Berpuluh Ditangkap Selepas Perhimpunan Anti GST

Oleh Hata Wahari
2015.05.01
150501-MY-GST620 Penunjuk perasaan memegang bendera memprotes semasa perhimpunan membantah GST (cukai barangan dan perkhidmatan) pada sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menangkap puluhan aktivis dan pemimpin pembangkang, selepas mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang bagi membantah cukai barangan dan perkhidmatan, yang diperkenalkan bulan lalu.

Polis berkata, 30 orang ditahan tetapi kumpulan pertubuhan bukan kerajaan Lawyers for Liberty mendakwa hampir 60 orang telah ditahan,  beberapa jam selepas perhimpunan di pusat bandar Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Antara mereka yang dikatakan ditahan ialah peguam dan juga bekas pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan dan ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, yang juga setiausaha penganjur Parti Tindakan Rakyat DAP.

Tidak endah cadangan tempat perhimpunan

Polis berkata, mereka tidak mengendahkan cadangan pihak berkuasa  untuk mengadakan perhimpunan itu di satu tempat iaitu di Padang Merbok.

Polis turut berkata penganjur perhimpunan itu, melanggar peraturan dan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Amam (PAA) kerana mengadakan perhimpunan haram,  bertindak membawa kanak-kanak, melakukan vandalisme terhadap harta awam dan menggunakan bom asap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Tajudin Md Isa berkata mereka yang ditahan dan didapati bersalah boleh didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan haram.

"Kesalahan-kesalahan tersebut telah didokumentasikan melalui rakaman dan video oleh anggota dan pegawai polis terlibat dalam Op Aman Perhimpunan #Kita Lawan/GST dan siasatan serta tindakan wajar akan diambil terhadap pelaku jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata polis bertindak kerana mahu mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan itu dijalankan bermula 3 petang Jumaat di sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Masjid Negara, Sogo dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sementara itu The Malaysian Insider (TMI) melaporkan aktivis wanita, Ivy Josiah, berkata sekurang-kurangnya empat dari yang ditahan merupakan remaja bawah umur, dibawa ke balai dengan gari.

Sebelum ditangkap, Arutchelvan berkata, penganjur perhimpunan Hari Pekerja memilih untuk tidak menurut arahan polis supaya mengadakan acara itu di Padang Merbok kerana menurut  PAA dan perlembagaan persekutuan, berhimpun secara aman bukan satu jenayah.

"Mengikut PAA dan perlembagaan, kami tak perlu ikut syarat yang Polis tetapkan," katanya seperti yang dilaporkan portal berita TMI itu.

Malaysia mula melaksanakan GST, iaitu cukai penggunaan pada kadar 6 peratus, dikenakan kepada sesuatu produk mulai 1 April,

Langkah itu menerima bantahan daripada pembangkang dan masyarakat sivil, yang mengatakan cukai itu menambah beban rakyat.

Ejekan semasa majlis sambutan hari pekerja

Portal berita TMI turut melaporkan, Perdana Menteri Najib Razak menerima ejekan dari beberapa orang yang hadir semasa sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak, pada Jumaat, ketika beliau mengatakan GST tidak diperkenalkan untuk membebankan rakyat.

Suara itu datang dari sekumpulan pekerja yang berada di belakang dewan di mana majlis itu berlangsung, yang dipercayai tidak senang dengan pengenalan cukai yang dilaksanakan kerajaan itu.

Kerajaan Malaysia berkata GST adalah satu sistem percukaian yang menyeluruh dan komprehensif  dapat menaja pendapatan serta pembangunan negara dan melalui kadar 6 peratus itu, negara akan memperoleh RM23 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaan GST, manakala bagi tempoh setahun boleh mencecah RM32 bilion.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.