hlaing jalan keluar…,” kata Than Soe Naing.

“Jadi, kita boleh katakan Min Aung Hlaing kini terperangkap secara diplomatik. Dan jika beliau tidak boleh menjalinkan hubungan baik dengan China, beliau akan menemui jalan buntu.”

Hadi Azmi dan Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur, Jason Gutierrez di Manila, Pimuk Rakkanam di Bangkok dan Perkhidmatan Radio Free Asia Myanmar menyumbang kepada artikel ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh