Buruh Didakwa Rancang Serang Rumah Ibadat, Bunuh Empat Individu

Ali Nufael
2019.05.29
Kuala Terengganu, Malaysia
190529-MY-suspect-620.jpg Mahadi Mamat (berbaju gelap dan bergari) diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk pendakwaan, Kuala Terengganu, Malaysia.
Ihsan Polis Diraja Malaysia

Buruh binaan berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu untuk berdepan lapan pertuduhan berkaitan keganasan termasuk merancang melakukan serangan berskala besar di Kuil Seri Maha Mariamman serta berniat membunuh empat individu berprofil tinggi di Malaysia.

Mahadi Mamat, yang tidak diwakili peguam, didakwa di hadapan Hakim Wan Nur Azimah Yakob atas pertuduhan mendapatkan sokongan untuk melakukan perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di rumah ibadat itu di bawah Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Izhanuddin Alias, Mahadi juga didakwa "mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat warganegara Malaysia melalui kumpulan sembang WhatsApp “Sejati Sejiwa.”

Mahadi, yang tunduk ketika pertuduhan dibacakan, turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 130F (a) di mana dia bersetuju memberikan latihan dalam penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan WhatsApp “Sejati Sejiwa.” Di bawah pertuduhan ini, Mahadi berdepan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

"Tertuduh yang bekerja sebagai buruh turut memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp “Sejati Sejiwa,” kata Izhanuddin.

Mahadi, yang beralamat di Kampung Teris Kuala Berang, turut didakwa di bawah Seksyen 130JD (1) iaitu memiliki 6 butir bom paip bagi tujuan keganasan dan mendapatkan sepucuk pistol separa automatik CZ 75 B selain memiliki 15 butir peluru jenis “Luger 9mm” bagi membunuh empat individu tersebut.

"Dua pertuduhan lain membabitkan Mahadi ialah di bawah Seksyen 130E dan 130JB(1)(a) iaitu merekrut beberapa individu lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp “Sejati Sejiwa” dan memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam," kata Izhanuddin.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 130E Kanun Keseksaan, seseorang itu boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda manakala bagi Seksyen 130JB(1)(a) pula, seseorang itu berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Tiada pengakuan yang direkodkan daripada tertuduh pada prosiding hari ini.

Hakim Wan Nur Azimah menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan forensik.

"Mahkamah bersetuju menetapkan tarikh Julai 9 sebagai sebutan kes sementara menunggu keputusan forensik," kata hakim.

Menurut Izhanuddin lagi, Mahadi diberkas polis cawangan khas Bukit Aman pada 5 Mei pukul 5.45 petang. Turut dirampas dalam serbuan itu ialah enam butir bom paip serta sepucuk pistol jenis CZ 75 dan juga 15 butir peluru.

"Tertuduh telah ditangkap di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti kesalahan keselamatan," kata Izhanuddin sewaktu pendengaran kes pagi Rabu.

Tambah beliau, 3 pertuduhan di bawah kesalahan Sekyen 8 (a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), Mahadi akan didakwa pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Tertuduh telah ditempatkan di Tempat Tahanan Polis, Mukim Batu untuk proses soal siasat sepanjang tempoh reman selama 28 hari."

"Beliau, yang merupakan ketua kepada sel ini, telah merancang bersama-sama ahli lain di dalam kumpulan whatsApp "Sejati Sejiwa* untuk menyerang Kuil Sri Mahamariamman Seafield dan membunuh 4 orang VVIP yang identiti mereka dirahsiakan," kata Izhanuddin lagi.

Pada 15 Mei lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media berkata bahawa suspek utama, iaitu Mahadi, telah ditahan bersama-sama dua warga Rohingya dan seorang warga Indonesia yang merancang melakukan serangan pengganas pada bulan Ramadan.

Kesemua suspek ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Terengganu antara 5 dan 7 Mei kerana dipercayai merancang untuk mengebom kuil Hindu, Buddha, gereja dan tempat hiburan pada minggu pertama bulan puasa.

Arahan untuk melaksanakan plot keganasan itu telah diberikan seorang militan Malaysia yang beroperasi di Syria dan sumber polis memberitahu BeritaBenar sebelum ini bahawa individu itu telah dikenal pasti sebagai Akel Zainal(atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal).

Seorang suspek Rohingya yang ditahan berusia 20 tahun adalah pemegang kad suaka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian [UNHCR] dan mengaku telah memberi sokongan kepada Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sebuah kumpulan pemberontak yang beroperasi di negeri Rakhine, Myanmar yang menyaksikan komuniti minoriti Rohingya tidak mempunyai kerakyatan, kata ketua polis itu.

"Dia juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur," kata Abdul Hamid sambil menambah bahawa suspek kedua etnik Rohingya, yang juga seorang buruh berusia 25 tahun, telah mengaku bahawa beliau adalah ahli sel IS tempatan.

Tiga lagi yang diburu pihak polis, yang mempunyai kaitan dengan tangkapan awal itu, berjaya ditahan sehari kemudian.

Polis mendakwa ahli sel militan Negara Islam merancang untuk melakukan pembunuhan dan tindakan keganasan pada minggu pertama Ramadan sebagai membalas dendam di atas kematian seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang meninggal dunia semasa rusuhan di sebuah kuil Hindu di Selangor pada November tahun lalu.

Setakat hari ini sepanjang tahun 2019, kira-kira 33 orang telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan di Malaysia.

Daripada jumlah itu, 10 orang telah didakwa manakala sembilan lagi dibebaskan, enam diusir dari Malaysia, seorang dirujuk kepada agensi asing manakala tujuh masih dalam tahanan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.