Follow us

Malaysia Sahkan Terima Pakej Bantuan AS Dalam Bentuk Dron Udara

Hadi Azmi dan Imran Vittachi
Kuala Lumpur dan Washington
2019-06-10
E-mel
Komen
Share
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana (kanan) dan utusan khas AS Sung Kim (kiri) meneliti ScanEagle, sebuah kenderaan udara tanpa pemandu semasa satu majlis penyerahan di Pangkalan Udara Villamor di bandar Pasay, Filipina, 13 Mac 2018.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana (kanan) dan utusan khas AS Sung Kim (kiri) meneliti ScanEagle, sebuah kenderaan udara tanpa pemandu semasa satu majlis penyerahan di Pangkalan Udara Villamor di bandar Pasay, Filipina, 13 Mac 2018.
Reuters

Malaysia pada Jumaat berkata ia bakal menerima pakej dron udara buatan Amerika bernilai AS$19.3 juta menerusi program bantuan Washington, namun menegaskan bahawa ia akan bekerjasama dengan mana-mana negara, termasuk China, dalam usaha meningkatkan keupayaan pengumpulan maklumat keselamatan dan maritimnya.

Kuala Lumpur bakal memperoleh 12 unit dron ScanEagle menerusi Inisiatif Keselamatan Maritim kerajaan AS (MSI), menurut Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan.

“Sebagai sebuah negara maritim, adalah penting untuk Malaysia memiliki keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu,” kata kementerian itu.

“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak membabitkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia,” katanya sambil menambah penghantaran pertama enam unit ScanEagle dijangka diterima pada pertengahan November.

Dron itu, yang dibina oleh Insitu, anak syarikat Boeing Co, adalah sebahagian daripada pakej 34 unit ScanEagle yang dibekalkan AS kepada Malaysia, Filipina, Indonesia dan Vietnam, menurut maklumat hubungan yang dikeluarkan Pentagon minggu lepas.

Pengeluaran dan penghantaran kesemua 34 dron dijadualkan siap menjelang Mac 2022, kata Jabatan Pertahanan AS (DoD).

Pada 31 Mei, Pentagon mengumumkan bahawa ia telah menganugerahkan kontrak kepada Insitu bagi membina dron untuk keempat-empat negara Asia Tenggara itu. Keseluruhan kontrak bernilai AS$47.9 juta, kata DoD menerusi satu pengumuman kontrak di laman sesawangnya.

“Pesanan ini menggabungkan pembelian untuk” kerajaan Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia “di bawah program Penjualan Ketenteraan Asing,” menurut pengumuman itu. Di bawah kontrak itu, Filipina dan Indonesia masing-masing akan menerima lapan unit ScanEagle manakala Vietnam akan dibekalkan sebanyak enam unit.

Program itu “adalah satu bentuk bantuan keselamatan yang dibenarkan oleh Akta Kawalan Eksport Senjata Api,” menurut maklumat daripada Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA).

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia, Amerika Syarikat “menerusi Inisiatif Keselamatan Maritimnya (MSI), menyediakan bantuan dalam bentuk aset dan latihan kepada negara-negara bersahabat seperti Malaysia bagi meningkatkan Kesedaran Domain Maritim (MDA) di rantau Asia Tenggara.”

Inisiatif itu, yang dirangka di bawah Akta Kebenaran Pertahanan Negara, bertujuan membina keupayaan negara rakan kongsi Amerika di rantau Laut China Selatan. Akta itu secara khusus menyasarkan lima negara – Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam – untuk bantuan dan latihan yang dibiayai Amerika, menurut maklumat daripada DSCA.

“Selain Angkatan Tentera Malaysia, agensi penguat kuasa lain turut menerima manfaat di bawah program MSI bagi meningkatkan keupayaan mereka bagi mengawasi rantau maritim itu dan perkongsian maklumat dalam kalangan agensi penguat kuasa dan angkatan tentera,” kata kementerian itu.

Dron ScanEagle akan memainkan peranan sementara dalam membantu menjalankan kerja-kerja pengawasan di laluan Malaysia sehingga kerajaan memperoleh dua pesawat peronda dan tiga pesawat tanpa pemandu menerusi Rancangan Malaysia ke-12, kata para pegawai kementerian pertahanan.

Kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia juga kelihatan dibuat dengan berhati-hati untuk tidak menimbulkan persepsi bahawa Malaysia berpihak kepada AS dalam isu hangat membabitkan pertikaian di Laut China Selatan, di tengah-tengah ketegangan antara Beijing dan Washington di rantau maritim itu.

Beijing menuntut kebanyakan kawasan di rantau laut yang kaya dengan mineral itu, termasuk yang mencecah pesisir negara-negara jirannya yang lebih kecil. China telah memperluas dan membina struktur ketenteraan di kawasan itu meskipun sebelum ini bersetuju menghentikan semua aktiviti pembinaan. Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan di kawasan laluan air yang strategik itu.

“Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua negara, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk AS dan China, bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan rantau Asia Tenggara,” rumus kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia itu.

Lihat Laman Penuh