Militan Filipina yang mempunyai kaitan dengan JI Indonesia Ditembak Mati


2015.05.05
150504-PH-canon-620 Tentera Filipina menembak peluru meriam howitzer semasa serangan di wilayah Maguindanao, 28 Februari 2015.
AFP

Suspek pengganas di Filipina yang paling dikehendaki telah terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di selatan negara itu, di tengah-tengah percanggahan pendapat tentang keadaan di mana dia telah ditembak mati.

Pembuat bom Filipina, Abdul Basit Usman, yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang berpangkalan di Indonesia, ditembak mati pada Ahad semasa pertempuran di wilayah Maguindanao, kata ketua tentera Filipina Jeneral Gregorio Catapang.

Namun, beliau segera menambah bahawa masih tidak jelas siapa yang membunuh Usman, Agence France-Presse melaporkan.

"Basit Usman sudah mati; tentang apa yang telah berlaku semasa pertempuran itu, ini terpulang (kepada siasatan)," Catapang memberitahu pemberita, menurut AFP.

Menurut sumber ketenteraan, lima pengikut Usman - yang diletakkan ganjaran U.S. $1 juta oleh Jabatan Negara Amerika - juga telah terbunuh dalam pertempuran itu dan sesetengah daripada orangnya sendiri mungkin telah mengkhianatinya.

Usman terbunuh ketika sedang diiringi oleh ahli-ahli Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan terbesar pemberontak di negara itu, kata naib pengerusinya, Ghazali Jaafar.

"Kami boleh mengesahkan bahawa Usman sudah mati dan mayatnya sudah dikebumikan mengikut adat Islam," Jaafar memberitahu AFP, walaupun dia enggan berkata siapa yang membunuhnya.

MILF sedang bergerak untuk memuktamadkan perjanjian damai yang ditandatangani pada bulan Mac 2014 dengan kerajaan itu. Perjanjian itu yang dipelopori oleh Malaysia bertujuan untuk menamatkan peperangan selama 45 tahun di mana kira-kira 120,000 orang telah terbunuh dan dua juta orang terpaksa berpindah.

Pendapat bercanggah

Jaafar berkata Usman telah terbunuh semasa pemberontak MILF mengiringinya untuk menyerahkan diri kepada pemimpin-pemimpin kumpulan itu, yang menambah kepada pendapat bahawa dia mungkin tidak tahu dia dibawa balik untuk diserahkan kepada pemimpin MILF.

"Terdapat satu pertempuran dalam perjalanan. Usman dapat rasa bahawa dia telah dikhianati," kata Jaafar yang enggan memberi apa-apa maklumat lanjut.

Reuters memetik ketua tentera Catapang sebagai berkata beliau mempunyai maklumat bahawa pengikut Usman telah membelot terhadapnya untuk mendapatkan ganjaran $1 juta itu tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

Pendapatnya telah disangkal oleh MILF. Ketua perunding damai MILF, Mohagher Iqbal, memberitahu Reuters bahawa tenteranya membunuh Usman apabila dia menentang penangkapan.

Tentera MILF memintas kumpulan Usman berhampiran sebatang sungai sekitar 10:30 pagi (waktu tempatan) pada hari Ahad tetapi beliau memilih untuk menembak daripada dibawa balik ke kem utama gerila itu, kata Iqbal.

Kedua-dua Catapang dan Iqbal berkata bahawa kematian Usman itu akan menjadi galakan kepada usaha damai.

"Operasi keselamatan kami akan berterusan sehingga kita menangkap semua pengacau yang berpotensi menggugat proses pendamaian," kata Catapang, sambil menambah bahawa masih terdapat 10 militan Islam asing dan kira-kira 100 militan Islam murtad tempatan di selatan, mengikut laporan Reuters.

Persoalan tentang kebolehpercayaan MILF

Pasukan keselamatan telah memburu Usman sejak dia melarikan diri daripada serbuan polis pada bulan Januari.  Dalam serbuan tersebut, rakyat Malaysia Zulkifli bin Hir, atau dikenali sebagai Marwan, yang didakwa sebagai seorang pembuat bom dan salah seorang suspek pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara yang diletakkan ganjaran $5 juta oleh kerajaan Amerika telah terbunuh.

Serbuan pada bulan Januari itu berlaku di kawasan milik MILF yang juga membawa kepada kematian 44 komando polis Filipina apabila pemberontak lawan balik, telah melambatkan usaha untuk memuktamadkan perjanjian damai.

Berikutan operasi yang kucar-kacir itu, kadar populariti Presiden Filipina Benigno Aquino menjunam ke tahap terendah dalam tempoh lima tahun.

Sejak itu, MILF didesak oleh pihak berkuasa Filipina dan penggubal undang-undang untuk menunjukkan kebolehpercayaan mereka sebagai rakan perdamaian.

Tentera Filipina telah mendedahkan gambar mayat Usman, orang yang disalahkan oleh Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Filipina kerana serangan bom dan menyediakan latihan membuat bom kepada pejuang yang ada kaitan dengan al-Qaeda di selatan Filipina.

Catapang berkata beliau akan mencadangkan sampel DNA dari badan Usman dihantar ke Amerika Syarikat untuk ujian dan pengecaman seperti mana yang telah dilakukan oleh kerajaan itu dalam mengesahkan kematian Marwan, rangkaian penyiaran Amerika Syarikat CNN melaporkan.

Beliau berkata kematian Usman merupakan satu tamparan hebat kepada kumpulan serpihan MILF, para pejuang Bangsamoro Kebebasan Islam (BIFF), yang telah mengasuh Usman dan Marwan untuk masa yang lama, menurut CNN.

MILF, yang mempunyai kira-kira 10,000 pejuang, bersetuju di bawah perjanjian damai tahun lalu melepaskan cita-cita kemerdekaan mereka sebagai pertukaran untuk mendapatkan sebuah kerajaan Islam berautonomi di selatan, di mana mereka akan diberikan kuasa yang lebih luas dalam hal-hal ekonomi, politik dan sosial di rantau itu.

Bekerja ke arah tarikh akhir 2016

Kerajaan dan MILF sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian itu dalam tempoh setahun sebelum tamat tempoh perkhidmatan Presiden Aquino.

Operasi Komunikasi Presiden Setiausaha Herminio Coloma dipetik oleh akhbar Philippine Star sebagai berkata bahawa bantuan MILF dalam menghapuskan Usman boleh dianggap sebagai bukti keikhlasan kumpulan pemberontak itu.

Tetapi ia masih terpulang kepada penggubal undang-undang untuk menilai keadaan itu dan melihat bagaimana ia boleh mempengaruhi pertimbangan cadangan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) yang bertujuan untuk menubuhkan sebuah kerajaan berautonomi, kata beliau.

Dengan kematian Usman, tentera Filipina kini menetapkan sasaran mereka terhadap dua pengganas asing di selatan Filipina.

Catapang telah berkata bahawa pasukan keselamatan akan menangkap pengebom Malaysia Amin Baco dan militan Singapura Muawiyah, kedua-dua konco Usman, yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pelampau Asia yang lain, Star Filipina melaporkan.

"Mereka ialah sasaran seterusnya, tetapi kita tidak boleh memberitahu anda siapa yang lebih utama dalam urutan," kata Catapang.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.