Follow us

Parlimen Malaysia Lulus Pindaan Akta Hasutan Menerusi Undian Suara Awal Pagi Jumaat

Oleh Nani Yusof
2015-04-09
E-mel
Komen
Share
Penunjuk perasaan melaungkan slogan dari dalam sebuah trak polis selepas ditangkap semasa demonstrasi di luar bangunan Parlimen pada Jun 24 2013.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan dari dalam sebuah trak polis selepas ditangkap semasa demonstrasi di luar bangunan Parlimen pada Jun 24 2013.
AFP

Kemaskini pada 2.45 petang ET - 2015-04-10

Perbahasan terhadap pindaan Rang Undang-undang Akta Hasutan itu mencipta rekod apabila diluluskan selepas perdebatan lebih 14 jam, pada hari terakhir sesi pertama persidangan Dewan Rakyat, apabila pihak pembangkang gagal menyekat perbahasan pindaan akta itu.

Mereka yang dituduh menghasut boleh dikenakan penalti lebih tinggi iaitu hukuman penjara minimum tiga tahun sehingga maksimum tujuh tahun atau minimum penjara lima tahun dan maksimum 20 tahun serta tiada jaminan, berdasarkan kepada keseriusan kesalahan.

Perbahasan itu telah membuatkan kesemua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersengkang mata sebelum ianya diluluskan pada pukul 2.35 pagi Jumaat.

40 tahun akta tidak dipinda

Menurut Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, setelah 40 tahun akta tersebut tidak dipinda, Putrajaya memutuskan untuk meminda selepas melihat kepada perkembangan pengaruh media sosial di negara ini.

Menurut ringkasan pindaan Akta Hasutan, yang diterbitkan oleh agensi berita nasional Bernama, perubahan kepada undang-undang berusia 67 tahun beralih tumpuan daripada ucapan yang mengkritik kerajaan kepada ucapan yang menyinggung agama.

Di bawah pindaan itu, "kecenderungan untuk menimbulkan perasaan niat jahat, permusuhan dan kebencian atas alasan agama adalah satu kesalahan," sedangkan perbuatan yang menimbulkan kebencian, penghinaan atau rasa tidak puas hati terhadap kerajaan tidak menjadi kesalahan, menurut laporan Bernama.

Pindaan itu memberi mahkamah kuasa untuk menyekat dan menapis penerbitan dan laman web yang menghasut kebencian di negara berbilang kaum dan agama.

"Akta Hasutan bukan hanya untuk orang Islam; Ia adalah untuk keselamatan semua rakyat Malaysia, Ia bertujuan menghalang mana-mana orang yang memajukan perasaan permusuhan antara orang atau kumpulan atas dasar agama - samaada agama yang diserang adalah Kristian, Hindu, Islam atau mana-mana agama lain," kata Perdana Menteri Najib Razak dalam satu wawancara televisyen yang disiarkan malam Khamis (waktu tempatan), seperti laporan The Star Online.

"Kami tidak akan dan boleh membiarkan hasutan serta konflik antara kaum. Ini membahayakan kemajuan yang telah kita kecapi. Maka dengan itulah mengapa Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan dan menjadikannya satu undang-undang yang lebih baik dan lebih sesuai dengan masa kini, "katanya.

Kembali kesesuaian mengikut perkembangan semasa dan tidak melangkah kebelakang

Sementara itu Zahid berkata “Sudah tiba masanya untuk meneliti kembali kesesuaian akta itu mengikut perkembangan semasa di negara ini,”
Pindahan akta itu meliputi penalti lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan, sekiranya melibatkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda.

Selepas diperakukan secara bertulis oleh Pendakwaraya, bahawa kesalahan melibatkan kepentingan awam, tertuduh tidak boleh diberikan ikat jamin serta memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengambil pasport dan dokumen perjalanan antarabangsa yang lain.

Menurut menteri dalam negeri itu, keputusan mengekalkan Akta Hasutan tidak bermakna kerajaan melangkah ke belakang daripada janji untuk melakukan pembaharuan sebaliknya mencegah sesuatu yang buruk berlaku di negara ini.

Menteri itu juga turut menolak dakwaan Putrajaya akan menyalahgunakan pindaan akta itu sambil menegaskan ianya akan mengikut acuan perubahan landskap politik di Malaysia.

Sementara itu, Persuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Zeid Ra'ad Al Hussein menggesa Putrajaya untuk menarik balik cadangan pindaan kepada Akta Hasutan itu, dengan memberi amaran bahawa pindaan boleh menjejaskan kebebasan bersuara serta pendapat di Malaysia.

Beliau berkata cadangan itu juga melanggar Perlembagaan Persekutuan serta obligasi hak asasi manusia peringkat antarabangsa di negara ini, sambil melahirkan kebimbangan terhadap pembentangan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) di Dewan Rakyat pada hari Selasa.

Dewan Rakyat yang sama pada awal pagi Selasa lepas meluluskan Undang-undang Anti Keganasan (POTA), yang membenarkan pihak berkuasa menahan pengganas disyaki tanpa perbicaraan selama dua tahun serta tempoh itu boleh dilanjutkan.

Mengulas mengenai kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Putrajaya, Zahid menegaskan Malaysia tidak perlu tunduk kepada badan itu untuk mengubah pindaan terhadap Akta Hasutan.

"Kita hormati pendirian PBB dan kita anggap perkara ini boleh diberi pencerahan dengan menjelaskan tindakan ini mengikut acuan dan politik di negara yang memerlukan undang-undang berbeza. Saya pasti mereka akan faham," katanya.

Hudud akan dibentangkan pada sesi kedua Parlimen Mei ini

Sementara itu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hampa kerana Rang Undang-undang Hudud tidak beroleh ruang untuk dibentangkan dan akan dibawa ke sesi akan datang yang dijadualkan bermula 18 Mei depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab dalam urusan Parlimen memberitahu Dewan Rakyat bahawa Hudud tidak akan dibincangkan serta menafikan penangguhan rang undang-undang itu tidak mempunyai kaitan dengan tiadanya pengumuman mengenai pendirian rasmi kerajaan Barisan Nasional atau Perdana Menteri berhubung undang-undang Islam itu.

Versi awal laporan ini tidak menyebut bilangan tahun seseorang itu boleh di penjara di bawah Pindaan Akta Hasutan.

Lihat Laman Penuh