Follow us

Wartawan Bengang Kenyataan Menteri Berhubung Lesen Kebenaran Penggambaran

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2020-07-23
E-mel
Komen
Share
Penerbit kanan Al Jazeera Drew Ambrose meninggalkan ibu pejabat polis di Kuala Lumpur selepas disoal siasat mengenai dokumentari berita mengenai tindakan Malaysia menahan pendatang tanpa dokumen yang disiarkan oleh stesen penyiaran yang berpejabat di Qatar itu, 10 Julai 2020.
Penerbit kanan Al Jazeera Drew Ambrose meninggalkan ibu pejabat polis di Kuala Lumpur selepas disoal siasat mengenai dokumentari berita mengenai tindakan Malaysia menahan pendatang tanpa dokumen yang disiarkan oleh stesen penyiaran yang berpejabat di Qatar itu, 10 Julai 2020.
Reuters

Menteri komunikasi Malaysia mencetuskan kekecohan pada Khamis dengan menyatakan bahawa sesiapa yang membuat penggambaran di negara itu untuk diterbitkan di media sosial atau platform berita tradisional perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian.

Ketika wartawan dan penyokong media mempersoalkan manakala rakyat Malaysia menerusi dalam talian mempersendakan peraturan itu yang boleh menyebabkan semua orang di negara berkenaan menjadi penjenayah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah membuat penjelasan bahawa kerajaan tidak bercadang menyekat kebebasan dalam media sosial.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menilai semua undang-undang di bawah pengawasannya. Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN [Perikatan Nasional] tidak pernah dan tidak berniat  menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal,"katanya dalam satu kenyataan, yang merujuk kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981.

"Oleh yang demikian, kementerian terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja akta yang dibahaskan pada pagi Khamis tadi, malah semua undang-undang di bawah pengawasan kementerian supaya bersesuaian dengan kehendak semasa," katanya.

Awal sebelum itu, ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, Saifuddin menyatakan bahawa agensi media atau sesiapa pun yang membuat penggambaran dan menyebarkan rakaman itu melalui media sosial mesti mendapat lesen dan perakuan kebenaran mengikut undang-undang FINAS.

"Penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran, termasuklah agensi media arus perdana atau media peribadi yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi," kata menteri itu yang memetik akta 1981.

"Kerajaan menggalakkan semua orang, tua atau muda, individu atau organisasi untuk menghasilkan apa sahaja bentuk filem, seperti yang saya nyatakan tadi, asalkan ia mematuhi undang-undang," kata Saifuddin.

Saifuddin berkata demikian selepas Ahli Parlimen pembangkang Wong Shu Qi bertanya kepadanya sama ada agensi media atau sesiapa sahaja yang membuat rakaman video untuk disebarkan di media sosial atau saluran tradisional perlu mendapatkan kebenaran perbadanan kemajuan filem itu (FINAS), yang berada di bawah kementerian beliau.

Perbincangan di bangunan Parlimen itu berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh FINAS pada Isnin yang menyatakan bahawa stesen Al Jazeera tidak memohon surat perakuan kebenaran untuk merakamkan sebuah dokumentari berita mengenai tindakan Malaysia terhadap pendatang tanpa dokumen semasa pandemik COVID-19.

Dokumentari selama 25 minit yang diterbitkan oleh stesen penyiaran yang berpangkalan di Qatar itu telah membangkitkan kemarahan pihak berkuasa Malaysia, yang menganggapnya sebagai "penuh dengan tuduhan tidak berasas." Polis kemudian memanggil kru produksi berkenaan untuk disoal siasat pada 10 Julai sebagai sebahagian daripada penyiasatan berkaitan kemungkinan adanya hasutan dan fitnah.

Dalam kenyataannya pada 20 Julai, perbadanan filem itu menyatakan bahawa Al Jazeera tidak mempunyai lesen penerbitan filem dan tidak mengemukakan permohonan surat perakuan kebenaran "untuk  tujuan liputan dokumentari." Perbadanan itu menyatakan bahawa ia akan memberi kerjasama kepada polis dalam menyiasat sama ada Al Jazeera telah merakam dokumentari "tanpa lesen yang sah daripada FINAS."

