Lawak hina Islam: Wanita Malaysia berdepan hukuman penjara

Iskandar Zulkarnain dan Nisha David
2022.07.11
Kuala Lumpur
Lawak hina Islam: Wanita Malaysia berdepan hukuman penjara Seorang lelaki memegang payung berjalan melewati mural di Kuala Lumpur pada 2 Nov 2020.
S. Mahfuz/BenarNews

Seorang wanita Malaysia berdepan risiko dihukum penjara antara dua hingga lima tahun selepas  ramai pihak mendakwa persembahannya di sebuah kelab komedi tidak melucukan sebaliknya menghina Islam namun para aktivis kebebasan bersuara menyifatkan tindakan pihak berkuasa terhadap perbuatan itu sebagai terlalu keras.

Dalam sebuah video tular yang memaparkan persembahannya, wanita itu mendakwa dia beragama Islam serta telah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak menanggalkan tudung dan baju kurung sehingga tinggal pakaian sebenar yang dipakai iaitu baju terdedah sebahagian dada serta skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha.

Wanita berusia 26 tahun itu telah ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad dan polis berkata mereka akan memohon perintah tersebut dilanjutkan walaupun selepas Jabatan Agama Islam Wilayah memulakan siasatan ke atasnya.

“Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

“Pada masa ini, suspek ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan,” kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Saaduddin dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang antara lain memperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 (AS$11,294) dan penjara setahun.

Tahan teman lelaki

Susulan penahanan wanita itu, polis turut menangkap teman lelakinya pada Ahad dan direman selama tiga hari bermula Isnin, menurut Noorsiah dalam kenyataan berasingan.

“Kertas siasatan akan segera dirujuk ke pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengumumkan bahawa agensi itu sedang menyiasat wanita berkenaan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mengikut Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Akta itu memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM3,000 (AS$677) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah-Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia,” menurut Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan pada Sabtu.

Crackhouse Comedy Club (CH) dalam reaksinya turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan wanita itu yang dikatakan menghina agama Islam.

“Untuk makluman awam, selepas berlakunya persembahan tersebut, individu berkenaan telah dilarang daripada kembali ke Crackhouse Comedy Club.

“Crackhouse Comedy Club telah memfailkan laporan polis mengenai insiden ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail,” menurut kenyataan pengurusan kelab itu sebaik sahaja video berdurasi 54 saat persembahan wanita itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, langkah kelab komedi itu tidak memadai untuk mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada Ahad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menggantung serta-merta operasi studio kelab komedi itu.

“Ini sebagai suatu mesej jelas bahawa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara,” menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan.

Tindakan keras

Tindakan keras pihak berkuasa berhubung insiden itu telah mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan aktivis kebebasan bersuara meskipun mereka sama sekali tidak menyokong perbuatan wanita tersebut.

“Apa yang dilakukannya adalah perbuatan yang berisiko kerana dia melakukan provokasi ke atas kepercayaan dan agama masyarakat majoriti.

“Apabila dia melakukan perbuatan itu, dia perlu berdepan dengan akibatnya daripada masyarakat. Jelas sekali saya tidak mempertahankan perbuatannya,” kata Zulkiflee Anwar Ul Haque atau Zunar, yang juga kartunis terkenal Malaysia.

Begitupun, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa ke atas wanita itu.

“Dia bukan penjenayah. Adalah memadai masyarakat telah menghukumnya. Kelab tersebut telah menyekatnya dari membuat apa-apa persembahan di masa depan.

“Di media sosial, banyak sekali kritikan ke atasnya. Malahan tidak mengendahkan dia juga adalah satu bentuk hukuman. Perkara sebegini berlaku dalam industri hiburan,” katanya kepada BenarNews.

Penggubal undang-undang pembangkang Hannah Yeoh turut mengkritik langkah pihak berkuasa menghukum kelab komedi itu meskipun adalah jelas kesalahan dilakukan oleh wanita tersebut.

“Crackhouse Comedy Club hanyalah sebuah platform. Penghasil kandungan yang melakukan kesalahan dan selayaknya ditahan. DBKL perlu menarik balik penggantungan operasi kelab itu sebaik sahaja siasatan selesai. Menghukum platform adalah sama seperti menutup panggung wayang hanya kerana menyiarkan filem yang teruk,” ciap Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokrasi itu di laman Twitter.

Para penyokong kelab komedi itu telah menggerakkan kempen #SolidarityWithCrackhouseKL sebagai tanda sokongan mereka.

Merdekaraya, sebuah kelab yang menawarkan pentas terbuka kepada penggiat seni suara di Kuala Lumpur tampil mempertahankan Crackhouse sambil membidas wanita itu dan teman lelakinya.

“Kami menggesa pihak DBKL agar segera menarik balik penggantungan lesen Crackhouse KL,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Merdekaraya mendakwa pasangan itu bukan pelawak sebaliknya cuba memperalatkan pentas seni untuk mempromosi acara seks berkumpulan malah mereka pernah didapati bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap kelab tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.