Malaysia Ambil Langkah Hentikan Wanita ke Luar Negara untuk 'Jihad Seks'


2015.03.01
MY-IS-girl-620-Feb2015.jpg Beberapa orang wanita membeli-belah di sebuah kedai di Kuala Lumpur, 5 Ogos 2014.
AFP

Trend terbaru yang muncul dalam kalangan gadis atau wanita muda di Malaysia adalah meninggalkan negara untuk ke Islamic State (IS) sama ada berkahwin atau menawarkan “perkhidmatan seksual” kepada pejuang-pejuang jihad di sana, lapor pihak berkuasa Malaysia.

Penahanan seorang gadis berusia 14 tahun yang berasal dari negeri Johor pada 17 Februari yang lalu membuktikan trend ini semakin membimbangkan. Dia disyaki merancang ke Mesir untuk berkahwin dengan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun yang juga merupakan penuntut di Universiti al-Azhar di Kaherah. Dari sana, pasangan itu merancang ke Syria melalui Turki, media Malaysia melaporkan.

Fenomena ini menimbulkan satu masalah keselamatan negara kepada Malaysia: usaha agresif IS dan penyokong tempatan menggunakan media sosial untuk merekrut pejuang muda bagi mencapai matlamat mereka.

IS kini bertindak dengan cara memujuk gadis semuda 14 dan 15 tahun menyertai kumpulan mereka dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti termasuk "jihad seks," The Star memetik Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Diraja Malaysia, Bahagian Cegah Keganasan pada 22 Februari yang lalu.

"Kami tidak akan benarkan mereka dieksploitasi oleh IS atau mana-mana kumpulan pengganas," Ayob memberitahu akhbar itu. "Kami sedang kumpulkan sumber kami untuk pastikan bahawa kanak-kanak ini tidak jatuh ke dalam perangkap (IS)."

"Gadis-gadis muda senang dipengaruhi oleh militan melalui media sosial, terutamanya Facebook," kata beliau.

Ditahan


Sementara itu, gadis berumur 14 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sementara pihak berkuasa menyiasat kes itu, mengikut laporan Malaysian Insider.

Menurut Bernama, gadis tersebut menghadiri sebuah sekolah agama di Shah Alam.

"Walau bagaimanapun, kami akan teruskan siasatan untuk tentukan sama ada sekolah agama di mana dia belajar terlibat dalam penyebaran ideologi kumpulan militan itu," Bernama memetik kenyataan yang diberikan oleh Ayob.

"Namun, kami percaya gadis itu sudah lama terdedah kepada ideologi kumpulan itu melalui internet sebelum belajar di sekolah agama itu."

Pada tahun lalu, tujuh orang wanita Malaysia berjaya masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu tetapi tujuh orang wanita lagi dengan tujuan yang sama dapat dihalang, kata Ayob kepada The Star. Kebanyakan wanita itu dalam linkungan usia 20-an.

Syria

Gadis berusia 14 tahun yang ditahan pada 17 Februari yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah berhubungan dengan militan dari Malaysia yang berpusat di Syria, Ketua Polis Khalid Abu Bakar berkata dalam satu kenyataan yang dipetik oleh The Star.

"Kami akan membuat siasatan lanjut untuk membongkar dalang di sebalik tindakan memujuk dan menarik gadis Malaysia untuk keperluan IS," kata beliau.

"Kami tidak akan membenarkan Malaysia digunakan sebagai tempat latihan atau persembunyian pengganas dan militan. Sesiapa yang menyokong atau bersekutu dengan mana-mana pihak pengganas akan ditahan, " tambah Khalid.

Dilaporkan oleh pelbagai agensi berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.