Bekalan Terjejas, Harga Sarung Tangan Getah Mungkin Meningkat - Top Glove

Syarikat itu juga menjangkakan kelewatan dari segi penghantaran selepas menggantung operasi di 28 kilangnya susulan jangkitan koronavirus secara besar-besaran.
Hadi Azmi
2020.11.25
Kuala Lumpur
201124-my-glove-building620.jpg Sebuah kilang Top Glove di Klang, Malaysia kelihatan lengang selepas operasinya digantung minggu ini, 17 Nov 2020.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia pada Rabu berkata harga produk itu mungkin meningkat disebabkan bekalan terjejas akibat penutupan separuh daripada kilangnya susulan jangkitan koronavirus secara besar-besaran dalam kalangan pekerja syarikat itu.

Lebih 2,000 pelanggan Top Glove Malaysia di seluruh dunia akan turut mengalami kelewatan dari segi penghantaran sekurang-kurangnya dua minggu, kata Pengerusi Eksekutif syarikat itu Lim Wee Chai berhubung bekalan sarung tangan getah perubatan yang penting kepada penyedia penjagaan kesihatan semasa pandemik COVID-19.

“Sudah tentu akan terdapat kekurangan bekalan memandangkan Top Glove adalah pembekal sarung tangan getah yang besar di dunia. Bekalan sudah tentu akan terjejas. Terdapat kemungkinan harga sarung tangan getah akan meningkat," kata Lim dalam sidang berita secara maya pada Rabu.

“Penutupan kilang terbabit dijangka mengakibatkan kelewatan sehingga dua minggu dalam penghantaran bekalan sarung tangan getah kepada pelanggan.”

Pada Isnin, kerajaan telah mengarahkan Top Glove menggantung operasinya secara berperingkat di 28 kilang yang menggaji kira 11,200 orang selepas hampir 3,000 kes jangkitan koronavirus dikesan dalam kalangan pekerjanya.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, atau MARGMA, pada Rabu berkata penutupan kilang Top Glove tidak akan menjejaskan bekalan produk tersebut.

“Yakinlah bahawa kapasiti baharu disediakan untuk memanfaatkan kekurangan bekalan sementara dan tidak akan berlaku gangguan bekalan yang teruk,” kata MARGMA.

Syarikat di Malaysia mengeluarkan sebanyak 65 peratus daripada sarung tangan getah dunia. Top Glove membekalkan lebih satu perempat atau 90 bilion pasang sarung tangan getah dunia setiap tahun.

Pandemik koronavirus telah menyebabkan permintaan dan keuntungan bagi produk itu. Untung bersih suku keempat Top Glove bagi tempoh tiga bulan berakhir pada 31 Ogos 2020 meningkat kepada 1.33 bilion ringgit berbanding 74 juta ringgit tahun sebelumnya, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 18 kali ganda.

Memandangkan vaksin bagi COVID-19 sedang dihasilkan, permintaan tinggi untuk sarung tangan getah akan berterusan.

“Tujuh bilion pasang sarung tangan getah diperlukan untuk menyuntik vaksin itu. Setiap individu memerlukan dua dos vaksin itu, jadi sebanyak 14 bilion pasang sarung tangan getah diperlukan. :Perniagaan amat menguntungkan,” kata Lim.

‘Keadaan adalah teruk’

Bagaimanapun, operasi Top Glove masih dicurigai selepas lebih 2,684 kes jangkitan koronavirus dikaitkan dengan kluster tempat kerja di kilangnya di Klang yang terletak berhampiran Kuala Lumpur setakat Rabu, demikian menurut data kementerian kesihatan.

Kementerian kesihatan berkata kes jangkitan dari kilang Top Glove di Klang turut merebak di kawasan sekitar. Pada Rabu, Malaysia melaporkan 970 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59, 817.

Syarikat itu berkata jumlah kes yang tinggi itu adalah hasil saringan besar-besaran yang dijalankan dari Isnin hingga Rabu.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia Malaysia M.Saravanan mempunyai pendapat yang berbeza.

Beliau yang melawat beberapa kilang dan asrama pekerja Top Glove baru-baru ini memberitahu sebuah akhbar di Malaysia bahawa keadaan tempat tinggal di kawasan itu adalah teruk dan tidak memuaskan.

“Saya telah melawat asrama dan keadaannya adalah teruk. Saya telah mengarahkan agar semua pegawai saya turun padang kerana ini adalah satu koloni pekerja migran yang besar dan mudah terdedah. Jika kita tidak  bertindak, kluster ini mungkin tidak dapat dikawal,” kata Saravanan kepada The Star dalam satu artikel yang disiarkan pada Rabu.

“Jabatan Buruh akan memastikan majikan dipertanggungjawabkan bagi keadaan pekerja dan tindakan keras akan diambil mengikut lunas undang-undang …Kami bukan sekadar menghantar pasukan untuk memeriksa keadaan di Top Glove. Ia akan membabitkan keseluruhan bahagian dalam Jabatan Buruh.”

Amerika Syarikat pada Julai telah melarang import sarung tangan getah dari Top Glove atas alaasan terdapat ‘bukti munasabah’ mengenai kewujudan buruh paksa di kilangnya.

Kini, penularan koronavirus di kilang Top Glove telah menyebabkan Kementerian Sumber Manusia Malaysia mula menguatkuasakan pindaan baharu dalam Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 seawal Khamis.

Pindaan itu memberi mandat kepada majikan untuk menyediakan tempat tinggal kepada pekerja dengan tahap keselamatan dan kebersihan minimum di penginapan mereka.

“Kementerian Sumber Manusia hari ini memaklumkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bahawa akta itu akan dilaksanakan mulai esok dan mereka akan memastikan bahawa ia dipatuhi semua majikan serta industri,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semasa taklimat harian perkembangan COVID-19 pada Rabu.

“Mereka yang melakukan kesalahan kerana tidak menyediakan kediaman yang sempurna boleh didenda 50,000 ringgit (US$12,217) bagi setiap pekerja yang bermakna jika terdapat 10 pekerja, majikan boleh didenda sebanyak 500,000 ringgit (US$122,175).”

Top Glove pada Rabu berkata ia akan meminta Kementerian Sumber Manusia memaklumkan sebarang kelemahan dalam kemudahan penginapan yang disediakan syarikat itu.

“Kami perlu berbincang dengan Kementerian itu mengenai apa yang kami buat yang dirasakan tidak betul dan bagaimana kami boleh memperbaikinya,” kata Pengarah Urusan Top Glove K.M. Lee.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.