Wong selepas itu mengkritik maklum balas menteri itu kepadanya di Dewan Rakyat, dan menyifatkan langkah mewajibkan undang-undang FINAS ke atas Al Jazeera bertujuan untuk "menutup  mulut pembangkang atau agensi media."

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menyokong kritikan Wong, dengan menyatakan bahawa undang-undang untuk penerbit filem itu digunakan bagi menyekat kritikan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang memegang tampuk kuasa tanpa dipilih pada awal Mac.

“Ternyata kerajaan mahukan semua pihak, tidak kira samada ahli politik, mahu pun penggiat media sosial akan dikenakan tindakan atas pelanggaran sesuatu kandungan yang mungkin tidak cocok dengan pandangan kerajaan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Reaksi wartawan, kumpulan media

Pada Rabu, Al Jazeera, dalam reaksinya kepada kenyataan perbadanan filem Malaysia, menegaskan bahawa pihaknya tidak terikat dengan undang-undang FINAS dalam mendapatkan kebenaran untuk membuat dokumentari berita.

"Apabila tidak dapat mempertikaikan integriti kewartawanan kami, kami percaya pihak berkuasa kini berusaha melakukan tuduhan baru ini dengan mendakwa kami tidak mempunyai lesen yang sepatutnya," kata Giles Trendle, pengarah urusan saluran Inggeris Al Jazeera, dalam satu kenyataan. "Kami percaya ini bukanlah penghujahan yang  yang berwibawa."

Jahabar Sadiq, CEO dan editor The Malaysian Insight, sebuah portal berita, bersetuju bahawa agensi-agensi berita tidak terikat dengan akta yang mengawal selia pembikinan filem di negara itu.

"Saya tidak bersetuju bahawa berita tertakluk di bawah FINAS. Undang-undang FINAS jelas menunjukkan bahawa ia berkaitan kemajuan industri filem atau wayang, bukannya berita atau penyiaran yang berada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, ”katanya kepada BeritaBenar.

"Saya juga tidak bersetuju bahawa dokumentari yang dihasilkan oleh agensi berita adalah kategori yang terpisah daripada berita, dan oleh itu terletak di bawah akta FINAS," katanya.

Sementara itu, kumpulan penyokong media Malaysia, GERAMM, meminta  Saifuddin supaya untuk menjelaskan komennya kepada parlimen, khususnya mengenai agensi media yang diminta untuk memohon mendapatkan lesen membuat penggambaran kepada FINAS.

Sehari sebelum itu, Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) juga menyuarakan kebimbangannya dalam reaksi kepada kenyataan FINAS mengenai kes Al Jazeera.

“Kami tidak mengetahui apa-apa syarat untuk mendapatkan izin dari FINAS untuk pembuatan video berita. Sama ada disebut sebagai dokumentari atau sebaliknya, bahan yang disiarkan di saluran berita sebelum ini tidak memerlukan izin dari FINAS, sama ada untuk agensi berita asing atau tempatan, "kata kelab akhbar itu.

“Kami tidak tahu tentang keperluan mendapatkan kebenaran daripada FINAS untuk menghasilkan video berita. Sama ada ia disebut sebagai dokumentari atau tidak, bahan yang disiarkan di saluran berita sebelum ini tidak memerlukan izin dari FINAS, baik untuk agensi berita asing atau tempatan," kata kelab media asing itu.

"Berbagai dokumentari berita telah dihasilkan dan disiarkan di saluran televisyen tempatan - termasuk media dalam negara - dan asing, tanpa isu ini berbangkit sebelum ini,” kata FCCM. "Hakikatnya bahawa isu ini kini menjadi penyiasatan jenayah adalah sangat membimbangkan dengan mengambil kira ramainya pengamal media yang telah menghasilkan produksi video pada masa lalu."

Noah Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh