Malaysia Wajibkan Pemakaian Pelitup Muka Bermula 1 Ogos

Noah Lee
2020.07.23
Kuala Lumpur
200723-MY-covid-sabarina-620.jpg Orang ramai memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan COVID-19 ketika keluar membeli-belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Malaysia, 23 Mei 2020.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Malaysia akan menguatkuasakan peraturan baharu mewajibkan semua individu memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos depan selepas jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatatkan kenaikan sejak beberapa hari lalu dengan kluster jangkitan baharu turut dikesan di beberapa negeri termasuk Sarawak.

Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa yang gagal mematuhi arahan tersebut. Di bawah akta itu pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 (AS$234) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama oleh mahkamah. Mereka yang didapati melakukan kesalahan berulang berdepan hukuman lebih berat.

Di Putrajaya pada Khamis, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka selepas mendapati trend jangkitan COVID-19 semakin meningkat manakala kadar pematuhan orang awam terhadap tatacara yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) semakin menurun.

“Prosedur operasi standard di tempat awam yang sesak terutama yang tertutup juga didapati tidak diendahkan segelintir pihak. Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan mulai 1 Ogos 2020, pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan,” kata Ismail Sabri.

Pada 8 Jun lalu, Malaysia merekodkan jumlah kes baharu harian dalam lingkungan satu angka buat pertama kali dalam tempoh tiga bulan. Sejak itu, jumlah kes harian berjaya dikekalkan dalam julat yang rendah. Namun pada 17 Julai lepas, KKM mula mengesan peningkatan mendadak apabila sejumlah 18 kes baharu direkodkan.

Bilangan kes baharu kembali menurun kepada satu angka sehari selepas itu dengan hanya lima kes direkodkan namun meningkat semula kepada dua angka selama empat hari berturut-turut iaitu 15 kes pada 19 Julai, 21 kes pada 20 Julai, 15 kes pada 21 Julai, dan 16 kes pada 22 Julai.

Dalam perkembangan terkini pada Khamis, KKM mencatatkan sembilan kes baharu dengan enam daripadanya adalah penularan tempatan manakala tiga lagi kes import membabitkan seorang warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang mendapat kebenaran memasuki negara bagi urusan keluarga serta pekerjaan.

Dalam tempoh lima hari lepas (Ahad hingga Khamis), KKM mengesan kluster baharu COVID-19 di beberapa neger, termasuk satu yang membabitkan 11 warga emas di sebuah rumah kebajikan di Kluang, Johor. Kluster rumah jagaan orang tua itu dikesan selepas seorang penghuni lelaki berusia 72 tahun meninggal dunia pada 17 Julai dan ujian COVID-19 yang dibuat mendapati mangsa adalah positif virus tersebut.

“Keputusan ini mengambil kira penambahan kluster baharu yang telah dikenal pasti serta atas nasihat KKM,” kata Ismail Sabri.

Kegusaran berhubung pertambahan kes positif harian di Malaysia turut disuarakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Isnin lalu yang mengingatkan rakyat supaya tidak alpa dalam usaha mencegah penularan pandemik itu.

Dalam perutusan yang bersiaran secara langsung di stesen televisyen utama tempatan serta media sosial, beliau turut memberikan amaran bahawa kerajaan mungkin terpaksa mengembalikan tindakan drastik Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya kes positif di dalam negara meningkat secara mendadak.

“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan ‘lock down’ sekiranya kes COVID-19  meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” kata Muhyiddin pada Isnin.

Ikut spesifikasi WHO

Sementara itu, Ismail ketika sidang media turut memaklumkan bahawa orang ramai dibenarkan untuk menggunakan pelitup muka yang dijahit sendiri namun ia mesti mengikut spesifikasi yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perincian mengenai spesifikasi pelitup muka telah dihuraikan dengan lebih lanjut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media harian mengenai COVID-19 pada petang Khamis.

Beliau berkata WHO mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan yang digunakan adalah daripada jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan terdiri daripada lapisan paling dalam bersifat menyerap air (hidrofilik) seperti kapas atau campuran kapas manakala lapisan paling luar diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) seperti polipropilena, poliester atau campuran kedua-duanya.

“Lapisan tengah pula adalah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan pelitup muka dengan cara yang betul iaitu menutup ruang hidung sehingga dagu.

Katanya contoh pemakaian pelitup muka yang tidak sempurna ialah dengan membiarkannya tergantung di leher atau diletakkan di dahi atau hanya menutup sebahagian daripada hidung dan mulut yang akan membawa risiko pencemaran atau jangkitan.

Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.