Malaysia Kesan Kes Pertama Varian Omicron Libatkan Pelajar Dari Afrika Selatan

Malaysia menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang melaporkan kes varian baharu itu selepas Singapura.
Ray Sherman dan Noah Lee
2021.12.03
Kuala Lumpur
Malaysia Kesan Kes Pertama Varian Omicron Libatkan Pelajar Dari Afrika Selatan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada 3 Dis 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah mengesan kes pertama COVID-19 membabitkan varian baharu Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Jumaat sebelum mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah yang menyaksikan kawalan lebih ketat dengan mewajibkan semua pengembara yang tiba dari luar negara serta didapati berisiko tinggi memakai peranti pengesan digital sepanjang tempoh mereka menjalani kuarantin.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan senarai negara dan benua yang telah dilanda varian itu. Pengembara dengan sejarah lawatan ke kawasan tersenarai dalam tempoh 14 hari dilarang menyertai program gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi di Kedah.

“Susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai varian Omicron pada 24 Nov lepas, KKM telah menjalankan ujian semula ke atas 74 sampel COVID-19 yang dikesan positif di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 hingga 28 Nov.

“Hasil ujian itu, Institut Kajian Perubatan mendapati bahawa salah satu sampel disyaki berkemungkinan besar adalah daripada varian Omicron,” kata Khairy dalam sidang media yang diadakan pada pagi Jumaat.

Susulan penemuan itu, pihak berkuasa kesihatan telah membuat jujukan genom terhadap sampel tersebut sebelum mengesahkan bahawa ia adalah varian Omicron pada 2 Dis.

Menurut Khairy, kes pertama itu membabitkan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun dari Afrika Selatan yang belajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak. Pelajar itu telah pulang ke negara asal untuk melawat keluarganya sebelum kembali ke Malaysia dan melalui Singapura sebelum tiba di KLIA pada 19 Nov lepas, beberapa hari sebelum WHO mengumumkan penemuan varian Omicron.

Beliau berkata pelajar itu telah mengambil ujian saringan COVID-19 sebaik tiba di KLIA dan dibenar meneruskan perjalanan ke universitinya di Ipoh di mana dia menjalani kuarantin kendiri di sebuah pangsapuri yang disediakan institusi pengajian tinggi tersebut.

Ujian saringan di KLIA didapati positif pada 20 Nov dan susulan itu, KKM mengarahkan pelajar tersebut meneruskan isolasi. Empat lagi pelajar dan seorang pemandu bas universiti yang bersama-sama kes dalam perjalanan dari KLIA ke Ipoh turut diarah menjalani kuarantin.

“Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Kes juga telah menerima vaksinasi lengkap vaksin Pfizer pada 29 Sept dan tidak bergejala,” kata Khairy sambil menambah pelajar itu dibenar menamatkan kuarantin pada 29 Nov.

Khairy juga berkata KKM telah memanggil semula pelajar itu serta tujuh kontak rapatnya untuk sekali lagi menjalani ujian saringan COVID-19 pada Jumaat bagi mengesahkan bahawa mereka benar-benar bebas daripada koronavirus. Kesemua mereka telah disahkan negatif dalam dua ujian saringan sebelum ini.

Malaysia adalah negara kedua di Asia Tenggara yang melaporkan penemuan Omicron selepas Singapura mengesan dua kes import membabitkan varian yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi itu pada Khamis.

Sejak ia dilaporkan kepada WHO oleh saintis dari Afrika Selatan pada 24 Nov lepas, varian Omicron telah dikesan di lebih 30 negara.

Ketika ini, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia masih tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Omicron namun berdasarkan laporan awal, varian itu hanya menyebabkan gejala ringan terhadap mereka yang dijangkiti walaupun berisiko tersebar dengan pantas.

‘Patuhi SOP’

Susulan penemuan varian Omicron di Malaysia, Khairy menggesa semua penduduk di negara itu agar mematuhi semua langkah dan prosedur kesihatan yang telah ditetapkan KKM bagi mencegah penularan COVID-19 seperti memakai pelitup muka di tempat awam.

“Dalam kes ini, kita berjaya mengesan rekod perjalanan pelajar berkenaan dalam tempoh satu jam sahaja.

“Sebab itu, amalan daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera adalah penting kerana ia membolehkan kita mengesan kontak rapat apabila ada kes positif,” katanya merujuk kepada aplikasi telefon pintar yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan penularan COVID-19.

Khairy berkata pelajar yang dijangkiti varian Omicron itu didapati mematuhi arahan kuarantin kerana rekod MySejahtera menunjukkan dia tidak ke mana-mana sepanjang tempoh 10 hari seperti diarahkan.

Beliau berkata Malaysia adalah antara yang masih mengamalkan protokol COVID-19 yang ketat dan beberapa negara lain kini mula mencontohi langkah itu susulan penemuan Omicron.

Awal minggu ini, Malaysia mengeluarkan sekatan sementara terhadap semua pengembara dari lapan negara Afrika serta individu dengan sejarah lawatan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari. Kelapan-lapan negara ialah Botswana, Eswatini, Lesoto, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi.

Pada sidang akhbar itu, Khairy turut mengumumkan bahawa semua pengembara yang tiba di KLIA dari negara berisiko tinggi menularkan varian Omicron wajib memakai alat pengesan digital sepanjang tempoh mereka menjalani kuarantin. Peranti itu akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan memantau keberadaan mereka sepanjang masa dan memastikan mereka tidak melanggar arahan isolasi.

Alat itu, yang akan dipasang di pergelangan tangan pengembara, telah digunakan oleh pihak berkuasa sebelum ini bagi memantau individu yang menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Mengulas inisiatif Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura, Khairy berkata program itu akan diteruskan buat masa ini namun kerajaan telah menetapkan arahan tambahan supaya peserta menjalani ujian saringan di klinik pada hari ketiga dan ketujuh.

‘Jangan Panik’

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Koh Kar Chai pula berkata orang ramai tidak perlu panik ekoran penemuan varian Omicron di negara ini.

“Kita tidak patut panik kerana masih banyak belum diketahui mengenai Omicron tetapi kita mesti terus berwaspada dan mengamalkan SOP serta mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya kepada BenarNews ketika dihubungi pada Jumaat.

Koh berkata beliau yakin Malaysia mampu mengharungi cabaran itu berbekalkan pengalaman mendepani COVID-19 sejak hampir dua tahun serta kepimpinan negara dan masyarakat yang bertanggungjawab.

Beliau turut menolak langkah penutupan sempadan negara hanya kerana Omicron dikesan di Malaysia.

“Pengalaman telah menunjukkan bahawa penutupan sempadan tidak menjamin bahawa Omicron tidak akan dapat masuk. Apa yang terbaik ialah memperketat langkah kesihatan awam di semua pintu masuk negara,” katanya.

“Harap ada tindakan drastik daripada kerajaan Malaysia mengenai Varian Omicron ni. Penatlah kena hadap benda sama. Tapi tolong jangan tutup sempadan domestik. Benarkan kami bernafas bebas,” kata seorang rakyat Malaysia, ZaiedSyaf, di Twitter.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.