Malaysia Gempur Pekerja Haram Di Seluruh Negara
2017.06.30
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia akan memulakan operasi menggempur pendatang tanpa izin di seluruh negara bermula tengah malam ini, selepas kempen permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) bagi mereka yang bekerja secara haram di negara ini, tamat pada Jumaat.
Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi berkenaan setelah sejumlah besar majikan didapati gagal mendaftarkan pekerja-pekerja mereka yang tidak mempunyai permit, sepanjang kempen itu diadakan sejak 15 Feb lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata pihaknya amat kecewa dengan sikap majikan Malaysia yang memandang ringan kempen yang diadakan untuk mendaftar dan membolehkan ratusan ribu pendatang tanpa izin bekerja tanpa permit di Malaysia, dan mendapatkan permit kerja secara sah.
“Bermula tengah malam hari ini, gerak gempur besar-besaran oleh Jabatan Imigresen akan dilakukan kerana kita telah memaklumkan lebih awal mengenai perkara ini,” katanya di sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau berkata, pada hari terakhir kempen pendaftaran itu, Jabatan Imigresen di seluruh negara dibanjiri majikan dan pendatang tanpa izin, termasuk 4,000 orang di pejabat Putrajaya yang cuba mendaftar pada saat-saat akhir.
Mustafar juga menegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan menyambung kempen pendaftaran E-Kad itu selepas ia berakhir pada 30 Jun.
“Saya ulang (kempen ini) tidak akan bersambung,” katanya sambil mengulangi kekecewaan Jabatan Imigresen terhadap sikap majikan yang tidak mendaftar pekerja mereka dengan lebih awal.
Beliau berkata, warga Bangladesh mencatatkan kadar pendaftaran E-Kad tertinggi diikuti oleh Indonesia, Myanmar dan Nepal.
Menurutnya, setakat pagi Jumaat, seramai 155,680 pendatang tanpa izin melibatkan 26,957 majikan telah membuat permohonan dan Jabatan Imigresen telah mengeluarkan sebanyak 140,746 E-Kad, yang jumlahnya yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal sebanyak 600,000 pekerja tanpa izin.
Sehubungan itu, Mustafar menegaskan bahawa pendatang tanpa izin yang gagal memohon E-Kad sehingga 12 tengah malam Jumaat, bakal dikenakan tindakan seperti ditahan dan diusir keluar dari negara ini.
“Selain itu, majikan boleh dikenakan tindakan kerana melindungi dan menggaji pendatang tanpa izin atau warga asing yang menyalahgunakan pas pelajar mengikut Seksyen 56(1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963. Kesalahan itu membawa denda minima RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.
Jabatan Imigresen memberikan E-Kad secara percuma dengan ia berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan-kedutaan warga asing berkenaan.
Selepas pendaftaran diluluskan, majikan dan warga asing tersebut perlu memohon pula pasport daripada kedutaan masing-masing.
Berjuta-juta pekerja asing
Berpuluh-puluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar, Indonesia serta negara-negara lain Asia berhijrah ke Malaysia untuk mengambil pekerjaan yang berisiko tinggi dan berbahaya demi membina kehidupan lebih baik.
Lebih 2 juta pekerja asing bekerja secara sah di Malaysia, namun para pegawai menganggarkan terdapat lebih 1 juta pekerja tanpa izin yang membanjiri negara ini.
Sejak kebelakangan ini, Malaysia dicemari dengan dakwaan bahawa pekerja asing tidak dilayani dengan sewajarnya termasuk tidak dibayar gaji setimpal selain pergerakan mereka disekat majikan yang turut menyimpan pasport mereka.
Gaji minima di Malaysia berbeza mengikut negeri-negeri dengan kadar RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak. Bayaran gaji minima itu berkuat kuasa pada 1 Julai tahun lepas untuk pekerja tempatan dan pekerja asing di negara ini.
Langkah tegas wajar
Sementara itu, beberapa persatuan yang berkaitan dengan majikan pekerja asing menyambut baik langkah Jabatan Imigresen melaksanakan operasi besar-besaran untuk menggempur pekerja haram di Malaysia.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Zulkepley Dahalan menyambut baik langkah tegas Jabatan Imigresen melakukan operasi gempur kerana ia akan mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin yang memasuki Malaysia secara haram menerusi laluan yang tidak diwartakan.
“PIKAP menyokong tindakan ini kerana masa untuk mendaftar adalah mencukupi. Malah, majikan dan pekerja asing telah diberi peringatan berulang kali,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) Engku Fauzi Engku Muhsein pula berkata Jabatan Imigresen perlu diberi kebebasan untuk bertindak terhadap majikan yang melanggar undang-undang negara terutamanya yang mengambil pekerja tanpa izin.
Beliau berkata, persatuan itu sering kali menerima aduan daripada majikan bahawa pembantu rumah mereka mencuri dan melakukan pelbagai jenayah lain sebelum melarikan diri.
“Apabila disiasat, rupanya mereka mengambil pekerja tanpa izin dan perkara ini tidak dilaporkan kepada pihak polis sekali gus mencetuskan banyak masalah kepada pihak berkuasa. Kami berharap Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan dengan mengesan pekerja asing ini dari rumah ke rumah,” katanya kepada BeritaBenar.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) Jeffrey Foo Chok Ti berpendapat kerajaan Malaysia perlu mengutip levi yang lebih tinggi apabila tindakan menangkap pekerja haram dilakukan secara besar-besaran dengan segera.
Menurutnya, kebanyakan majikan mengetepikan undang-undang negara dengan menggaji pekerja tanpa izin yang merugikan negara dari segi kutipan levi.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J. Solomon pula meminta Jabatan Imigresen supaya menyediakan platform yang mudah diakses bagi memohon E-Kad di luar premis jabatan itu.
Pada masa sama, beliau berpendapat dasar-dasar yang kurang wajar menyebabkan ramai pekerja asing tidak didokumentasikan di Malaysia.
“ Oleh itu, semua pihak mesti melaksanakan tindakan sewajarnya bagi memastikan isu-isu pendatang tanpa izin dapat diselesaikan dengan segera di negara ini,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Ray Sherman menyumbang kepada laporan ini.