Follow us

Ketua Polis Negara: Polis Tahu Di Mana Jho Low Berada

Aminah Farid dan Noah Lee
Kuala Lumpur
2019-05-24
E-mel
Komen
Share
Pembiaya kewangan yang menjadi buruan, Jho Low, telah dilihat hadir pada majlis pelancaran laman sesawang Global Daily di Washington DC, 23 April 2015.
Pembiaya kewangan yang menjadi buruan, Jho Low, telah dilihat hadir pada majlis pelancaran laman sesawang Global Daily di Washington DC, 23 April 2015.
AP

Ketua Polis Negara pada Jumaat berkata pihaknya yakin telah mengenal pasti lokasi ahli perniagaan Jho Low yang disyaki mendalangi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun enggan mendedahkannya, atau mengesahkan dakwaan bahawa individu itu berada di China.

Bercakap kepada media dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Abdul Hamid Bador menggesa Low dan keluarganya agar pulang ke tanah air kerana mereka sudah tiada tempat untuk bersembunyi.

“Yakinlah, di mana pun dia berada, kami tahu.

“Dia boleh jadi di China, di Kemboja, tetapi yang paling penting, PDRM tahu di mana dia berada,” kata Ketua Polis Negara itu.

Tambah beliau, daripada terus membuang masa, Low seharusnya pulang dan berdepan dengan mahkamah bagi membuktikan bahawa dia betul-betul tidak bersalah.

“Mereka boleh lantik peguam terbaik di dunia untuk membela, tidak apa. Jangan buang masa kami, mereka tak boleh lari selamanya,” kata Abdul Hamid.

Low yang berdepan pertuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat untuk peranannya dalam skandal 1MDB bagaimanapun bertegas bahawa beliau enggan tunduk kepada mana-mana kuasa perundangan yang “tidak adil dan bebas.”

“Jelas Encik Low tidak mungkin dapat pengadilan yang saksama di Malaysia di mana rejim di sana telahpun beberapa kali membuktikan bahawa mereka tidak endah dengan konsep ‘kedaulatan undang-undang,’ kata jurucakap Low dalam beberapa siri kenyataan kepada media.

Kenyataan Abdul Hamid itu dikeluarkan dua hari selepas beliau memberitahu media bahawa polis kini serius mengikuti petunjuk baharu tentang keberadaan Low dan berjanji bahawa individu tersebut akan dibawa ke muka pengadilan tidak lama lagi.

Walaupun menyembunyikan diri, Low dilaporkan cuba menawarkan perkhidmatannya kepada kerajaan baharu Malaysia dalam perbincangan semula dengan Beijing mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan dan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dalam wawancara bersama akhbar South China Morning Post (SCMP) berkata Low ada menghubunginya ketika beliau berada di Beijing sekitar April untuk berbincang mengenai projek itu.

“Dia kata dia boleh bantu, jadi saya kata ‘Baliklah ke sini, datang dan jelaskan kepada saya di sini,” kata Daim seperti dilaporkan oleh SCMP.

Menurut laporan itu lagi, Daim berkata itulah kali terakhir Low menghubungi beliau, tanpa mendedahkan berapa kerap mereka berhubung sebelum ini.

Selain Low, Ketua Polis Negara dalam sidang media yang sama mengakui kesilapannya mendedahkan lokasi salah seorang individu penting dalam skandal 1MDB, Nik Faisal Arif Kamil, pada 2015 sehingga menyebabkan individu itu berjaya melarikan diri.

“Pada hari saya membongkar keberadaan dia, ada satu usaha untuk menyembunyikannya, memindahkannya ke satu-satu negara, tapi ia tidak berlaku kerana didedahkan terlalu awal oleh saya,” kata Abdul Hamid.

Dalam sidang media pada 2015 itu, Abdul Hamid yang ketika itu dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM oleh kerajaan terdahulu pimpinan bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu media ada “kuasa-kuasa ghaib yang cuba menghalang individu itu daripada disoal agensi antirasuah.”

Nik Faisal, yang merupakan Ketua Pengarah Eksekutif anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berkaitan pemindahan wang sebanyak 89 juta ringgit daripada 1MDB ke akaun peribadi milik Najib, yang kini dibicarakan bagi jenayah itu.

Sejak mengambil alih tugas utama di PDRM awal bulan ini, Abdul Hamid giat menggerakkan badan itu untuk memberkas Low dan menyiasat skandal antarabangsa tersebut yang melibatkan berbilion ringgit dan disifatkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai “kleptokrasi terburuk.”

Lihat Laman Penuh