Bekas PM Najib Didakwa Dengan 25 Lagi Pertuduhan Jenayah

Ray Sherman, Hadi Azmi & Lex Radz
2018.09.20
Kuala Lumpur, Malaysia
180920-MY-Najib-Court-620.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak melambai kepada wartawan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, 20 Sept, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Khamis mengaku tidak bersalah di mahkamah terhadap 25 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit daripada dana negara yang dibelenggui skandal, 1MDB.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendakwa Najib dengan 21 pertuduhan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib tiba di mahkamah selepas beliau ditahan secara rasmi pada Khamis berhubung pertuduhan terbaru itu, dan setelah berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang malam tadi.

Mahkamah Sesyen kemudian membebaskan Najib selepas membenarkannya diikat jamin RM3.5 juta  (AS$ 845,900) dengan empat ansuran - seperti yang dimohon oleh pasukan pembelaan Najib - bermula dengan bayaran RM1 juta (AS$241,700) pada Jumaat. Najib diberi tempoh sehingga penghujung minggu depan untuk membayar sepenuhnya ikat jamin itu, kata mahkamah.

"Ikat jamin akan dibayar bermula esok dengan sebanyak RM1 juta dan seterusnya RM500,000 secara ansuran sehingga Jumaat, 28 September," kata Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Pertuduhan terbaru itu termasuklah sembilan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram, dan tujuh pertuduhan memindahkan hasil aktiviti haram kepada entiti lain.

Beliau juga didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana sebanyak RM2.3 bilion (AS$556.23 juta) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pertuduhan terbaru itu menjadikan Najib kini menghadapi sejumlah 32 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Sebelum ini, beliau dihadapkan dua kali di mahkamah bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa yang merupakan sebahagian daripada penyiasatan SPRM terhadap 1MDB, dana negara yang ditubuhkan Najib pada 2009 semasa beliau menyandang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu, dan dijadual untuk dibicarakan pada Februari 2019.

Najib, 64, yang memakai sut biru gelap, tiba di mahkamah pada 1.48 petang dengan dikawal oleh para pegawai polis dan SPRM. Beliau kelihatan letih namun tersenyum sambil melambai kepada para penyokongnya, yang dilarang memasuki ruang mahkamah.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim mengumumkan bahawa Najib ditangkap di luar ibu pejabat Unit Jenayah Perdagangan Polis Persekutuan di Kuala Lumpur, selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara.

Selepas itu, Najib mengulangi lagi bahawa beliau bukan pencuri dan pertuduhan itu dibuat bagi mencemarkan reputasi beliau.

"Kes mahkamah ini akan memberi saya peluang untuk membersihkan nama saya," kata bekas perdana menteri berusia 65 tahun itu kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Kehadirannya itu adalah yang ketiga di mahkamah bagi Najib, yang merupakan bekas presiden UMNO dan gabungan parti Barisan Nasional yang memerintah Malaysia selama hampir 61 tahun sebelum dikalahkan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sebelum ini, beliau didakwa dengan pertuduhan menerima RM42 juta (AS$10.3 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Selain itu, peguamnya Shafee Abdullah turut didakwa minggu lepas dengan pertuduhan pengubahan wang haram dan penipuan cukai melibatkan RM9.5 juta (AS$2.3 juta) yang diterimanya daripada Najib. Shafee menganggap dakwaan itu sebagai tuduhan politik dan tidak berasas.

Skandal antarabangsa


Siasatan terhadap 1MDB dibuka semula selepas kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei lalu selepas mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional yang diketuai Najib dalam pilihan raya umum. Bekas Peguam Negara, Apandi Ali, yang berkhidmat semasa pimpinan Najib, telah membersihkan beliau daripada kes itu.

Para pendakwa raya Amerika Syarikat telah memfailkan beberapa saman undang-undang dengan mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion) dicuri daripada 1MDB dan dialihkan menerusi pembelian hartanah, karya seni dan hartanah mewah oleh Najib dan rakan-rakannya. Switzerland dan Perancis turut menyiasat 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia juga sedang memburu ahli perniagaan yang dalam pelarian, Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, serta bapanya selepas kedua-duanya didakwa dengan pertuduhan tanpa kehadiran di mahkamah pada Ogos lalu.

Low, yang dikenal pasti sebagai rakan rapat Najib, didakwa dengan tiga pertuduhan menerima dana dan lima pertuduhan memindahkan dana berjumlah RM1 bilion (AS$261 juta) di bawah bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sementara itu, bapanya, Larry Low Hock Peng, yang turut menjadi pelarian, didakwa dengan pertuduhan memindahkan wang kepada anak lelakinya itu di bawah akta yang sama, kata pihak berkuasa.

Serbu rumah ibu

Dalam pada itu, pasukan penyiasatan jenayah perdagangan Polis Persekutuan menyerbu rumah Rahah Noah, ibu kepada Najib, ketika anak lelakinya itu berada di mahkamah bagi menghadapi pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa pada Khamis.

Sumber polis memberitahu BeritaBenar bahawa pasukan 14 anggota dan pegawai melakukan serbuan itu pada pukul 4 petang dan berada di sana selama kira-kira satu jam setengah untuk mencari bukti yang berkaitan dengan kes 1MDB.

Tetapi, mereka tidak mengambil apa-apa dari kediaman Rahah, dan isteri bekas perdana menteri kedua itu berada di kediamannya semasa serbuan berkenaan dilakukan.

Ketika ditanya, peguam Shafee mengesahkan tentang serbuan itu.

"Ya, mereka tidak sepatutnya menakut-nakutkan wanita itu dan mereka juga tidak menemui apa-apa pun di rumahnya," kata Shafee.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pula memberitahu media bahawa lebih ramai lagi bakal didakwa di mahkamah tidak lama lagi berhubung kes 1MDB itu.

"Lebih ramai yang akan didakwa berkaitan kes ini. SPRM akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan dan kami (SPRM) memberi tumpuan kepada mengesan wang dan aset milik 1MDB di negara-negara lain," kata Azam kepada media semasa ditemui di Kompeks Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau berkata Najib mungkin berdepan beberapa pertuduhan lain tetapi enggan mengulas lanjut.


Ali Nufael di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.