Ancaman IS Timbul Kebimbangan Di Malaysia Dan Serantau

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.04.30
150430-MY-EXIS620 Seorang daripada 12 suspek yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) di Malaysia, di bawa oleh anggota polis, semasa ditahan di Hutan Lipur Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor, pada 25 April 2015.
Ikhsan Polis Diraja Malaysia

Penangkapan 30 suspek anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) di Malaysia, dengan kebanyakan di antara mereka didakwa memiliki bahan letupan, sepanjang bulan ini, telah menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman kumpulan militan itu, terhadap Malaysia dan rantau ini, kata pakar.

Kira-kira 12 orang daripada mereka ditahan Sabtu lepas bersama pelbagai bahan membuat bom ketika dalam perjalanan ke Hutan Lipur Gunung Nuang di Selangor sebagai sebahagian daripada persediaan untuk melancarkan serangan bom terhadap bangunan kerajaan manakala 17 yang lain ditahan awal bulan ini kerana disyaki terlibat dalam perancangan aktiviti keganasan di Kuala Lumpur, dan seorang lagi ditahan di Padang Besar, pintu masuk antara Malaysia dan Thailand kerana mahu ke Syria, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Tangkapan itu dan rentetan serbuan lain sebelum ini termasuk penahanan dua rakyat Iraq, yang menurut polis, sedang merancang untuk menyerang Kedutaan Arab Saudi dan Kedutaan Qatar  di Kuala Lumpur, telah mencetuskan kerisauan bahawa ancaman keganasan yang dihadapi oleh Malaysia telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Ancaman IS di Malaysia mencapai tahap ketiga

"Ancaman yang ditimbulkan oleh militan IS di Malaysia telah mencapai tahap ketiga di mana mereka bersedia untuk mengadakan serangan," kata Akhbar Satar, bekas pegawai kanan polis di Malaysia, kepada Berita Benar di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kumpulan militan itu telahpun melaksanakan dua peringkat - merekrut ahli di semua peringkat, daripada pelajar dan anggota tentera hinggalah kepada kakitangan awam dan ahli perniagaan, serta melatih mereka untuk melancarkan serangan menggunakan bahan letupan.
Peringkat ketiga yang kritikal boleh melibatkan serangan militan di tempat-tempat utama negara, kata Akhbar, yang kini Pengarah Institut Jenayah dan Krimanologi di HELP, sebuah universiti tempatan, dan juga Presiden Transparency International Malaysia.

"Kita tidak tahu berapa besar sel IS ini dan berdasarkan tangkapan setakat ini, ramai daripada suspek militan tidak mengenali satu sama lain. Mereka bertemu selepas diarahkan untuk meneruskan tindakan-tindakan tertentu. Ini adalah sesuatu yang sangat berbahaya, "katanya.

Setakat ini, 105 orang telah ditangkap di Malaysia berikutan mempunyai kaitan dengan IS. Pihak berkuasa telah mengenal pasti berpuluh-puluh lagi rakyat Malaysia berada di Syria dan Iraq, di mana IS telah menubuhkan pangkalan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mewujudkan khalifah Islam global.

Enam orang termasuk dua anggota TUDM di dakwa di Mahkamah

Enam daripada 18 orang yang ditahan awal bulan ini, antaranya ialah bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia bersama anaknya, dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), seorang pembantu sekolah agama dan seorang warga Indonesia, telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Alor Star, di negeri Kedah, pada Khamis, atas dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia, sebuah kumpulan pejuang agama dalam usaha menubuhkan negara Islam dan di haramkan oleh kerajaan, yang didakwa itu, ialah Murad Halimmuddin, yang juga merupakan seorang veteran perang dan pernah menyertai konflik senjata di Afghanistan, Sulawesi dan Syria.

Beliau juga dipercayai pergi ke Syria pada bulan Ogos dan pulang pada Disember tahun lepas, cuba untuk menyerang sebuah depot senjata api di Balai Polis Guar Gempedak, yang terletak kira-kira 20 batu dari ibu negeri Kedah, Alor Star.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa berpakat mempromosikan satu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Januari dan 5 April tahun ini, di Pengkalan Batu Hampar, Mukin Air Putih, Pendang, juga di Kedah.

Keupayaan contohi IS masih rendah

Sementara itu, Ahmed Salah Hashim, pakar pengajian ketenteraan di Nanyang Technological University di Singapura, memberitahu Berita Benar di Washington DC, bahawa keupayaan kumpulan yang berusaha mencontohi IS itu di Asia Tenggara masih lagi rendah, tetapi berpendapat “ia tidak menghalang sel-sel autonomi untuk terus berkembang dan berusaha untuk belajar.”

“Ada juga ancaman yang berpotensi ditimbulkan oleh serigala sendirian, walaupun sehingga kini, serigala sendirian adalah kebanyakannya produk masyarakat individualistik Barat.”

Walaupun adanya banyak penangkapan, beliau tidak merasakan bahawa rakyat Malaysia ‘bersedia untuk menangani satu kumpulan yang mempunyai sifat-sifat ganas IS’.

Terdapat antara 60 dan 160 rakyat Malaysia dalam kumpulan itu, di Syria;

“IS tidak berada pada tahap ancaman di Malaysia seperti mana yang berlaku di Indonesia, dan kedua-dua negara itu tidak berada pada tahap ancaman seperti yang berlaku di Timur Tengah,” kata Ahmed, Profesor Madya di Institut Kajian Pertahanan dan Strategik universiti itu.

Cadang tubuh pasukan pertugas IS

Beliau percaya Malaysia memerlukan pendekatan yang menyeluruh merangkumi langkah-langkah diplomatik, risikan, keselamatan dan undang-undang untuk membanteras ancaman IS.

“Ia juga melibatkan langkah menangani mereka yang bersimpati dengan IS Malaysia di tanah air, meneruskan dasar gangguan, pengawasan dan tangkapan, serta langkah-langkah pencegahan untuk mereka yang cuba berlepas ke Syria walaupun di bawah nama kerja-kerja amal atau kerja NGO

“Ia termasuklah langkah-langkah pencegahan untuk menangani mereka yang pulang dari ‘medan perang’ dengan melakukan penyingkiran fahaman radikal, terapi, pengawasan, orang hubungan

Ahmed mencadangkan penubuhan pasukan petugas IS sebagai entiti maklumat dan analisis risikan yang bekerja dengan ‘Cawangan Khas’ polis.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.