Malaysia Haram Gerakan Media Marah Geramm

Oleh Hata Wahari
2015.04.29
150429-MY-GERAMM620 Wartawan yang sedang menjalankan tugas di sebuah bilik berita stesen television di Kuala Lumpur pada 21 Novermber 2006
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah mengisytiharkan Geramm, kumpulan yang mendesak supaya melakukan perubahan media di negara itu, sebagai tidak sah.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada Rabu berkata organisasi Gerakan Media Marah (GERAMM) telah disenaraikan sebagai tidak sah.

Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu, Yahaya Mohamad berkata, setiap pertubuhan yang ingin menjalankan aktiviti secara sah di Malaysia mesti berdaftar dengan ROS mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan undang-undang berkaitan boleh didenda tidak lebih RM5,000 (USD 1,430).

"Jika pelanggaran berlanjutan, denda tambahan bernilai tidak lebih RM5,000 sehari boleh dikenakan," kata Yahaya dalam satu kenyataan.

Geramm mula ditubuhkan pada penghujung 2013 untuk memprotes penggantungan akhbar mingguan bahasa Inggeris The Heat.

Pada bulan lepas, Geramm mengutuk penahanan pekerja The Malaysian Insider atas dakwaan hasutan, dan menganggapnya  sebagai  “cubaan menggunakan pengaruh yang tidak sewajarnya untuk menutup mulut media”.

Sambut kenyataan dengan gelak ketawa

Sementara itu GERAMM berkata, mereka menyambut kenyataan ROS itu dengan gelak ketawa.

Dalam maklum balasnya, Geramm berkata bahawa mereka sentiasa memperkenalkan gerakan berkenaan sebagai "perkumpulan longgar"  untuk pengamal serta aktivis media yang mahu menegakkan kebebasan media, dan bukannya sebagai pertubuhan.

“Kami juga ingin menegaskan perjuangan menuntut dan menegakkan kebebasan media bukanlah seruan yang perlu dibimbangi kerana ia akan memberi manfaat kepada semua pihak dalam amalan demokrasi yang sihat," kata Geramm dalam kenyataannya.

Disebabkan GERAMM dianggap tidak berdaftar, ROS menyeru semua lapisan masyarakat supaya tidak terpengaruh atau terpedaya dengan seruan pertubuhan berkenaan.

Kata Yahaya dalam kenyataan itu, GERAMM menggerakkan seruan kepada masyarakat untuk tidak berpuas hati terhadap sekatan ke atas media, sama ada elektronik atau cetak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.