Misteri Kematian 13 Orang Asli Suku Batek di Kelantan Disiasat

Ali Nufael
2019.06.10
Kuala Lumpur
190610-MY-batek-620.jpg Masyarakat Suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, Malaysia berehat di khemah mereka. 10 Jun 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Kematian 13 penduduk Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan sejak awal Mei mengundang kegusaran dan sesetengah pihak menyalahkan pencemaran air akibat aktiviti perlombongan serta pembalakan di kawasan itu sebagai punca masalah kesihatan dan kematian di situ.

Pihak kementerian pada Isnin berkata sampel air sudah pun diambil dari Sungai Aring dan beberapa kolam tinggal yang menjadi punca air bagi komuniti Suku Batek itu untuk diuji jika ia dicemari bahan kimia.

“Ujian sedang dijalankan dan kami sedang menunggu hasil ujian.  Kami akan mengeluarkan kenyataan selepas hasil ujian diketahui,” kata jurucakap Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli kepada BeritaBenar.

Berita mengenai kematian penduduk Orang Asli itu diketahui umum pada Sabtu selepas ia dilaporkan media berikutan kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia(SJM) berkaitan kes tersebut.

Punca kematian kesemua 13 penduduk belum diketahui kecuali dua kes berasingan yang mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat radang paru-paru.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad, yang turut turun padang pada Isnin, sehingga kini, 42 penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh masih dirawat di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai kerana demam dan masalah pernafasan manakala 47 lagi sudah dibenarkan pulang serta menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Pihak jabatan kesihatan negeri juga berkata hasil ujian sampel air yang diambil dari sungai dan kolam itu tidak menunjukkan kewujudan bakteria Leptospirosis dan TB. Jadi kematian yang lain-lain itu bukan berpunca daripada kuman terbabit,” kata Dzulkefly.

Beliau juga berkata kerajaan bersikap terbuka jika mayat Orang Asli yang dikebumikan jauh dalam hutan selepas kematian misteri itu digali semula untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun, kerajaan belum mendapat maklumat berhubung lokasi mayat terbabit dikebumikan.

Menurut SJM, organisasi yang bertanggungjawab mendedahkan kematian itu, aktiviti perlombongan dan pembalakan telah menyumbang kepada pencemaran punca air yang digunakan komuniti Orang Asli Suku Batek.

“Sejak pembalakan dan perlombongan bermula tahun ini, ramai Orang Asli yang jatuh sakit dan meninggal dunia.

“Kematian tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana perjalanan jauh berjam-jam lamanya untuk ke balai polis yang berdekatan,” kata Presiden JSM Johan Halid.

Walaupun jumlah penduduk yang meninggal dunia itu disangkal oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Johan berkata jabatan itu tidak memiliki angka sebenar kerana kematian mereka tidak didaftarkan.

“Memanglah mereka sangkal kerana dua sahaja yang dilaporkan manakala yang lain dikebumi jauh di dalam hutan,” kata Johan.

Johan juga berkata beliau mengesyaki sumber air di kawasan itu dicemari arsenik.

“Tanah Orang Asli telah menjadi kawasan komersial. Di situ juga ada kawasan perladangan baharu. Bahan kimia digunakan di ladang dan kami mengesyaki bahawa air yang digunakan telah dicemari arsenik,” katanya.

Arsenik merupakan bahan kimia yang sering digunakan sebagai baja.

Sementara itu, Menteri Perpaduan P.Waytha Moorthy memberitahu media pada Isnin bahawa simptom kematian 13 Orang Asli yang tidak dilaporkan adalah sama.

“Saya telah berjumpa dan bercakap dengan penduduk kampung semalam (Ahad).  Daripada apa yang mereka beritahu, kesemua yang meninggal dunia mengalami simptom yang sama,” kata beliau.

Menurut menteri itu lagi, sudah menjadi adat Suku Batek untuk tinggal jauh dari perkampungan jika mereka jatuh sakit.

“Kematian berlaku ketika mereka bergerak jauh dari perkampungan dan mereka dikebumikan di dalam hutan,” kata Waytha lagi.

Suku Batek merupakan kaum Orang Asli yang paling primitif di Malaysia.

Mereka tidak menetap setempat serta bergerak di dalam hutan tebal antara Kelantan dan Pahang.

Menurut kumpulan alam sekitar Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), kerajaan negeri Kelantan perlu memindahkan penduduk kampung ke tempat lebih selamat berikutan krisis kesihatan yang berlaku.

Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kematian penduduk  Suku Batek itu boleh dicegah jika kerajaan mengarahkan aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan tersebut dihentikan.

Menurut beliau, aktiviti perlombongan telah diarah dihentikan pada 2017 namun ia tetap beroperasi sehingga hari ini.

“Sejak aktiviti perlombongan dan pembalakan berlaku, ramai penduduk kampung jatuh sakit. Mereka tidak ada akses kepada bekalan air bersih dan sumber air mereka turut dicemari,” kata Shariffa Sabrina.

Jumlah kematian mengejutkan

Menurut Raina Anjang, Penghulu Masyarakat Asli Suku Batek di Kuala Koh, beliau terkejut apabila dimaklumkan begitu ramai penduduk Orang Asli di perkampungan di kawasan itu yang demam dan sakit.

“Saya terkejut masa bulan Ramadan juga saya diberitahu ramai satu kampung yang demam dan sakit. Manakala yang mati, kalau nak kira semua sekali ada 15. Yang dikebumi dua orang manakala yang disimpan secara adat ada 13 orang. Semua kematian (berlaku) sejak awal Ramadan,” katanya.

Menurut seorang penduduk, Osman Halim, kematian dalam kalangan masyarakat Suku Batek adalah normal namun tidaklah sehingga mencecah jumlah yang besar.

“Sebelum ini, setahun mati seorang sahaja. Pergi klinik itu tidak ada. Sekarang ini yang paling teruk (kematian),” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zeli Shahir Khan, memberitahu Astro Awani bahawa kematian mengejutkan penduduk di situ membuatkan semua orang panik.

Beliau menyalahkan air tercemar sebagai punca kematian di situ.

“Punca air kami teruk. Bukan kita nak tuduh pasal air, tetapi kita rasa airlah sebab kotor,” katanya.

Menurut data yang diperoleh dari laman sesawang kerajaan, terdapat 140,000 Orang Asli di Malaysia yang terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.