Follow us

Anwar Angkat Sumpah Ahli Parlimen Port Dickson

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-10-15
E-mel
Komen
Share
Anwar Ibrahim bercakap dengan pemberita di lobi parlimen di Kuala Lumpur selepas angkat sumpah sebagai ahli parlimen Port Dickson, 15 Oktober, 2018.
Anwar Ibrahim bercakap dengan pemberita di lobi parlimen di Kuala Lumpur selepas angkat sumpah sebagai ahli parlimen Port Dickson, 15 Oktober, 2018.
BeritaBenar/S. Mahfuz

Ahli politik Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen Isnin selepas kemenangannya dalam Pilihanraya kecil Port Dickson pada Sabtu, yang turut membuka jalan buat beliau ke Putrajaya sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia untuk mengambil alih daripada Mahathir Mohamad di masa depan.

Berpakaian tradisional Melayu berwarna hitam, Anwar secara rasminya mengangkat sumpah pada 10 pagi di hadapan speaker dewan Mohamad Ariff Md Yusof yang turut mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Port Dickson disertai dengan sorakan gemuruh dari dewan.

Anwar yang kehilangan kerusi pada 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun kerana dituduh meliwat pembantu beliau pada 2008, memberitahu pemberita bahawa beliau berasa lega dapat kembali ke parlimen setelah dirampas hak itu sebelum ini.

“Saya telah dinafikan hak saya dari masa ke sama dan saya terpaksa melalui pilihanraya kecil untuk kembali,” kata Anwar yang turut menceritakan pengalaman beliau dipenjarakan di bawah dakwaan yang bermotifkan politik.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi beliau di pekan kecil Port Dickson berkata, pengalaman yang beliau harungi menguatkan lagi kepercayaan beliau dalam kebijaksanaan pengundi.

“Saya berkongsi kebanggaan ini dengan pengundi-pengundi di Port Dickson. Rakyat ada kebijaksanaan mereka,” kata Anwar di sidang media selepas beliau selesai mengangkat sumpah.

Walaupun mendapat jumlah undi yang terbesar sejak beliau bertanding pada tahun 1982 iaitu dengan mendapat 31,016 kerusi di Port Dickson, Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat kritikan kerana dituduh sengaja mewujudkan kekosongan kerusi di kawasan parlimen tersebut untuk membuka ruang bagi ahli politik veteran itu bertanding.

Tentangan lantang tersebut juga datang daripada seorang personaliti Twitter tempatan, Stevie Chan yang masuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu sebagai protes terhadap apa yang dikatakannya sebagai “susun atur politik yang membelakangi konsep politik perwakilan”.

Chan walau bagaimanapun cuma mampu meyakinkan 337 pengundi dengan hujah beliau.

“Golongan elit di Kuala Lumpur boleh berfikir dan berdebat atau berbincang atau pun membuat keputusan, namun semua itu ada hadnya.

“Bagi kami, kami percaya kepada kebijaksanaan pengundi,” tambah Anwar lagi.

Walaupun kini beliau semakin hampir dengan tampuk kuasa tertinggi negara, Anwar bertegas tidak mahu masuk campur dalam soal pentadbiran Mahathir dan juga berjanji untuk tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kabinet.

“Saya mahu memberi ruang kepada Mahathir untuk meneruskan tugasnya tanpa terikat dengan kekangan masa dan sebarang tekanan. Ini sangat penting,” tegas Anwar.

Sebaliknya ahli parlimen Port Dickson itu berkata beliau berazam untuk menyalurkan tumpuan beliau ke arah reformasi parlimen.

“Sejak sekian lama parlimen kita cuma dianggap sebagai ‘rubber stamp’ dimana ahli parlimen berdebat namun kesudahannya semuanya akan menyokong sesuatu yang telah ditentukan oleh kerajaan,” kata Anwar sambil menggariskan pelan beliau untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas ke arah pengukuhan badan perundangan itu.

Bercakap kepada BeritaBenar, penganalisa politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, penting bagi Anwar untuk membuktikan beliau bukan gopoh dan hanya melakukan proses ini untuk menjamin tempat beliau sebagai bakal perdana menteri.

“Dengan pengalaman dan reputasi beliau, Anwar boleh membantu memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan baru yang banyak kontroversi terutama isu Melayu, Islam, dan institusi di Raja,” kata Awang Azman.

Mengulas mengenai bakal pengganti beliau, Mahathir berkata beliau memang menyangka Anwar akan menang dan gembira dengan kemenangan besar tersebut.

“Terdapat tujuh orang yang bertanding dan pihak pembangkang terpisah kepada enam, jadi yang nombor tujuh itulah yang akan menjadi juara, dan dia menang dengan undi yang sangat besar,” kata Mahathir.

Timbalan Perdana Menteri yang juga isteri kepada Anwar, Wan Azizah Wan Ismail juga menyatakan kegembiraan beliau dengan menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti terlaksananya keadilan.

Beliau juga turut mengingatkan pihak media bahawa semua ini tidak mungkin berlaku tanpa pengampunan diraja yang dikurniakan ke atas Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong pada Mei 16 lalu.

Hasil dari kemenangan bersejarah di mana Pakatan Harapan merampas tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional setelah enam dekat berkuasa, Anwar yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara telah diberikan pengampunan penuh daripada Istana Negara yang memadamkan rekod jenayah lampau beliau dan membuka jalan untuk beliau kembali aktif dalam politik.

Di sebalik pujian yang diterima Anwar di parlimen, hari bersejarah beliau itu tidak diendahkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang tidak hadir di majlis angkat sumpah ahli parlimen Port Dickson itu dengan hanya tiba di bangunan parlimen pada waktu tengahari.

Bekas perdana menteri yang kini berhadapan dengan 32 tuduhan salahlaku rasuah itu walau bagaimanapun kelihatan ceria dan sempat berseloroh dengan pihak media sebelum masuk ke dalam Dewan Rakyat tanpa menjawab sebarang soalan berkenaan dengan Anwar.

Ketika diajukan soalan yang sama, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Abdul Hadi Awang sebaliknya berkata beliau gembira dengan keputusan pilihanraya kecil Port Dickson itu walaupun cuma mendapat 7,456 undi, atau kurang 23,560 daripada Anwar.

“Saya gembira kerana kita ada peningkatan undi, lebih 7,000 daripada dulu 6,000 dan kita bertanding sendirian, dalam pertandingan tujuh penjuru,” said Hadi.

Mesyuarat kedua Parlimen ke-14 bermula Isnin dan akan berlangsung selama 30 hari sehingga Disember 11 di mana pemansuhan Akta Hasutan dan hukum mati dijangka akan dibentangkan pada sesi kali ini.

Lihat Laman Penuh