Rakyat Malaysia diminta waspada risiko gelombang baharu COVID-19 semasa Aidilfitri

Kes menunjukkan peningkatan drastik lebih 87 peratus dalam tempoh 2 minggu sehingga 8 April.
Noah Lee dan Ili Shazwani
2023.04.17
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia diminta waspada risiko gelombang baharu COVID-19 semasa Aidilfitri Dua pesakit melihat ke luar jendela di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor, 16 Jan 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Beberapa pakar kesihatan Malaysia pada Isnin memberi amaran mengenai risiko berlakunya gelombang baharu penularan wabak COVID-19 ketika umat Islam di negara itu meraikan perayaan Aidilfitri yang sambutannya dijangka bermula Sabtu ini selepas angka yang direkodkan kerajaan menunjukkan peningkatan mendadak kes sejak akhir Mac.

Pihak berkuasa kesihatan dalam statistik terbaru pada 8 April menyatakan bahawa bilangan kes baharu COVID-19 telah meningkat lebih 87 peratus dalam tempoh 14 hari dengan jumlah kematian dikaitkan dengan koronavirus pula mencatat kenaikan 25 peratus manakala kemasukan pesakit ke hospital turut bertambah.

Data di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia turut menunjukkan daripada sejumlah 7,643 kes baharu COVID-19 yang dikenal pasti dalam tempoh 14 hari, sebanyak 2,536 pesakit telah dimasukkan ke hospital. Jumlah kematian pula ialah 15 orang.

Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa berkata trend peningkatan kes semasa masih tidak membebankan perkhidmatan kesihatan negara namun orang ramai perlu mengamalkan sikap lebih berhati-hati ketika di tempat awam yang sesak dan sempit termasuk ketika menyambut Aidilfitri.

“Dalam kesibukan membuat persediaan musim perayaan yang akan tiba, masyarakat digalakkan untuk memakai pelitup muka apabila hadir ke tempat awam yang sesak dan sempit di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti di bazar Ramadan dan ketika sambutan hari raya bersama mereka yang tercinta,” menurutnya dalam kenyataan pada 13 April.

Beliau turut menggesa orang ramai yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 supaya berbuat demikian terutama kumpulan berisiko tinggi bagi mengurangkan kemasukan ke hospital dan keseriusan gejala sekiranya dijangkiti koronavirus.

“Kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak,” katanya.

Strain baharu

Beberapa pakar kesihatan yang ditemu bual oleh BenarNews percaya peningkatan kes di Malaysia mungkin disebabkan oleh kemunculan strain baharu virus COVID-19 yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi.

Mereka merujuk kepada strain baharu dikenali sebagai XBB.1.5, varian COVID-19 yang sehingga kini dikenal pasti telah merebak ke 95 negara di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam laporan mingguan siri 138 yang dikeluarkan WHO pada 13 April, badan antarabangsa itu menyebut XBB.1.5 kekal sebagai varian paling berleluasa ketika ini dengan 47.9 peratus daripada kes yang direkodkan di seluruh dunia antara 20 dan 26 Mac.  

Pengamal perubatan am Ahmad Fadzil Mohamad berkata rakyat Malaysia boleh menjangkakan bilangan kes baharu COVID-19 akan terus bertambah dalam masa terdekat.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan negara menyaksikan peningkatan kes termasuk pembukaan semester baharu dan musim cuti sekolah serta penganjuran banyak karnival dan majlis keramaian akhir-akhir ini.

“Penularan virus juga boleh disebabkan oleh keadaan cuaca di negara kita yang memudahkan COVID-19 merebak serta sesiapa yang mempunyai tahap ketahanan badan lemah dijangkiti.

“Selain itu, mereka yang dijangkiti virus tetapi tidak mempunyai gejala serta mereka yang ada demam dan selesema tetapi tidak tahu mereka ada COVID-19 turut menjadi ancaman tanpa disedari,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, Ahmad Fadzil berkata kemungkinan Malaysia dilanda satu lagi krisis kesihatan seperti dialami negara pada awal pandemik COVID-19 adalah rendah  kerana majoriti rakyat telah menerima vaksin.

“Tidak mustahil (akan ada gelombang baharu) tetapi ia mungkin rendah. Terdapat banyak cara untuk kita mengekang penularan virus ini. Saya tidak dapat tekankan dengan lebih kuat lagi mengenai ini tetapi kita mesti menggalakkan supaya orang ramai terus memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembersih tangan untuk memastikan kebersihan diri.

“Orang ramai juga perlu menghindari serta mengelak daripada menyebabkan tempat menjadi sesak supaya kita dapat memutuskan rantaian jangkitan. Mereka yang pulang ke kampung untuk perayaan juga perlu membawa kit ubat bersama mereka,” katanya.

Suhaila Abdul Wahab, pakar perubatan penyakit berjangkit di Hospital Tuanku Fauziah di Perlis pula berkata orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga susulan kewujudan varian baharu COVID-19.

“Varian baharu ini corak penularannya kita masih belum tahu, maka kita kena mengamalkan sikap berjaga-jaga. Jika kita pergi ke tempat yang sempit, kita perlu memakai pelitup muka, amalkan penjagaan kebersihan diri dan sekiranya diri kita mempunyai gejala, elakkan pergi ke tempat orang ramai,” katanya kepada BenarNews.

Beliau turut senada dengan pandangan mengenai faktor yang menyebabkan bilangan kes meningkat.

Katanya ia mungkin disebabkan peningkatan bilangan pergerakan manusia terutama pada musim cuti sekolah selain sikap orang ramai yang semakin kurang mengamalkan penggunaan pelitup muka ketika di tempat awam.

“Sekarang ini kita melihat mereka yang mengenakan pelitup muka semakin berkurangan, mungkin ini juga antara sebabnya.

“Jika dilihat Malaysia sekarang pun sudah melonggarkan undang-undang dari segi arahan penggunaan pelitup muka tetapi pada pandangan saya, pelonggaran arahan penggunaan pelitup muka ketika itu adalah munasabah kerana kes sudah menurun manakala bilangan mereka yang divaksinasi telah meningkat,” tambahnya.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.