Malaysia tepis dakwaan jadi hab transit cip AI diharamkan
2025.02.06
Kuala Lumpur

Industri semikonduktor Malaysia menolak dakwaan bahawa negara ini telah digunakan sebagai hab transit cip kecerdasan buatan (AI) yang diharamkan ke China.
Laporan Reuters pada minggu lalu mendedahkan bahawa Jabatan Perdagangan AS sedang menyiasat sama ada syarikat China, DeepSeek telah memperoleh cip Nvidia H100 yang disekat melalui perantara di Singapura dan Malaysia di tengah-tengah jaringan penyeludupan terancang bagi melepasi kawalan eksport.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai menegaskan pihak industri telah melaksanakan langkah kawalan ketat.
“Cip GPU Nvidia yang digunakan untuk pelayan AI hanya dijual kepada vendor yang diluluskan,” jelas Wong kepada BenarNews.
“Nvidia tidak akan menjual kepada anda sekiranya anda bukan vendor yang diluluskan."
Malah jelas beliau Nvidia turut melakukan saringan terhadap cip yang dibeli secara sah sebelum ia boleh digunakan untuk memasang pelayan AI bagi pusat data, katanya sambil menambah semua urusniaga itu direkodkan.
“Jadi, jika AS mendakwa terdapat ketirisan dari Malaysia, kami tidak tahu bagaimana ia berlaku.”
DeepSeek, sebuah syarikat permulaan AI yang berpangkalan di Hangzhou, China membuat kejutan pada bulan lalu selepas mendakwa bahawa model AI mereka, DeepSeek R1, mampu menyaingi ChatGPT dari OpenAI dengan kos yang jauh lebih rendah.
DeepSeek telah menggugat pasaran kewangan hingga menyebabkan saham teknologi merosot selepas ia dilancarkan pada hujung Januari lalu.
Ia mengakibatkan Nasdaq, bursa saham Amerika Syarikat jatuh lebih dua peratus selain pasaran niaga hadapan Nasdaq Eropah dan saham teknologi Jepun turut merudum akibat berita pelancaran tersebut.

Seorang jurucakap Nvidia tidak mengesahkan kepada BenarNews sama ada cip terkawal yang dieksport telah digunakan oleh syarikat China itu namun menegaskan;
"Rakan kongsi kami perlu mematuhi undang-undang yang berkaitan.
"Jika kami menerima maklumat sebaliknya, kami akan bertindak sewajarnya," katanya.
Dalam pada itu, DeepSeek dan pegawai perdagangan AS ketika dihubungi BenarNews tidak memberikan maklum balas segera berkaitan perkara tersebut.
Jaga keseimbangan
Memandangkan pelaburan AI mampu membawa pulangan berbilion dolar kepada Malaysia, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berusaha untuk menyeimbangkan hubungan antara Washington dan Beijing.
“Eksport barangan elektrik dan elektronik termasuk cip mencecah kadar 26 peratus daripada keperluan di AS,” kata Anwar dalam sidang Parlimen pada Selasa, sambil menegaskan bahawa Malaysia mematuhi peraturan perdaggan global.
“Kami mematuhi peraturan dan tidak melanggar sebarang sekatan perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”
“Walaupun nampak kedekatan kita dengan China dan Brazil, hubungan dengan AS tetap kita teruskan,” kata Anwar.
"Namun kita tidak boleh ambil tindakan drastik kerana ada ketidaktentuan bukan sahaja geopolitik...dalam tempoh sebulan perubahan dasar (perdagangan) dijangka mungkin berlaku."
Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menjawab soalan di Parlimen pada Khamis berkata model AI seperti DeepSeek “dapat memacu pertumbuhan pusat data Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab AI neutral” bagi syarikat Barat dan China.
“DeepSeek, sebagai contoh, dilihat sebagai pemain yang mengganggu pasaran, menawarkan model AI berkeupayaan tinggi pada kos lebih rendah sambil menggunakan tenaga yang lebih sedikit berbanding sistem AI semasa,” katanya.
Elak sekatan
Mark Minevich, seorang penganalisis industri AI berpangkalan di Washington berkata laporan perisikan mendakwa bahawa keupayaan pengkomputeran DeepSeek “mungkin melebihi apa yang boleh dilakukan hanya dengan H800s dan H20s” – merujuk kepada cip varian rendah China yang dibangunkan kerana kawalan eksport AS.
“[Ini] menimbulkan persoalan sama ada ia mengintegrasikan perkakasan terhad secara rahsia ke dalam infrastruktur latihan AI mereka atau sebaliknya,” katanya.
“Jika disahkan, penemuan seperti ini boleh mendorong AS untuk mengetatkan langkah penguatkuasaan dan mengenakan penalti lebih berat terhadap entiti yang memudahkan pemindahan [cip] tanpa kebenaran ke China,” katanya dalam satu hantaran di LinkedIn.
Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di ADA Southeast Asia, sebuah firma perunding serantau, berkata Malaysia perlu “melakukan langkah menyeimbangkan" iaitu antara mengalu-alukan pelaburan China dan mengelakkan sekatan AS sekiranya mahu muncul sebagai hab AI serantau.
“Pelobi dasar luar AS sebelum ini telah menyasarkan Malaysia berikutan dakwaan bahawa Iran menggunakan syarikat Malaysia untuk mengelak sekatan dan menghantar minyak ke Singapura dan lokasi lain,” katanya kepada BenarNews.
“Dengan China menyuntik pelaburan besar dalam pusat data dan Huawei membina rangkaian 5G kedua negara, kerajaan Malaysia dijangka berdepan tekanan yang kian meningkat untuk mengekalkan integriti industri rantaian bekalan produk elektrik dan elektronik tempatan,” katanya.