Follow us

Malaysia Pertimbang Wajibkan Pemakaian Pelitup Muka di Kawasan Awam

Ray Sherman
Kuala Lumpur
2020-07-20
E-mel
Komen
Share
Orang ramai yang sedang membeli belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, memakai pelitup muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Kuala Lumpur, 23 Mei 2020.
Orang ramai yang sedang membeli belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, memakai pelitup muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Kuala Lumpur, 23 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi memastikan jumlah kes COVID-19 di negara itu kekal rendah.

Selain itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta semua rakyat Malaysia supaya terus mematuhi amalan kesihatan sebelum ini bagi mencegah penularan COVID-19.

“Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan,” kata beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen dan platform media sosial pada petang Isnin.

Muhyiddin turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes baharu COVID-19 di negara itu kepada dua digit sejak beberapa hari lepas selain kemunculan beberapa kluster baharu jangkitan. Beliau berkata perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana kerajaan mungkin melaksanakan “lock down” jika kes COVID-19 meningkat mendadak.

“Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dikuatkuasakan, penutupan semula sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion (AS$469 juta) sehari dan mengakibatkan jutaan rakyat Malaysia kehilangan sumber pendapatan.

Pada 10 Jun lalu, Putrajaya mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos bagi membolehkan kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula.

Sepanjang tempoh itu, semua bentuk perniagaan dibenarkan beroperasi semula manakala pintu sempadan negara masih ditutup sepenuhnya kecuali pergerakan kenderaan perniagaan melibatkan sempadan Singapura dan Thailand.

Semua jenis sekolah di Malaysia turut dibenarkan beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard.

Malaysia sebelum ini menguatkuasakan PKP bermula pada 18 Mac yang menyaksikan sektor ekonomi negara terjejas teruk dan kadar pengangguran berada di tahap membimbangkan.

Selepas beberapa bulan, kerajaan mula memberikan kelonggaran secara berperingkat setelah situasi dalam negara lebih terkawal dan jumlah jangkitan turut menyaksikan penurunan.

Pantau perkembangan

Perdana Menteri berkata beliau masih memantau keadaan walaupun situasi negara berada dalam keadaan yang baik.

“Wabak ini masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus COVID-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian dicatatkan.

“Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP,” kata beliau merujuk kepada Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerjanya yang dilaporkan sejak 6 Julai lalu dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai.

Selain itu, Malaysia mencatatkan empat kluster baharu membabitkan mereka yang pulang dari luar negara sejak 7 Julai lalu.

“Lebih membimbangkan saya, kes positif COVID-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu,” katanya.

Malaysia pada Isnin mencatatkan 21 kes baharu dengan 15 daripadanya membabitkan jangkitan dalam negara yang melibatkan warga tempatan dan asing. Turut direkodkan ialah satu kematian, menjadikan angka kematian setakat ini 123 orang iaitu 1.4 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 dalam negara yang berjumlah 8,553.

Sehari sebelum itu, Malaysia mencatatkan 15 kes baharu dengan 11 daripadanya adalah jangkitan dalam negara dengan sebahagian besar terdiri daripada warganegara.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan pertambahan kluster jangkitan baharu termasuk yang terkini pada Isnin membabitkan 11 warga emas di sebuah rumah jagaan orang tua di Kluang, Johor. Turut dikesan positif COVID-19 ialah seorang pekerja rumah kebajikan itu dan dan seorang ahli keluarga.

“Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

‘Mari Lakukan Ini Bersama’

Dalam perutusan khas yang sama, Muhyiddin mengajak rakyat Malaysia bersama-sama memerangi penularan COVID-19.

“Kejayaan kita memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.

“Amalan kebiasaan baharu mesti kita teruskan. Jangan kerana kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakailah. Jangan tak pakai,” kata beliau sambil menekankan kepentingan penjarakan sosial untuk memerangi wabak tersebut.

“Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan.”

Beliau turut meminta semua orang - daripada majikan hingga guru besar, pemimpin masyarakat, dan ibu bapa untuk memainkan peranan dalam memerangi COVID-19.

“Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya.

“Ekonomi negara kita telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita dengan mengamalkan kebiasaan baharu,” katanya.

Sementara itu, Bank Dunia turut mengeluarkan dapatan positif daripada pemerhatian mereka ke atas langkah yang telah diambil kerajaan Malaysia bagi menangani impak ekonomi yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Menurut laporan agensi Bernama, Pengarah Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik iaitu Ndiame Diop berkata Malaysia dilihat Berjaya mengharungi kesan negatif ekonomi akibat wabak itu dengan lebih baik berbanding kebanyakan negara lain.

Beliau dilaporkan berkata ini kerana ekonomi Malaysia bersandarkan kepada asas yang kukuh.

Ini termasuk struktur ekonominya yang pelbagai, sistem kewangan yang baik, respons perkhidmatan kesihatan yang efektif serta sokongan polisi makro ekonomi yang proaktif.

“Walaupun kita menjangkakan bahawa ekonomi akan menyaksikan pengecutan yang mendadak tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar mengecut sebanyak 3.1 peratus terutamanya pengecutan yang ketara dalam suku kedua, masih ada cahaya di hujung terowong (masih ada harapan),” katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada artikel ini.

Lihat Laman Penuh