Naib Presiden PKR Dipenjara 30 Bulan Bocorkan Penyata Akaun NFC

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-02-07
Share
180207-MY-court-620.jpg Rafizi Ramli ketika tiba di Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk mendengar keputusan membocor maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusi eksekutifnya, Februari 7, 2018.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Mahkamah Seksyen Shah Alam  pada Rabu menjatuhkan hukuman 30 bulan penjara keatas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Muhamad kerana didapati bersalah mendedahkan penyata akaun bank anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusi eksekutifnya enam tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi dan Johari melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun NFC dan Pengerusi Eksekutifnya Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada Ketua Wanuita UMNO Shahrizat Abdul Jalil.

Hakim Zamri Bakar memberitahu bahawa pihak pendakwa raya telah membuktikan kes tanpa keraguan munasabah dan kegagalan peguam bela untuk membuktikan keraguan.

“Menurut analisis maksimum, mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan tidak menimbulkan keraguan dan oleh itu pihak pendakwa telah membuktikan perkara itu melampaui keraguan munasabah,” katanya dalam penghakiman pada Rabu.

Walaubagaimanapun, hakim tersebut membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000.00 seorang.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid manakala Latheefa Koya mewakili Johari.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Steve Chin.

Sebelum itu, Lailawati telah memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM500, 000.00 keatas Rafizi dan Johari.

Rafizi, antara ahli pembangkang paling lantang terhadap pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak  didakwa mendedahkan penyata akaun bank itu kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1) (a) akta sama.

Manakala, Johari didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama atas kesalahan bersubahat.

Hukuman maksimum atas kesalahan di bawah Bafia ialah hukuman penjara tiga tahun dan denda RM 3 juta.

Rafizi yang ditemui pemberita selepas keputusan itu bersyukur kerana tidak dijatuhkan hukuman denda.

“Saya bersyukur dan lega. Jika mahkamah menjatuhkan denda berat, saya mungkin tidak mampu bayar dan perlu ditahan terus,” katanya sambil menambah yakin akan rayuannya akan dibenarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Rafizi juga berkata beliau sedia berkempen untuk gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihanraya yang dijangka sengit itu.

Ini bukan hukuman pertama yang dihadapi okeh Rafizi kerana pada 14 November 2016 Rafizi didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan. Namun rayuan kes itu masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.

Rafizi didakwa memiliki halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB dan didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972. Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan beliau didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta yang sama.

Rafizi tidak boleh bertanding pada pilihanraya umum akan datang jika gagal mengetepikan sabitan OSA tersebut dan hukuman di bawah Bafia.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Pada 2011 Rafizi diarahkan membayar gantirugi RM200,000 kepada  Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Mohamed Salleh menyaman Rafizi kerana memfitnah beliau berkaitan NFC.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 juga mendedahkan NFC gagal mencapai sasarannya untuk membiak 8,000 baka lembu di Gemas, Negeri Sembilan selain menyatakan kegagalan pengurusannya.

Kes NFC telah membawa kepada gesaan pengisytiharan harta dan pada tahun yang sama pengerusi lembaga penasihat panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zaitun Zawiyah Puteh telah meminta ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet diwajibkan  mengisytihar harta dan aset mereka kepada suruhanjaya itu.

Permintaan itu dibuat berikutan kes yang melibatkan keluarga Shahrizat yang terlibat dalam skandal projek ternakan lembu NFC bernilai 250 juta ringgit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh