Tiga Pelajar Universiti Prestij Malaysia Ke Syria Sertai IS
2015.04.14
Tiga pelajar dari sebuah universiti berprestij di Malaysia telah pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), kata seorang rakan yang membuat laporan polis mengenainya pada Selasa.
Akhbar The Star berkata laporan itu dibuat oleh seorang pelajar berusia 22 tahun yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Polis sedang menjalankan siasatan mengenai laporan yang di buat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur itu.
Ajak ke Syria sertai IS
Pelajar yang enggan identitinya didedahkan berkata tiga rakannya telah ke Syria untuk menyertai IS sejak tahun lepas dan mendakwa dia turut cuba dipengaruhi mereka untuk menyertai IS menerusi media sosial.
"Rakaman video yang disifatkan sebagai perjuangan oleh militan IS dimuat naik dalam laman Facebook saya dan rakan saya yang berada di Syria sentiasa meminta saya untuk menyertai mereka," katanya.
Katanya, dia mula bertemu pelajar-pelajar itu pada 2012 dan mereka sering bercakap tentang memperjuangkan hak pihak yang ditindas di negara lain.
Pelajar itu berkata, dia berasa malu terutamanya sejak Facebooknya turut ditag bekas rakannya di Syria.
"Saya juga tidak boleh fokus kepada pelajaran kerana mereka sering memujuk saya untuk menyertai mereka di sana dan berhenti menjawab panggilan telefon kerana ada di antara mereka menghubungi saya walaupun saya memberitahu mereka untuk tidak berbuat demikian dan mereka tersilap langkah," katanya.
Penglibatan golongan remaja dan pelajar bimbangkan pihak berkuasa Malaysia
Penglibatan golongan remaja dan pelajar dengan kumpulan militan Negara Islam itu semakin membimbangkan pihak berkuasa Malaysia. Dalam beberapa siri tangkapan yang dibuat oleh Polis sejak tahun lepas, remaja dan pelajar turut tersenarai sebagai mereka yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata seorang remaja berusia 14 tahun adalah antara 17 individu yang ditahan polis kerana cuba menyertai kumpulan militan IS, minggu lepas.
Pada Febuari lalu, seorang gadis juga berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum berlepas ke Syria, disyaki mahu menyertai kekasihnya yang juga merupakan seorang pengikut IS.
Manakala bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah Sulaiman, 20, nekad melarikan diri ke Syria semata-mata mahu berkahwin dengan pejuang militan kumpulan berkenaan, yang juga bekas pemuzik era 90-an, Akel Zainal yang dikenalinya melalui Facebook.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan militant itu turut menyasarkan pelajar dari institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menyertai sebagai pejuang jihad kumpulan berkenaan, menurut laporan akhbar The New Straits Times bulan lepas.
Kumpulan IS juga memancing remaja dan pelajar dengan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS $ 2,000 (RM7,200) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan, kata laporan itu.
Sementara itu, Pensyarah Psikologi Kanak-kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Khaidzir Ismail, penglibatan golongan remaja untuk menyertai kumpulan IS adalah disebabkan faktor mempunyai keinginan yang kuat.
“Remaja merupakan golongan yang masih mencari identiti diri terutama mereka yang mahu mendalami ilmu agama dan taksub terhadap fahaman yang disebarkan oleh IS,” kata Khaidzir seperti yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo baru-baru ini.
Dalam perkembangan yang sama, Putrajaya merancang untuk “balik ke sekolah” dalam usahanya menangani ancaman kumpulan militan yang semakin meningkat di Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan merancang mengadakan ceramah dan seminar untuk memberi penjelasan terhadap ajaran salah kumpulan militan kepada pelajar Islam di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dalam tempoh terdekat ini.
“Satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai dari Kementerian Pelajaran dan Menteri-menteri Besar akan dibentuk untuk memastikan program ceramah dan seminar ini dapat dilaksanakan di setiap negeri. Menteri Besar akan pergi ke kesemua sekolah di negeri masing-masing ke arah usaha itu selain mendampingi pemimpin agama di negeri dengan lebih dekat lagi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail.
Katanya penubuhan jawatankuasa itu diilhamkan melalui maklumat yang dikumpul oleh Interpol dan risikan polis tempatan berikutan penahanan lebih daripada 92 rakyat Malaysia sejak 2013 yang dipercayai terlibat dalam kegiatan militan.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita