Malaysia Hentikan Pengeluaran Permit Kepada Pekerja Korea Utara, Kata Pegawai

Hadi Azmi
2017.06.30
Kuala Lumpur
170630-MY-nkorea-620.jpg Sebuah kereta polis Malaysia kelihatan diparkir di luar kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 12 Mac 2017.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menghantar pulang semua pekerja Korea Utara serta menghentikan pengeluaran permit kerja kepada rakyat negara komunis itu, demikian menurut seorang pegawai kanan kerajaan ketika mengesahkan perkara itu kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat beberapa bulan selepas berlaku satu pertikaian diplomatik antara kedua-dua negara susulan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara di Kuala Lumpur pada Februari, dan beberapa minggu selepas ramai rakyat Korea Utara meninggalkan Malaysia.

“Saya boleh mengesahkan bahawa semua pekerja rakyat Korea Utara telah dihantar pulang. Di Sarawak, semua pekerja dari Korea Utara telah dihantar pulang. Tiada permit kerja baharu dikeluarkan kepada rakyat Korea Utara,” kata pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri itu, yang bertanggungjawab menangani isu membabitkan jutaan pekerja asing, kepada BeritaBenar.

Sumber itu, yang enggan dinamakan atas alasan isu tersebut adalah sensitif, berkata arahan untuk menghentikan pengeluaran permit baharu telah “berkuat kuasa sejak dua bulan lepas.” Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

Sekurang-kurangnya 140 rakyat Korea Utara yang bekerja di lombong arang batu dan industri pembinaan di Sarawak telah dihantar pulang secara berperingkat, kata seorang pegawai yang bertugas di negeri itu.

“Semua yang berada di Sarawak telah meninggalkan negeri ini,” kata pegawai dari pejabat Ketua Menteri itu, yang mahu identitinya dirahsiakan, kepada BeritaBenar.

Percubaan BeritaBenar untuk menghubungi para pegawai kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur pada Jumaat gagal.

Pembunuhan di lapangan terbang

Dua wanita Asia Tenggara telah didakwa meracun sehingga maut Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, dalam satu serangan senjata kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb.

Rakyat Indonesia, Siti Aisyah, dan rakyat Vietnam, Doan Thi Hoang, didakwa membunuh Kim bersama-sama “empat lagi yang masih bebas” –  merujuk kepada empat orang lelaki rakyat Korea Utara yang dikesan melalui kamera pemantauan di sebuah restoran di lapangan terbang itu yang berada di tempat insiden tersebut dengan kedua-dua wanita itu sejurus sebelum serangan ke atas Kim. Kesemua lelaki kemudian telah menaiki pesawat dan meninggalkan Malaysia pada hari yang sama.

Kedua-dua wanita, yang berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan, mendakwa ketika kejadian, mereka telah diperdaya bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam sebuah rancangan realiti TV.

Insiden pembunuhan itu menyebabkan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara tegang, dengan kedua-dua negara mengusir keluar duta masing-masing serta mengenakan larangan keluar terhadap rakyat masing-masing, ketika pihak mereka berhujah tentang isu jasad Kim, sementara suspek dipercayai bersembunyi di Kedutaan Korea Utara.

Jasad Kim telah dihantar pulang ke Korea Utara pada 30 Mac iaitu pada waktu yang sama sembilan rakyat Malaysia, yang pada mulanya terperangkap di Korea Utara, dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

Penutupan restoran

Sementara itu, menurut laporan media, satu-satunya restoran Korea Utara di negara ini iaitu Restoran Koryo yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, telah menghentikan operasinya pada bulan Mac.

Menurut Agensi Berita Korea Selatan Yonhap, restoran itu merupakan satu daripada 10 restoran di sekitar Asia Tenggara yang dikenal pasti menjadi sumber “mata wang utama bagi rejim Kim Jong Un.”

“Restoran tersebut, satu-satunya dari Korea Utara yang beroperasi di Malaysia, baru-baru ini telah menghentikan perniagaannya dan negara itu juga telah mengeluarkan pekerjanya, menurut satu sumber yang mahu identitinya dirahsiakan,” kata laporan itu.

Hata Wahari dan Labid Balang di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.