Malaysia Tunggu Laporan Tragedi Helikopter


2015.04.06
150406-MY-jarjis620 Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad berjabat tangan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Jamaluddin Jarjis semasa mesyuarat di Tehran, 17 Disember 2006. Jamaluddin adalah pada lawatan rasmi ke Iran.
AFP

Laporan data kotak hitam helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang dipercayai terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada petang Sabtu lepas, hanya akan diketahui keputusan dalam masa sebulan.

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, "Kotak hitam yang ditemui akan dihantar ke Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di United Kingdom untuk dianalisis bagi mendapatkan laporan awal punca nahas. Tempoh untuk mengeluarkan data akan ambil masa tiga hingga empat hari, analisis data seminggu, jadi kita jangka proses untuk siasat sepenuhnya punca kemalangan akan ambil masa sebulan."

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti termasuk serpihan helikopter serta rakaman percakapan saksi kini sedang giat dilakukan.

Helikopter yang dipandu Kapten Clifford William Fournier membawa Anggota Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Azlin Alias; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran; usahawan Datuk Tan Huat Seang; dan seorang wanita rakyat Kyrgyzstan Aidana Baizeva. Kesemuanya terkorban dalam kejadian pada 4.55 petang itu.

Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan pemergian Jamaluddin dan Azlin yang rapat dengan beliau sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Jamaluddin yang dilihat sebagai 'tenaga penggerak' dalam meningkatkan hubungan diplomatik dan perniagaan antara Malaysia dan Amerika Syarikat sejak Najib mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri Malaysia telah dikebumikan di perkarangan Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Ahad.

Spekulasi helikopter di sabotaj

Pelbagai spekulasi timbul berkaitan tragedi yang mengorbankan Jamaluddin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) serta bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang bertaraf menteri itu.

Antaranya helikopter itu dikatakan terbakar di atas udara dan bukannya terhempas, faktor cuaca, siapakah wanita Kyrgyzstan dan mengapa beliau berada di dalam helikopter itu selain spekulasi paling liar ialah berkemungkinan helikopter itu disabotaj.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak, terutama pengamal media dalam talian, supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tragedi itu serta meminta menghormati mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan itu bagi tidak melukakan perasaan keluarga mereka.

"Ini soal kematian. Jangan spekulasi atau bawa berita di luar," katanya ketika ditemui wartawan di luar kediaman Allahyarham Jamaluddin pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kotak hitam berada dalam keadaan baik semasa ditemui di lokasi utama kejadian pada pukul 11.30 pagi Ahad.

“Ia sudah diserahkan kepada pasukan siasatan khas Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan disimpan di bilik khas bagi pasukan DCA untuk membuat analisis," katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.

Liow terdahulu turut di minta mengulas mengenai identiti pembantu operasi Aidana Baizieca yang menimbulkan tanda tanya, Liow sekali lagi menegaskan mangsa wanita itu adalah kakitangan syarikat penerbangan berkenaan dan bukan pembantu juruterbang.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan hasil bedah siasat dan menyatakan ia akan diumumkan bersama laporan keseluruhan punca kejadian.

Kerjasama dengan Airbus dari France untuk bantu siasatan

Sementara itu Pengarah Operasi Penerbangan DCA Yahaya Abdul Rahman berkata jabataan itu, akan bekerjasama dengan syarikat pengeluar helikopter, Airbus dari France, untuk siasatan dari sudut teknikal.

Yahaya mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rakaman percakapan terakhir antara juruterbang dan menara kawalan. “Kami perlu menilai dari segi masalah mekanikal jika ada. Saksi berkata nampak helikopter terjunam," katanya.

Mengenai spekulasi sama ada helikopter meletup di udara atau terlanggar pencawang, Yahaya berkata DCA tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai itu.

Mereka yang terkorban adalah dalam penerbangan pulang ke ibu negara selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri  Najib Razak di Pekan, Pahang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.