Warga Thailand Didakwa Dalam Kes Pemerdagangan Manusia di Wang Kelian

Ray Sherman dan Noah Lee
2022.04.05
Kuala Lumpur
Warga Thailand Didakwa Dalam Kes Pemerdagangan Manusia di Wang Kelian Pasukan keselamatan dan anggota penyelamat memeriksa kubur di ladang getah berhampiran sebuah gunung di selatan Songkhla, Thailand, 7 Mei 2015.
Reuters

Seorang warga Thailand didakwa pada Selasa atas pertuduhan terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia yang dikaitkan dengan penemuan kem penempatan dan kubur besar rakyat Myanmar serta Bangladesh berhampiran sempadan Malaysia-Thailand kira-kira lapan tahun lepas, menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia.

Suchat Tohdin, yang ditahan pada 8 Mac lepas, berdepan hukuman penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, kata Pengarah JSJ Abd Jalil Hassan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Suchat, 34, ketika pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Musyiri Preet.

Mengikut kertas pertuduhan, Suchat yang berkahwin dengan seorang wanita tempatan didakwa menyeludup seorang rakyat Myanmar pada 5.30 pagi di antara Ogos 2014 dan 10 Mac 2015 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.

Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan negeri Perlis Nordin Ismail manakala Suchat diwakili peguam Baharudin Baharim.

Pada akhir Mei 2015, polis Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menjumpai lebih 100 rangka manusia di 139 kubur di lokasi yang pernah dijadikan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian.

Mangsa dikatakan datang ke Malaysia untuk mencari kerja.

Sebelum itu, pihak berkuasa Thailand turut mendedahkan penemuan kubur besar yang menempatkan mayat orang Islam Myanmar dan Bangladesh di kawasan bekas kem penyeludupan di hutan berhampiran sempadan.

Siasatan kes masih berjalan

Abd Jalil juga berkata polis tidak pernah menghentikan siasatan atau cuba menutup kes itu.

"Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek yang terlibat," katanya yang turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes itu.

Pada peringkat awal siasatan susulan penemuan itu, pihak berkuasa Malaysia menahan 12 pegawai polis dan beberapa warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia. Bagaimanapun, kebanyakan individu terbabit kemudian dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah.

Hanya dua warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang warga Thailand telah didakwa dan disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara di antara tiga dan 10 tahun dalam kes itu.

Thailand pula telah mendakwa 102 individu dengan 62 daripada mereka disabitkan kesalahan menyeludup manusia termasuk seorang bekas jeneral tiga bintang.

Penubuhan RCI

Pada Februari 2019, Malaysia ketika pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes itu.

Suruhanjaya itu telah menamatkan prosiding pada tahun sama selepas memanggil 48 saksi sepanjang tempoh siasatan selama 17 hari di Kuala Lumpur antaranya bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Suruhanjaya itu dimaklumkan migran yang melarikan diri dari kawasan konflik di Myanmar diminta membayar RM6,500 (AS$1,543) seorang untuk dibawa ke Malaysia. Sekiranya gagal, mereka akan dipukul dan diseksa oleh ahli sindiket di kem penyeludupan.

Sesetengahnya dilaporkan meninggal dunia akibat diseksa manakala yang lain maut kerana makan makanan tercemar dan mayat mereka dikebumikan oleh mangsa lain.

Laporan akhir dan penemuan suruhanjaya itu bagaimanapun tidak pernah diumumkan sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati para aktivis serta organisasi hak asasi manusia yang menggesa agar ia didedahkan atas dasar "kebenaran, keadilan dan kebertanggungjawaban."

Kumpulan hak asasi Fortify Rights sebelum ini mendedahkan bahawa di antara 2012 dan 2015, sindiket jenayah rentas sempadan telah memperdagang sekurang-kurangnya 170,000 orang ke Malaysia dengan kebanyakan mereka terdiri daripada etnik Rohingya dari Myanmar dan rakyat Bangladesh serta menjana kira-kira AS$50 juta hingga $100 juta (RM206.5 juta hingga RM413 juta) setiap tahun.

Pada tahun lepas, kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara AS turun ke Tahap 3 apabila dikatakan tidak memenuhi standard minimum dalam menghapuskan aktiviti penyeludupan manusia dan melakukan usaha sewajarnya untuk berbuat demikian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.