Follow us

Malaysia Hantar Pulang 26,116 Pendatang Tanpa Izin Sejak Januari

Hadi Azmi dan Radzi Razak
Kuala Lumpur
2019-06-10
E-mel
Komen
Share
Pekerja warga Bangladesh sedang bekerja di tapak binaan bangunan bersebelahan menara KLCC, Kuala Lumpur, Malaysia. 10 Jun 2019.
Pekerja warga Bangladesh sedang bekerja di tapak binaan bangunan bersebelahan menara KLCC, Kuala Lumpur, Malaysia. 10 Jun 2019.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Malaysia telah menghantar pulang sejumlah 26,116 pendatang tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebagai usaha kerajaan menangani masalah kebanjiran golongan itu di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci pecahan PATI yang dihantar pulang dan negara terbabit dalam kenyataan beliau kepada media pada Ahad.

Angka itu melebihi jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang pada 2018 iaitu 46,000 orang bagi tempoh Januari hingga Disember, menurut data yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Muhyiddin dalam kenyataan sama turut menyebut bahawa selain operasi berterusan yang diadakan di seluruh negara, kerajaan Malaysia juga dalam usaha merangka pelan lima tahun iaitu Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI bagi memerangi masalah kebanjiran PATI di negara ini.

“Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI merupakan strategi penguatkuasaan yang komprehensif untuk mengatasi masalah kebanjiran PATI dengan melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai kementerian dan agensi serta melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha bersama membantu membanteras PATI,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini sahaja sejak bulan Januari, pihak agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjalankan 7,490 operasi dan memeriksa 100,000 warga asing. Daripada jumlah itu, 23,295 orang didapati adalah PATI.

Menurut Muhyiddin, PATI dari Indonesia berada di tangga teratas dengan 8,011 orang diikuti Bangladesh sebanyak 5,272 orang manakala bakinya dari negara seperti Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain.

Malaysia turut mengambil tindakan undang-undang terhadap 605 majikan di bawah pelbagai Akta Imigresen yang boleh dijatuhi hukuman denda antara 10,000 ringgit dan 50,000 ringgit bagi setiap kesalahan, dan penjara tidak melebihi 12 bulan kerana membawa masuk PATI secara tidak sah, menggaji atau melindungi mereka.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menjalankan program pengampunan dari tahun 2014 hingga 2018 dengan menawarkan pas khas dengan fi sebanyak 100 ringgit kepada PATI untuk membolehkan mereka pulang ke negara asal selepas membayar denda sebanyak 300 ringgit.

Menurut bekas Pengarah Imigresen Mustafar Ali kepada media tahun lepas, sejumlah  840,000 PATI telah menyerah diri menerusi progam itu yang tamat pada 31 Ogos 2018.

Mengulas perancangan KDN dalam merangka pelan lima tahun bagi membenteras masalah PATI, Muhyiddin berkata objektif pelan itu adalah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendayaupaya agensi penguat kuasa dan kawal selia sedia ada, termasuk meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat.

Beliau berkata strategi kerajaan akan menumpukan kepada penguatkuasaan, pindaan undang-undang, kawasan sempadan dan pintu masuk, pengurusan warga asing serta penggunaan strategi media untuk mendidik masyarakat berkaitan isu ini.

Menurut beliau, kerajaan sedar senario kebanjiran PATI di Malaysia masih menjadi isu nasional yang belum dapat diatasi secara holistik.

“Masalah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan negara dan keselamatan persempadanan tetapi juga memberi impak yang cukup besar kepada politik dan pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

Kenyataan menteri itu bagaimanapun berdepan kritikan kumpulan yang memperjuang hak asasi warga asing iaitu Tenaganita.

Kumpulan itu berkata pendekatan keras kerajaan hanya mampu menyelesaikan isu luaran dan mengabaikan masalah sebenar.

“Kerajaan memberikan fokus untuk menyelesaikan isu ini (sejak) beberapa tahun (kebelakangan) ini dengan menumpukan kepada operasi.

“Kenapa kita mengharapkan keputusan yang berbeza dengan menjalankan taktik ini setiap tahun?” kata Glorene A Das, pengarah eksekutif Tenaganita.

Glorene turut menyatakan bahawa undang-undang Malaysia tidak membezakan PATI dan pemohon suaka yang mendedahkan pemohon suaka kepada layanan yang sama dengan PATI, termasuk dihantar pulang secara paksa.

Beliau berkata Muhyiddin dan kementeriannya juga perlu melihat isu eksploitasi majikan tempatan ke atas warga asing yang digajikan mereka.

“Daripada kes yang kami dapat, warga asing menjadi pendatang tanpa izin bukan kerana salah mereka tetapi ditipu oleh ejen dan majikan, ini adalah kerana kurangnya kebertanggungjawaban dan proses yang telus dalam program pengambilan semula pekerja.

Contohnya Farouk, warga Bangladesh yang kini bekerja sebagai penjual air di kawasan kejiranan SS2 di Petaling Jaya luar Kuala Lumpur. Pasportnya dipegang majikan yang kemudian melarikan diri dengan duit gaji beliau menyebabkan beliau terkandas di Malaysia.

“Saya terpaksa membayar 3,000 ringgit (AS$720) setiap tahun menggunakan duit saya sendiri untuk memperbaharui permit kerja.

“Sekarang dah tidak ada dokumen dan tidak ada wang, saya tidak ada pilihan melainkan terus bekerja di Malaysia,” kata Farouk yang berasal dari wilayah Chittagong kepada BeritaBenar.

Menurut  Farouk, beliau terpaksa terus bekerja walaupun tidak mempunyai permit kerana perlu menghantar wang kepada keluarga yang bergantung harap kepadanya bagi mendapatkan sumber kewangan.

“Mereka jual ladang dan ambil pinjaman untuk hantar saya ke sini, jadi saya perlu terus bekerja,” katanya.

Beliau akan terus bekerja di Malaysia walaupun berdepan penguatkuasaan yang ketat dan keras kerana menganggap Malaysia adalah negara yang lebih baik berbanding negara lain.

“Saya ditawarkan ke Arab Saudi sebelum ini tetapi saya dengar layanan di sana lebih teruk. Rakyat Malaysia lebih baik dan negara ini lebih selamat,” katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, seorang wanita Myanmar yang hanya ingin dikenali sebagai Nyunt, 27, berkata beliau datang ke Malaysia menggunakan visa pelawat pada 2013 namun bekerja di restoran dan bar sejak itu.

“Saya perbaharui visa setiap enam bulan. Saya takut kena tangkap tetapi duit di Malaysia lebih bagus dari negara sendiri. Jadi saya ambil keputusan untuk terus berada di sini,” kata Nyunt kepada BeritaBenar.

Menurut laporan yang dikeluarkan Institut Kajian Khazanah pada 2018, terdapat kira-kira 2.2 juta pekerja asing di Malaysia, melebihi jumlah golongan itu yang direkod oleh kerajaan Malaysia dalam tahun yang sama iaitu 1.8 juta orang.

Lihat Laman Penuh