PM Malaysia tekankan disiplin fiskal ketika hutang negara cecah RM1.5 trilion

Iman Muttaqin Yusof
2023.01.17
Kuala Lumpur
PM Malaysia tekankan disiplin fiskal ketika hutang negara cecah RM1.5 trilion Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri dalam sesi perhimpunan bulanan di Putrajaya, 16 Jan 2023.
Gambar ihsan Pejabat Perdana Menteri

Disiplin fiskal adalah penting ketika hutang dan tanggungan negara mencecah RM1.5 trilion ringgit (AS$346 billion), kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam satu dialog pada Selasa, kira-kira sebulan sebelum kerajaan membentangkan belanjawan di Parlimen.

Beliau berkata belanjawan yang dicadang oleh kerajaan pimpinannya akan memfokus kepada projek penting serta perusahaan kecil dan sederhana dalam usaha membendung masalah hutang daripada berlarutan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia sepatutnya mampu menjimatkan berbilion ringgit jika perolehan senjata dan peralatan di bawah Kementerian Pertahanan sebelum ini dibuat dengan berhati-hati.

“Kita alami kebocoran tinggi. Baru dua bulan saya bekerja sebagai Menteri Kewangan, saya telah kenal pasti ada RM3 bilion hingga RM4 bilion yang boleh diselamatkan. Kita boleh selamatkan mungkin RM10 bilion daripada kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan kerajaan. Dari pengalaman saya, isu seperti banjir dan persenjataan kalau diserahkan kepada mereka yang mempunyai keupayaan, kita boleh kurangkan (ketirisan),” katanya.

Beliau juga berkata pembaziran sumber mungkin dapat dielak jika rasuah berjaya dihapuskan selain tiada campur tangan politik atau kepentingan syarikat.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang ditempah pada 2011 untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia lewat siap walaupun kerajaan telah membayar kira-kira RM6 bilion (AS$1.4 bilion). Mengikut jadual asal, kapal pertama sepatutnya siap pada 2019 diikuti yang lain sehingga 2023. Bagaimanapun, tiada satupun yang berjaya disiapkan sehingga hari ini.

Anwar juga berkata beliau tidak berhasrat membina bangunan pencakar langit atau mercu tanda bagi menandakan era pemerintahannya.

“Malaysia sudah ada cukup mercu tanda seperti Menara Berkembar KLCC, Tun Razak Exchange dan Menara Kuala Lumpur. Saya tidak akan bersaing. Saya tidak berhajat buat mercu tanda.

“Saya fikir yang perlu ialah menjana keupayaan kota, kebersihan, keindahan serta ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Kerajaan, menurut Anwar, sedang meneliti semula beberapa perkara dalam belanjawan yang dibentang oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob. Belanjawan itu tidak diluluskan kerana Parlimen telah dibubarkan tidak lama selepas ia dibentang bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

“Semua aspek akan disemak, tidak terikat dengan belanjawan yang lalu walaupun kita ambil kira cadangan yang dibuat dulu - teras, dasar dan pengubahsuaiannya. Walaupun angka dapatan dan sebagainya tidak boleh ubah banyak,” katanya dalam sidang media selepas dialog itu.

Beliau berkata antara fokus utama belanjawan itu ialah sektor perindustrian kecil dan sederhana yang disifatkan sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan.

Justeru, Anwar berkata lebih banyak sokongan harus diberikan kepada pengusaha industri bagi membolehkan mereka berkembang maju untuk bersaing dengan gergasi korporat sdan pemain industri lebih besar.

“Dasar kerajaan harus tumpu kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kerana bidang ini ada potensi besar dan libatkan jumlah pekerja yang besar. Angkat keupayaan mereka bersaing dengan syarikat-syarikat besar.

“PKS harus diberikan dukungan untuk maju,” katanya.

Beliau berkata industri pertanian berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan PKS dengan keupayaan eksport akan mendapat keutamaan dalam belanjawan yang akan dibentang.

Anwar dijangka membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb depan. Kerajaan pimpinan beliau akan memberi tumpuan terhadap usaha melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana daripada kesan inflasi serta kenaikan harga barang.

Pada sidang Parlimen 20 Dis 2022, Dewan Rakyat telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM107.72 bilion (AS$24.9 bilion) bagi membolehkan kerajaan meneruskan operasi termasuk membayar gaji penjawat awam, memberikan bantuan kebajikan serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Barjoyai Bardai, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata Anwar perlu mengetahui perkara yang ingin diletak beliau sebagai lebih penting dalam belanjawannya sama ada mengurangkan perbelanjaan atau berusaha memperbaiki kehidupan rakyat.

“Cabaran dihadapi Anwar ialah sama ada beliau boleh melakukan kedua-duanya pada masa yang sama. Ia tidak mustahil tetapi kita tidak boleh terlalu berharap,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata pengalaman Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan selama tujuh tahun sebelum ini mungkin memberi kelebihan kepadanya.

“Saya percaya dengan pengalaman beliau dahulu, Anwar mampu untuk mengendalikan Belanjawan 2023,” kata Barjoyai.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan, memuji usaha Anwar untuk mengurangkan ketirisan dana negara.

“Saya rasa kita boleh lihat ke arah mana Anwar ingin pergi. Dengan mengurangkan kebocoran, kita akan mempunyai lebihan wang hingga RM10 bilion dan dengan wang ini, paling kurang kita boleh meminimumkan pinjaman negara. Dengan cara ini, hutang negara boleh dikurangkan,” kata felo kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara itu kepada BenarNews.

Beliau berpendapat negara bagaimanapun masih perlu mencari cara untuk meningkatkan pendapatan.

“Perkara-perkara seperti ketirisan, meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan adalah topik yang dekat di hati Anwar. Saya rasa Kerajaan Perpaduan mempunyai kemahuan untuk berbuat demikian.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.