Follow us

Mahkamah Arah Isa dan Lapan Lagi Failkan Pembelaan Kes Saman FGV

Ali Nufael
Kuala Lumpur
2018-12-21
E-mel
Komen
Share
Pengerusi Felda Global Ventures Holdings, Mohd Isa Abdul Samad memukul gong untuk menandakan bahawa badan tersebut kini disenaraikan di dalam Bursa Saham Malaysia di Kuala Lumpur (Jun 28, 2012).
Pengerusi Felda Global Ventures Holdings, Mohd Isa Abdul Samad memukul gong untuk menandakan bahawa badan tersebut kini disenaraikan di dalam Bursa Saham Malaysia di Kuala Lumpur (Jun 28, 2012).
AP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat telah mengarahkan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd Mohd Isa Samad untuk memfailkan penyataan pembelaan atas saman yang dikemukakan syarikat itu ke atasnya dalam tuntutan ganti rugi berjumlah 514 juta ringgit (AS$123.19 juta) berkaitan pemilikan Asia Plantation Ltd (APL) pada 2014.

Turut diarahkan untuk memfailkan penyataan pembelaan adalah lapan individu lain yang merupakan bekas pengarah dan bekas ahli lembaga syarikat FGV Holdings Bhd.

Perkara ini dijelaskan oleh peguam Isa, Lavinia Kumaraendran sewaktu ditemui diluar kamar mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli.

Isa yang sebelum ini pada 14 Dis telah didakwa dengan pertuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah 3,090,000 ringgit bersabit pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak dan mengaku tidak bersalah atas kesemua sepuluh pertuduhan, walaubagaimanapun tidak hadir di mahkamah pada Jumaat.

Lavinia yang mewakili Isa berkata bahawa pengurusan kes telah ditetapkan pada 12 Februari tahun hadapan dan kesemua defendan termasuk anak guamnya hendaklah memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Januari 2019.

"Pengurusan kes yang baru ditetapkan pada 12 Februari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar," kata Lavinia kepada pemberita.

"Kesemua mereka perlu memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Januari," tambah beliau.

Lavinia berkata lanjut bahawa pernyataan tuntutan (statement of claim) telah diberikan kepada sembilan defendan pada 19 Disember.

Pernyataan tuntutan adalah pernyataan yang mengandungi tuntutan plaintif dan fakta-fakta yang disandari oleh plaintif untuk menyokong tuntutan ke atas defendan.

Selain Isa, lapan individu yang perlu memfailkan pembelaan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohd Emir Mavani Abdullah, Rasydan Alias Mohamed yang merupakan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan lima bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Ismee Ismail; Wan Aziz Wan Abdullah; Sulaiman Mahbob; Nozirah Bahari dan Fazlur Rahman Ebrahim.

Laviani berkata terdapat lima lagi individu yang belum menerima tuntutan saman berkenaan kerana masih belum diwakili peguam.

Mereka ialah Farisan Mokhtar, bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Omar Salim, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Yahaya Abd Jabar dan Faizoull Ahmad.

Pada November, FGV Holdings Berhad memfailkan saman ekoran kerugian yang dialami syarikat itu akibat kegagalan semua defendan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam syarikat.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV Holdings Berhad memaklumkan bahawa saman yang dikeluarkan adalah berkenaan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014.

Sehubungan itu, FGV telah menuntut ganti rugi sebanyak 514 juta ringgit(AS$123.19 juta). Jumlah itu ditetapkan oleh syarikat oleh kerana pengambilalihan, atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan dari pengambilalihan yang dinilai oleh mahkamah selain menuntut ganti rugi am, faedah dan kos.

BeritaBenar cuba mendapatkan maklum balas daripada Isa tetapi tidak berjaya.

FGV Holdings Berhad ditubuhkan pada 2007, dan ia merupakan syarikat agribisnes global dan pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia serta penapis minyak sawit Malaysia yang kedua terbesar.

Pada 2017, menurut laporan akhbar tempatan Berita Harian, siasatan telah dilakukan ke atas FGV, anak syarikat dan beberapa individu atas dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga syarikat memfailkan saman ke atas pegawai pengurusan dan ahli lembaga pengarahnya.

Felda dan anak syarikat di bawah agensi milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami masalah pengaliran wang tunai yang kritikal sehingga menjejaskan operasi syarikat itu dan puluhan ribu peneroka ladang kelapa sawit di bawah rancangan Felda.

Pada Khamis, Kementerian Kewangan mengumumkan dana khas berjumlah 77 juta ringgit (AS$18.4 juta) bagi membantu peneroka tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] untuk melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, peruntukan khas tersebut diberi bagi membantu golongan peneroka membayar kerja-kerja operasi pembangunan ladang mereka dan kos sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula ekoran masalah aliran tunai Felda yang agak tenat.

“Kementerian Kewangan mengambil serius masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun 2018. Masalah ini mendapat perhatian Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang baru-baru ini telah mengarahkan bantuan diberikan,” kata Lim ringkas.

Dana tersebut akan disalurkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal badan milik kerajaan berkenaan.

Dari jumlah yang dinyatakan, sebanyak 43 juta ringgit (AS$10.28 juta) akan dibayar kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka manakala 32.8 juta ringgit (AS$7.84 juta) adalah untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula 38,000 peneroka.

“Selebihnya,1.2 juta ringgit (AS$287,000) adalah untuk bayaran khairat kematian melibatkan waris kepada 120 peneroka,” tambahnya lagi.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat, Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, dana 77 juta ringgit itu merupakan peruntukan khas yang dipohon dari kerajaan untuk membantu warga Felda dalam mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka.

“Kesemua penyaluran wang tersebut dijangka akan selesai pada minggu akhir bulan Disember 2018. Adalah diharapkan agar peruntukan yang disalurkan ini akan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh peneroka terutamanya dalam menyediakan keperluan persekolahan untuk tahun baharu,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata FELDA juga sedang dalam proses menggubal pelan pemulihan untuk memastikan pengukuhan dan kemampanan kedudukan kewangan Felda.

Dalam kenyataan yang sama, Mohamed Azmin turut berkata Felda mempunyai jumlah komitmen  yang tinggi dan berterusan dan kebelakangan ini menghadapi kesukaran dalam memenuhinya kerana bebanan hutang sebanyak 8.025 billion ringgit.

“Ini memberi kesan besar kepada aliran tunai FELDA seterusnya menjejaskan proses pembayaran kepada peneroka dan pembayaran komitmen lain,” kata beliau lagi.

Lihat Laman Penuh