Sokong IS: Bekas Pemandu Teksi Dijatuhi Hukuman Penjara 10 Tahun

Hadi Azmi dan Aminah Farid
2019.05.28
Kuala Lumpur
190528-MY-taxi-620.jpg Nor Nizam Panijan diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menyokong Negara Islam, 28 Mei 2019.
Hadi Azmi/BeritaBenar

Bekas pemandu teksi didapati bersalah atas tiga pertuduhan menyokong kumpulan pengganas Negara Islam(IS) termasuk menyalurkan bantuan kewangan kepada perekrut Muhammad Wanndy Mohamed Jedi pada 2016 dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Selasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Sofian Abdul Razak memutuskan bahawa Nor Nizam Panijan, 40, telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah dalam ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Perlu direkodkan bahawa mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.

Nor Nizam, yang memakai baju ungu dan ketayap ketika menghadiri sesi mahkamah kali ini, hanya diam dan kelihatan muram selepas keputusan dibacakan, berbeza dengan penampilan awalnya yang kelihatan lebih ceria bila disapa oleh isteri dan dua anak perempuan beliau.

Bagi pertuduhan pertama, Nor Nizam didapati bersalah kerana memberikan sokongan kepada IS dengan berbaiah antara 30 Mac dan 2 April 2016 melalui platform sembang Telegram Gagak Hitam bersama Wanndy.

Ahli Gagak Hitam dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan pertama IS di Malaysia yang didalangi perekrut Malaysia Wanndy. Wanddy terbunuh dalam satu serangan dron di Syria pada 2017. Beliau menerusi laman sosial Facebook telah mengaku bertanggungjawab merancang serangan bom tangan pada 2016 yang menyebabkan lapan pengunjung sebuah kelab di Kuala Lumpur cedera.

Ketika membela diri, Nor Nizam berkata beliau tidak sedar impak baiah taat setia itu dan mendakwa bahawa beliau cuma berbuat demikian agar tidak dibuang daripada kumpulan itu kerana terlalu ingin mengetahui apa yang berlaku di Syria.

“Menurut tertuduh, beliau tidak betul-betul faham maksud baiah itu dan menganggap ia adalah sokongan kepada Islam secara umum dan bukan keganasan,” kata Sofian merujuk keterangan Nor Nizam sebelum memutuskan bahawa pembelaan itu tidak boleh dipercayai.

“Tertuduh bukan sahaja mengisytiharkan kesetiaan tetapi turut menyumbang dana dan bertanyakan soalan tentang Syria, dan turut bertanya bagaimana mahu turut berhijrah ke negara itu,” kata hakim lagi. “Maka dengan itu, mahkamah bersetuju bahawa hujahan tertuduh hanyalah penafian semata-mata.”

Bagi pertuduhan kedua, Nor Nizam didapati bersalah kerana dengan suka rela memindahkan wang sebanyak 70 ringgit ($16.70) dan 20 ringgit ($4.75) ke dalam dua akaun bank milik Mohd Haniffa Syedul Akbar dan Bukhori Che Noor, yang berperanan sebagai proksi kepada Wanndy.

Peguam bela Syahredzan Johan berhujah bahawa anak guamnya menyangka beliau telah menyumbang wang kepada mangsa perang di Syria, dan hanya Mohd Haniffa serta Bukhori yang mengetahui bahawa ia disalurkan kepada IS.

Hakim berkata bukti menunjukkan bahawa Wanndy sendiri telah memberitahu kumpulan itu untuk menyumbangkan wang kepada beliau kerana sumber kewangan sel tersebut semakin kurang.

“Sumbangan bulan ini semuanya hangus… sumbangan ini adalah untuk kegunaan kami bukan untuk mereka yang diselamatkan. Ini adalah untuk kebaikan, Allah akan memberikan ganjaran yang hebat,” kata Sofian yang membaca transkrip kumpulan itu.

“Maka dengan itu adalah jelas bahawa semua di dalam kumpulan itu bersetuju dan diminta untuk menyumbang kepada tujuan itu,”kata beliau.

Bagi pertuduhan ketiga, Nor Nizam didapati bersalah kerana menyimpan 21 video dan dua keping gambar berkaitan IS dalam telefon pintarnya.

Sofian berkata pertuduhan itu adalah yang paling ringkas dan senang bagi pihak pendakwaan untuk membuktikannya.

“Pada pandangan saya, ia adalah sukar bagi tertuduh untuk membuktikan bahawa gambar dan video itu tidak berada dalam telefon beliau. Tiada penjelasan yang kukuh bagi tertuduh untuk menafikannya,” kata hakim itu lagi.

Syahredzan kemudian memohon agar mahkamah memberikan sedikit kelonggaran kepada Nor Nizam dengan mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama beliau.

“Beliau bekerja sebagai pemandu teksi dengan gaji antara 3,000  hingga 4,000 ringgit ($716 ke $954) sebulan dan mempunyai dua anak perempuan,” kata Syahredzan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi meminta mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai langkah pencegahan kepada orang lain.

Sofian kemudian menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap Nor Nizam bagi kesalahan pertama, enam tahun bagi kesalahan kedua dan tiga tahun bagi kesalahan ketiga. Sofian turut mengarahkan agar hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh Nor Nizam ditangkap iaitu pada Ogos 2016.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.