Malaysia Tidak Akan Jejas Hubungan Baik Dengan China

Hadi Azmi
2018.06.11
Kuala Lumpur
180611-MY-mahathir-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di persidanagn Antarabangsa mengenai “Masa Depan Asia" di Tokyo, Jun 11, 2018.
AP

Malaysia tidak akan mengabaikan China sebagai rakan serantau dan akan mencari jalan terbaik untuk mengekalkan hubungan mesra dengan negara gergasi tersebut melalui perbincangan dan perundingan untuk mengelakkan konfrontasi yang akan mencetuskan konflik di benua Asia, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata pada Isnin di Tokyo dalam rangka lawatan beliau ke negara Matahari Terbit itu.

Bercakap kepada pemberita di Jepun, Mahathir berkata Malaysia sudahpun membina hubungan baik dengan China seawal tahun 1974 semasa perjumpaan di antara Perdana Menteri Malaysia ke-2 Abdul Razak dan pemimpin China Mao Zedong di Beijing.

“Kita tidak boleh lari dari China. Ia relevan dalam hubungan di antara negara di rantau ini,” kata perdana menteri.

Mahathir walaupun menekankan bahawa sikap keterbukaan Malaysia dan semangat setiakawan dalam hubungannya dengan China mestilah berasaskan keadilan dan perbincangan terbuka melalui dialog, dan tidak terhutang budi dengan Beijing seperti di dalam keadaan kini.

“Kita akan berbaik dengan China tetapi kita tidak mahu terasa terhutang budi dengan China. Kita perlu mencari jalan dan cara untuk mengurangkan hutang dan mewujudkan hubungan lama dengan China sebagai rakan perdagangan yang baik,” kata Mahathir.

Mahathir dalam ucapan beliau di Jepun turut mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak dalam perundingan dengan China yang menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang yang banyak kerana projek mega yang diilhamkan oleh Najib.

“Kerajaan terdahulu gemar meminjam duit yang banyak dan hanya China merupakan negara yang sanggup memberi pinjaman yang sebegitu banyak. Malangnya sebahagian dari duit itu masuk ke dalam poket beliau,” kata Mahathir.

Antara projek mega kontroversi yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib adalah projek 55 billion ringgit (AS$13.85 bilion) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mendapat dana menerusi pinjaman dari sebuah bank di China dan juga projek Forest City di selatan tanah air yang turut dibiaya oleh China bernilai AS$100 bilion.

Dilancarkan pada tahun 2014, projek Forest City itu dibangunkan dengan kerjasama di antara syarikat berpengkalan di China, Country Garden Group, dan syarikat tempatan yang separuh dimiliki oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail.

Mahathir berkat,  kerajaan yang baru ditubuhkan dibawah pimpinan beliau tidak menyifatkan urusan tersebut sebagai pelaburan asing (FDI).

Pada tahun 2017, Mahathir mengutuk keras penjualan tanah Forest City kepada pembeli luar negara yang rata-ratanya dari China kerana ia beranggapan sebagai menjual kedaulatan negara dan memberi amaran bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara seperti Singapura.

Negara jiran Singapura telah dijual oleh British pada 1819 dan atas sebab itu menjadi satu entiti berasingan dari semenanjung Malaysia.

Kehadiran Aset Ketenteraan di Asia Tenggara

Mahathir dalam ucapan beliau mengingatkan bahawa sebelum aktiviti aktif China di Laut China Selatan dan rantau Pasifik, ianya sebelum ini didominasi oleh Amerika Syarikat dan kapal-kapalnya.

“Sekarang China mempunyai inspirasi untuk menjadi sebuah negara yang kuat dan ingin membina kapasiti ketenteraannya serta menyebarkan pengaruhnya hingga ke pelusuk Asia Tenggara,” kata Mahathir.

Malaysia walaubagaiamanapun, sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang berpendirian teguh, berpandangan bahawa benua ini tidak boleh dijadikan medan untuk pertandingan antara dua kuasa besar.

“Kita mahu jumlah kapal perang di Laut China Selatan dikurangkan termasuk di Selat Melaka. Bila kita ada kurang kapal perang, kita akan ada kurang persaingan dan kurang ketegangan,” kata beliau.

Perdana Menteri yang sudah berusia 92 tahun itu juga meminta benua ini dijadikan tempat yang bebas tenaga nuklear dan bebas ketegangan dengan mewujudkan satu blok di antara negara Asia Tenggara dan Timur Laut Asia sebagai satu kuasa untuk berurusan dengan China.

“Sebagai satu kumpulan kita boleh berurusan dengan China dengan lebih teratur tanpa konfrontasi,” kata Mahathir yang menolak segala bentuk cubaan untuk berperang dengan China.

“Saya tak rasa China nak berperang. Sesiapa sahaja yang berfikir pasal peperangan adalah gila kerana ia cuma akan membawa kemusnahan dan tidak akan membina apa-apa,” kata Mahathir.

Mahathir berada di Jepun dalam rangka lawatan 3 hari ke negara itu.            

Oh Ei Sun, seorang penganalisa di Asian Strategy and Leadership Institute berkata, Mahathir jelas sedar tentang kebangkitan China sebagai kuasa besar di rantau itu dan berkali-kali menyebut tentang realiti tersebut.

Beliau inginkan Asia Tenggara berdailog dengan China sebagai satu kumpulan. Umumnya, beliau berharap China akan menjadi suatu kuasa positif yang akan membawa pembangunan di rantau ini. Beliau jelas mempunyai pandangan tradisional apabila bercakap mengenai pelaburan asing di mana kilang-kilang akan dibina. Oleh itu beliau ingin melihat China dan negara lain meneruskan pelaburan seperti itu di negara membanguan seperti Malaysia,” kata Oh lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.