Kumpulan Abu Sayyaf Culik Dua Rakyat Malaysia di Sandakan

Oleh Hata Wahari
2015.05.14
150514-MY-CULIK620 Polis menjalankan siasatan di sebuah restoran makanan laut, selepas empat lelaki bersenjata menculik dua rakyat Malaysia termasuk pemilik kedai itu, di Sandakan, Sabah pada 14 Mei 2015
Berita Benar

Empat lelaki dipercayai kumpulan Abu Sayyaf, yang bersenjata telah menculik dua rakyat Malaysia di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada malam Khamis.

Kedua-dua mangsa ialah seorang wanita dikenali sebagai Thien Nyuk Fun, 50 tahun, pengurus restoran makanan laut itu dan pelanggannya Bernard Then, 39, seorang konsultan dari Kuala Lumpur.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa sedang menjamu selera di restoran atas air,  di Jalan Bokara, Pasir Putih, iaitu kira-kira tiga kilometer dari Sandakan.

Sabah terletak di bahagian timur kepulauan Borneo, yang bersempadanan dengan Filipina serta Kalimantan, Indonesia.

Kumpulan militan terlibat

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu dan berkata, polis sedang menyiasat dan gerakan memburu serta mengetatkan kawalan perairan di sekitarnya telah dilancarkan.

"Polis sedang menyiasat tetapi tidak menolak kemungkinan militan terlibat," katanya kepada potal berita Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata empat lelaki bersenjata memasuki Ocean King Restaurant dengan membawa dua rifel automatik dan sepucuk pistol.

Penculik masih dalam perairan Malaysia


Beliau yang kemudiannya ditemui pemberita di Kuala Lumpur yakin penculik masih dalam perairan Malaysia.

“Malaysia telah meminta bantuan daripada pengawal pantai Filipina dan sehingga kini tiada tuntutan wang tebusan telah dibuat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Dalam pada itu Ketua Polis Sabah, Jalaluddin Abdul Rahman pula berkata empat lelaki berseluar celoreng dan bersenjata senapang panjang serta pistol telah memasuki restoran berkenaan dan menarik mangsa secara paksa sebelum melarikan kedua-duanya dengan sebuah bot laju.

“Kesemua penculik telah menyerbu dari arah tangga sisi belakang restoran itu dan terus menuju ke arah mangsa yang duduk di meja berlainan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang diketuai oleh Abdul Rashid Harun telah berada di tempat kejadian bersama dengan Ketua Polis Sandakan dan pasukan penyiasat untuk mendapatkan keterangan saksi dan pekerja,’’ katanya.

Beliau juga memberitahu, Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) , Pasukan Gerakan Am dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikerahkan untuk membuat operasi memburu dan membuat sekatan dilaut sehingga ke sempadan.

Katanya, helikopter milik agensi penguatkuasaan maritime dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga telah diarahkan untuk memintas suspek yang menggunakan bot laju itu.

Beberapa media tempatan melaporkan pada Julai tahun lepas, lelaki bersenjata membunuh anggota polis dan menculik seorang wanita dari pusat peranginan Mabul, juga di timur Sabah.

Dua orang wanita termasuk seorang rakyat China diculik dari sebuah pusat peranginan di Semporna dalam wilayah yang sama pada bulan April 2014.

Pada tahun 2013, seorang pelancong terbunuh manakala isterinya diculik dari sebuah peranginan di Sipadan berhampiran Sandakan.

Lebih daripada 20 orang termasuk pelancong telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf di sebuah pusat peranginan di Sipadan pada tahun 2000.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.