Malaysia Buka Pintu Kepada Pekerja Asing Susulan Kekurangan Tenaga Kerja

Noah Lee dan Nisha David
2021.10.22
Kuala Lumpur
Malaysia Buka Pintu Kepada Pekerja Asing Susulan Kekurangan Tenaga Kerja Buruh asing bekerja di sebuah ladang sayur di Cameron Highlands yang terletak di negeri Pahang, Malaysia, 7 Julai 2021.
[AFP]

Malaysia akan membenarkan pekerja asing memasuki negara itu semula dengan menarik balik sekatan yang dikenakan selama 16 bulan susulan pandemik koronavirus, satu langkah yang didorong oleh kekurangan tenaga buruh yang begitu mendesak terutama dalam sektor perladangan, kata Perdana Menteri pada Jumaat.

Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa negara itu akan membenarkan kemasukan pelancong asing yang lengkap vaksinasi bermula pertengahan bulan November, namun hanya di Pulau Langkawi buat permulaan dalam usaha merangsang semula industri pelancongan yang terjejas teruk di negara Asia Tenggara itu.

“Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini telah bersetuju dengan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk kemasukan pekerja asing ke Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia,” menurut Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

“Isu mengenai berapa ramai pekerja yang akan dibenarkan masuk dan dari mana akan diputuskan dalam masa terdekat.”

Kira-Kira 32,000 pekerja asing bagi sektor perladangan mungkin tiba secara berperingkat tidak lama lagi, kata menteri yang bertanggungjawab bagi sektor perladangan dan industri awal bulan ini.

Malaysia melarang pengambilan pekerja asing pada Jun 2020 dalam usaha mengutamakan penduduk tempatan mengisi peluang pekerjaan selepas ekonomi negara itu terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Ini menyebabkan kekurangan tenaga kerja di negara yang begitu bergantung kepada pekerja migran dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

Sebelum pandemik melanda, terdapat antara 1.7 dan 2 juta pekerja asing yang berdaftar di Malaysia.

Ketika ini, menurut data Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, sektor perladangan memerlukan 70,000 pekerja asing dan sektor pembinaan memerlukan 200,000 orang manakala industri perabot kekurangan 30,000 pekerja dan industri pembuatan serta sarung tangan getah memerlukan 50,000 orang.

Pekerja asing berdokumen menyumbang sebanyak 80 hingga 85 peratus daripada tenaga kerja di sektor perladangan – atau 265,000 orang – menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Nageeb Wahab, CEO Persatuan Minyak Sawit Malaysia, berkata beliau lega mendengar pengumuman PM berhubung perkara itu.

“Jika diberi peluang, semua syarikat [perladangan] akan memohon kuota optimum bagi pekerja asing. Saya percaya angkanya akan melebihi 75,000 pekerja,” katanya kepada BenarNews.

Pekerja asing perlu mematuhi protokol kesihatan yang ketat untuk memasuki Malaysia, kata Ismail Sabri.

“Mereka perlu menerima vaksinasi lengkap dengan jenis vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan menyerahkan salinan sijil vaksinasi mereka sebelum berlepas. Mereka juga dikehendaki menjalani ujian COVID-19 selepas melakukan perjalanan ke Malaysia,” katanya.

Sebaik tiba, pekerja terbabit akan dikuarantin di pusat yang diluluskan oleh kerajaan selama tujuh hari.

“Semasa kuarantin, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari kedua dan kelima,” kata PM.

Pelancong asing

Ismail Sabri turut mengumumkan berita baik untuk industri pelancongan.

Pelancong yang lengkap vaksinasi dari negara terpilih akan dibenar memasuki Pulau Langkawi di bawah program perintis selama tiga bulan yang bermula pada 15 Nov, katanya.

Perdana Menteri berkata program ini ditujukan kepada “pelancong asing berkualiti” dari negara yang berada dalam senarai diluluskan oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Projek perintis ini akan dilaksanakan selama tiga bulan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara menilai keberkesannya sebelum ia boleh diperluas ke pulau peranginan dan destinasi pelancongan lain di negara ini,” kata Ismail Sabri.

Pelancong asing akan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 72 jam daripada pelepasan, dan melakukan satu lagi ujian sejurus ketibaan. Mereka perlu dikuarantin hanya jika ujian sejurus ketibaan menunjukkan mereka dijangkiti COVID-19.

Selain itu, pelancong terbabit dikehendaki berada di destinasi pilihan mereka sekurang-kurangnya selama tiga hari, menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta memiliki liputan insurans dengan nilai minimum AS$80,000.

Seorang pakar ekonomi berkata jika orang ramai tidak mematuhi protokol kesihatan dengan sempurna, terdapat kemungkinan berlaku kenaikan dalam jangkitan COVID-19 selepas program pelancongan itu bermula. Namun pada masa yang sama, beliau berkata industri pelancongan amat memerlukan pemulihan atau kebangkitan semula.

“Ia adalah perkara yang baik untuk sektor pelancongan. Namun jika angka kes COVID-19 kembali meningkat, seperti yang berlaku di UK ketika ini, maka kita akan berdepan dengan lebih banyak masalah pada masa akan datang,” kata Nazari Ismail dari Universiti Malaya kepada BenarNews.

“Bagaimanapun, saya rasa kita tidak mempunyai banyak pilihan. Golongan yang bekerja dalam sektor pelancongan perlukan pendapatan untuk menyara keluarga mereka.”

Malaysia telah memvaksin 94.3 peratus populasi dewasa atau kira-kira 72 peratus daripada jumlah penduduknya dan dalam tempoh dua minggu lepas, jangkitan baharu harian kekal di bawah angka 10,000.

Kerajaan perlu melaksanakan protokol kesihatan lebih ketat bagi membolehkan hasil yang diperoleh daripada angka inokulasi yang tinggi tidak akan terpadam, kata Nazari.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.