Kerajaan Malaysia Setuju Mansuhkan Hukuman Mati Mandatori 11 Kesalahan

Wan Junaidi berkata penelitian dan kajian lanjut akan dilaksana untuk mengenal pasti hukuman gantian.
Noah Lee
2022.06.10
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Kerajaan Malaysia Setuju Mansuhkan Hukuman Mati Mandatori 11 Kesalahan Seorang aktivis memakai baju dengan simbol membantah hukuman gantung sampai mati ketika protes terhadap hukuman mati di Speaker Corner di Singapura pada 3 April 2022.
[AFP]

Kerajaan Malaysia telah bersetuju memansuhkan peruntukan undang-undang yang menetapkan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan di negara itu dan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhi hukuman gantian mengikut budi bicara hakim, demikian menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat oleh Kabinet empat tahun selepas Putrajaya mengenakan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati di Malaysia, yang menurut kumpulan hak asasi manusia mempunyai ramai pesalah bilik akhir yang disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, masih belum jelas bila keputusan itu, yang dibuat kira-kira sebulan selepas seorang rakyat Malaysia dihukum mati di Singapura kerana menyeludup 1.5 auns dadah heroin, akan dilaksana sepenuhnya.

Sebuah kumpulan pemerhati hak asasi antarabangsa berkata ia ingin melihat hukuman mati mandatori benar-benar dimansuhkan terlebih dahulu sebelum bersorak gembira kerana Malaysia sebelum ini dikatakan pernah membuat janji yang serupa namun tidak melaksanakannya.

“Kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah,” kata Wan Junaidi.

Kerajaan mencapai keputusan itu selepas Wan Junaidi membentangkan kepada Kabinet Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Rabu.

“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah yang serba dinamik,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh pejabat Wan Junaidi, di bawah undang-undang Malaysia hari ini, sebanyak 11 kesalahan masih memperuntuk hukuman mati mandatori. Ini bermakna hakim tidak mempunyai sebarang pilihan selain menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa yang disabitkan dengan kesemua kesalahan.

Antaranya membunuh, melakukan perbuatan pengganas yang mengakibatkan kematian, mengambil tebusan dan melepaskan tembakan ketika melakukan suatu kesalahan jenayah berjadual.

Sebelum ini, sesiapa yang didapati bersalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan pengedaran dadah turut berdepan hukuman mati mandatori.

Peruntukan itu bagaimanapun telah dipinda pada 2017 untuk memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah bagi menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan tidak kurang 15 kali dalam beberapa keadaan tertentu serta terhad kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti membawa atau menghantar dadah sahaja.

Menurut laporan organisasi hak asasi manusia Amnesty International yang menjalankan kajian pada 2019 mengenai sebab Malaysia perlu memansuhkan hukuman itu, kebanyakan pesalah yang menunggu hukuman mati di penjara negara berkenaan telah dihukum atas kesalahan berkaitan dadah.

Satu jawapan di Parlimen pada Februari 2022 menyatakan bahawa seramai 1,341 pesalah berada di bilik akhir menunggu masa untuk digantung, iaitu hukuman yang digunakan oleh Malaysia untuk mengakhiri hayat pesalah yang dijatuhi hukuman mati. Daripada jumlah itu, seramai 905 orang adalah mereka yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan pengedaran dadah dan dijatuhi hukuman mati mandatori.

Keputusan di landasan yang betul

Sementara itu, keputusan kerajaan Malaysia yang bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori menerima pujian banyak pihak termasuk kumpulan pejuang hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai satu langkah ke arah yang betul.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch bagi Asia Phil Robertson berkata tindakan menghentikan hukuman mati mandatori adalah “langkah yang penting dalam menuju ke hadapan.”

Robertson bagaimanapun menyatakan beliau tidak akan bersorak gembira sehinggalah Malaysia meluluskan pindaan yang diperlukan ke atas undang-undang sedia ada bagi menghapuskan peruntukan hukuman mati mandatori.

“Tetapi sebelum semua orang bersorak gembira, kita perlu melihat Malaysia betul-betul meluluskan pindaan perundangan bagi mengaplikasikan janji ini kerana kita pernah melalui perkara serupa sebelum ini dengan kerajaan Malaysia menabur janji mengenai hak asasi manusia namun hanya melaksanakan sedikit daripadanya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Kerajaan Malaysia gemar menabur  janji mengenai inisiatif hak kemanusiaan kerana mereka tahu masyarakat antarabangsa mempunyai jangka perhatian yang pendek dan akan menganggap janji itu sebagai tanda mereka semakin maju ke hadapan. Namun realitinya adalah lebih rumit, jadi kita mesti berhati-hati.”

Amnesty International Malaysia pula memberikan respons yang lebih positif terhadap pengumuman kerajaan Malaysia dan berkata mereka “mengalu-alukan langkah ke hadapan” itu.

Pengarah Eksekutifnya Katrina Jorene Maliamauv dalam satu kenyataan turut menggesa kerajaan supaya membentangkan pindaan ke atas undang-undang di Parlimen dengan segera.

“Kita telah banyak kali melihat dan merekodkan bagaimana penggunaan hukuman mati mandatori telah secara tidak seimbang memudaratkan mereka yang berasal dari komuniti terpinggir dan bagaimana ia tidak menjadi faktor penghalang untuk orang melakukan kesalahan, serta menyekat usaha mewujudkan keadilan dan menyelesaikan masalah daripada puncanya.

“Hukuman mati juga adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mencabuli hak untuk hidup. Pengumuman kerajaan hari ini menunjukkan bahawa perubahan hak asasi manusia adalah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan trend dunia ke arah menghapuskan hukuman mati tidak dapat ditahan lagi. Keputusan Malaysia juga harus menjadi contoh kepada negara lain di rantau ini,” katanya.

Kasthuri Patto, seorang Ahli Parlimen daripada Parti Tindakan Demokratik, mengalu-alukan keputusan kerajaan dan menyifatkan ia sebagai satu langkah yang berani oleh Malaysia untuk menghentikan hukuman mati mandatori.

“Ia berlaku dengan kehendak politik dan fokus terhadap keadilan restoratif,” menurutnya dalam kenyataan di media sosial.

Pada 2018, kerajaan progresif Pakatan Harapan berkata ia akan memulakan langkah untuk menghapuskan hukuman mati namun tidak meneruskannya pada 2019.

Sebuah lagi kumpulan hak asasi manusia, Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN), yang fokus mendesak kerajaan di rantau Asia Pasifik supaya menghapuskan hukuman mati, turut memuji keputusan Putrajaya.

“Amalan hukuman mati mandatori tidak membawa keadilan kerana ia menafikan hakim daripada menggunakan budi bicara ke atas jenis hukuman yang boleh dijatuhkan mengikut situasi dan pesalah,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh