Mengapa Malaysia menentang anugerah perjanjian $15 bilion berhubung tanah era kolonial

Lapan waris Sultan Sulu dakwa Malaysia berhutang dengan mereka kerana melanggar perjanjian tanah pada 1878.
Iman Muttaqin Yusof, Ray Sherman dan Shailaja Neelakantan
2023.04.20
Kuala Lumpur dan Washington
Mengapa Malaysia menentang anugerah perjanjian $15 bilion berhubung tanah era kolonial Anggota tentera Malaysia melepaskan tembakan mortar ke arah sekumpulan lelaki Filipina yang bersenjata di Kampung Tanduo dalam negeri Sabah, Malaysia, 8 Mac 2013.
[Kementerian Pertahanan Malaysia/AFP]

Ketika Malaysia menamakan seorang warga Filipina berusia 69 tahun sebagai pengganas minggu lepas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan ke atas negara itu pada 2013, para pemerhati pada mulanya tertanya-tanya mengapa ia perlu menunggu sehingga10 tahun untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, ternyata tindakan menamakan Muhammad Fuad Abdullah Kiram sebagai pengganas bukanlah semata-mata berkisarkan kepada insiden serangan di Sabah yang berlaku hampir sedekad lalu, kata seorang pegawai kerajaan Malaysia secara terbuka.

Sebaliknya ia lebih kepada tindakan “untuk menyerang” kumpulan lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu yang mengintai peluang untuk meraih ganjaran lumayan iaitu hampir US$15 bilion daripada aset Malaysia bagi menyelesaikan isu perjanjian tanah era penjajah.

Kesultanan Sulu adalah sebuah kerajaan kecil yang sebelum ini terletak di selatan Filipina dan sebahagian daripadanya kini berada dalam Malaysia iaitu negeri Sabah yang kaya dengan hasil minyak

Fuad Kiram adalah antara anggota kumpulan itu yang mendapat award US$14.9 bilion dalam proses timbang tara terhadap Malaysia daripada sebuah mahkamah di Perancis atas alasan negara Asia Tenggara itu telah menghentikan pembayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tanah pada abad ke-19 itu.

Paul Cohen, peguam utama yang mewakili waris bekas Kesultanan Sulu dalam proses timbang tara itu, berkata Malaysia kini sudah tiada pilihan dan itulah sebabnya ia terpaksa mengambil tindakan menamakan Fuad Kiram sebagai pengganas pada 11 April lepas.

“Sudah tentulah Fuad Kiram bukan seorang pengganas dan sudah tentu Malaysia mengetahui perkara ini. Mereka hanya mengada-adakan perkara ini dalam keadaan terdesak kerana setiap helah lain gagal,” kata Cohen kepada BenarNews.

Ketika taklimat media pada 11 April lepas, wartawan bertanya kepada Khairul Dzaimee Daud, seorang pegawai di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengapa kerajaan mengambil masa 10 tahun untuk menamakan warga Filipina itu sebagai pengganas. Beliau berkata prosedur undang-undnag perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum klasifikasi sedemikian boleh dibuat.

Turut dibangkitkan ialah persoalan mengapa hanya Fuad Kiram dinamakan sebagai pengganas dan bukan yang lain daripada kumpulan lapan individu terbabit yang juga mungkin menjadi sebahagian daripada Tentera Diraja Sulu yang melakukan serangan pada 2013.

BenarNews telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan butiran lanjut namun belum menerima sebarang maklum balas.

Apa yang Malaysia katakan ialah kerajaan negara itu telah membelanjakan $7 juta dalam pertikaian undang-undang itu termasuk kos bagi wakil undang-undang antarabangsa, terjemahan, penyelidikan sejarah dan isu berkaitan. Ia juga telah mewujudkan satu laman sesawang antarabangsa, yang mewakili pihak kerajaan bagi kes itu dalam lima bahasa.  

Selain itu, kumpulan yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merancang untuk melawat Perancis, Sepanyol, Luxembourg dan Belanda di mana kes timbang tara itu popular/dibincangkan… untuk memaklumkan pendirian Malaysia kepada mahkamah di sana.

Tommy Thomas, bekas Peguam Negara Malaysia, berkata negara itu boleh mengemukakan hujah bahawa geran 1878 tidak lagi sah selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1963. [Vincent Thian/fail Associated Press]
Tommy Thomas, bekas Peguam Negara Malaysia, berkata negara itu boleh mengemukakan hujah bahawa geran 1878 tidak lagi sah selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1963. [Vincent Thian/fail Associated Press]

Mengapa Malaysia perlu bayar kepada waris Kesultanan Sulu?

Pada tahun 1878, atas sebab-sebab yang tidak diketahui, Sultan Sulu ketika itu telah membuat perjanjian dengan dua lelaki, yang merupakan wakil syarikat Borneo Utara British, yang menyerahkan kedaulatannya kepada sebahagian besar Borneo Utara, kini dikenali sebagai Sabah dan merupakan sebahagian daripada Malaysia.

Sebagai balasan, syarikat itu akan membayar ‘wang penyerahan’ sebanyak 5,000 dolar perak setahun, yang merupakan matawang ketika itu, kepada Sultan Sulu dan pengganti beliau buat selama-lamanya.

Selain itu, pada 1903, Sultan Sulu menyerahkan beberapa buah pulau lagi kepada kerajaan Borneo Utara British pada harga $300. Apabila kerajaan British menjadi pengganti kepada Syarikat Borneo Utara British, ia mula membayar $5,300 setahun kepada waris Sultan Sulu.

Malaysia mendapat kemerdekaan daripada British pada 1963 dan itu adalah peluang untuk membebaskan diri daripada membuat bayaran itu, kata bekas Peguam Negara Tommy Thomas tahun lepas dalam artikel yang disiarkan oleh sebuah media tempatan.

“Bapa pengasas kami boleh dengan mudah berhujah bahawa geran bagi perjanjian 1878 adalah satu peninggalan penjajah yang tidak mengikat persekutuan baharu dan kewajipan tahunan untuk membayar pampasan akan kekal dengan pihak British,” tulis Thomas dalam artikel yang disiarkan oleh The Edge Markets pada Julai 2022.  

“Malangnya, persekutuan baharu sebaliknya mengambil alih kewajipan perundangan kuasa penjajah yang berundur untuk membayar pampasan tahunan tanpa teragak-agak atau bantahan. Malaysia membuat pembayaran itu setiap tahun dan tanpa gangguan sehingga 2013.

Pada tahun-tahun itu, Malaysia membayar amaun tahun sebanyak RM5,300 ($1,236) kepada wakil individu yang dikatakan waris Kesultanan Sulu yang tinggal di Pulau Jolo di Filipina, demikian menurut pakar sejarah Malaysia Shari Jeffri.

Shari yang merupakan Ketua Pusat Penyelidikan Sejarah Borneo Utara, berkata terdapat kekeliruan berhubung matawang yang digunakan sebelum ini. Beliau berkata dolar ketika itu ialah dolar Malaya yang bertukar kepada ringgit.

“Jumlahnya kekal sama meskipun terma yang digunakan untuk merujuk kepada matawang telah diubah,” kata Shari kepada BenarNews.

Individu yang mendakwa sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, kiri, mengadakan sidang akhbar di samping anak perempuannya, Puteri Jacel, di Manila, Filipina, 1 April 2013. Pencerobohan itu diketuai oleh adik Kiram iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram. [Aaron Favila/Associated Press]
Individu yang mendakwa sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, kiri, mengadakan sidang akhbar di samping anak perempuannya, Puteri Jacel, di Manila, Filipina, 1 April 2013. Pencerobohan itu diketuai oleh adik Kiram iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram. [Aaron Favila/Associated Press]

Mengapa Malaysia menghentikan bayaran kepada waris Sultan Sulu?

Pada 11 Feb 2013, kumpulan yang dianggotai lebih 200 lelaki bersenjata digelar Tentera Diraja Sulu  telah memasuki daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina dalam usaha untuk menawan negeri itu.

Pencerobohan pada 2013 itu membawa kepada pertempuran dengan anggota keselamatan Malaysia telah berlanjutan selama lebih enam minggu, demikian menurut kertas kerja yang dihasilkan oleh Jasmine Jawhar dan Kennimrod Sariburaja pada 2016 untuk Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan.

Sepuluh anggota pasukan keselamatan Malaysia, enam orang awam dan 68 anggota RSF terkorban dalam pertempuran itu.

Para penceroboh telah membuat tiga tuntutan, menurut Jawhar dan Sariburaja.

“Pertama, Malaysia harus mengiktiraf Kesultanan Sulu. Kedua, Malaysia harus mengakui bahawa sebahagian daripada Sabah adalah milik Kesultanan Sulu dan ketiga, kumpulan itu mendesak agar Malaysia membayar sejumlah $7.5 bilion sebagai pampasan kepada mereka kerana Malaysia, pada pandangan mereka, telah menduduki Sabah sejak tahun 1963,” kata kedua-dua pengarang.

Kumpulan militan itu diketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram, yang merupakan abang kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III, kata kedua-dua pengarang.

Malaysia tidak melayan sebarang tuntutan ini dan melabel penceroboh terbabit sebagai pengganas. Pentadbiran Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu juga bertindak menghentikan pembayaran pampasan tahun sebanyak $1,236 yang telah dibayar oleh kerajaan sebelum ini sejak 1963 kepada waris Sultan Sulu.

Meskipun kerajaan Najib tidak secara rasmi menyatakan bahawa pencerobohan itu adalah sebab pembayaran itu dihentikan, beliau sering melontarkan pertanyaan mengapa waris Sultan Sulu harus dibayar selepas apa yang mereka lakukan pada tahun 2013 di laman Facebooknya.

Individu yang dikatakan waris Sultan Sulu telah menafikan sebarang penglibatan dalam pencerobohan itu dan kumpulan yang terbabit dalam proses timbang tara berkenaan turut mengutuk serangan tersebut, lapor agensi berita Reuters.

Selepas pencerobohan itu, kerajaan Perdana Menteri Najib Razak [seperti yang kelihatan di sini] menghentikan pembayaran pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu. [Vincent Thian/fail Associated Press]
Selepas pencerobohan itu, kerajaan Perdana Menteri Najib Razak [seperti yang kelihatan di sini] menghentikan pembayaran pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu. [Vincent Thian/fail Associated Press]

Mengheret Malaysia ke mahkamah

Empat tahun selepas Malaysia menghentikan pembayaran pampasan kepada waris Sultan Sulu, sekumpulan individu yang mengaku sebagai keturunan Sultan Sulu memutuskan untuk memulakan proses timbang tara di sebuah mahkamah di Eropah dengan sokongan kewangan daripada yayasan litigasi global British yang dikenali sebagai Therium Capital Management Ltd.

Tindakan perundangan yang cuba diambil mereka ialah berdasarkan perjanjian pada 1878 dan mendakwa bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian itu apabila tidak membayar pampasan sejak 2013.

Mahkamah di UK dan kemudian di Sepanyol telah menolak percubaan waris Sultan sulu terbabit untuk proses timbang tara terhadap Malaysia yang kemudian menyaksikan kes itu dibawa sehingga ke Perancis sebelum berakhir di mahkamah timbang tara di Paris.

Pada Februari tahun lepas, mahkamah di Paris itu telah memerintahkan Malaysia untuk membayar hampir $15 bilion kepada kumpulan itu sebagai pampasan kerana gagal membuat bayaran sejak 2013. Jumlah itu termasuk penilaian tanah di Sabah dan sumber aslinya seperti minyak dan gas.

Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian asal, bekas Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas berkata pertikaian itu harus diselesaikan oleh Konsular Jeneral Baginda Raja British bagi Borneo yang tidak lagi wujud namun peranannya telah diambil alih oleh Mahkamah di Sabah.

Justeru, Malaysia tidak akan mengiktiraf perintah itu yang disifatkan sebagai tidak sah di sisi undang-undang. Susulan itu, pada Julai lepas, Mahkamah Rayuan di Paris telah mengeluarkan perintah bagi menggantung keputusan timbang tara itu kerana penguatkuasaannya mampu menggugat kedaulatan Malaysia.

Kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu telah mencabar penggantungan itu namun mahkamah mengekalkan keputusan tersebut pada Mac.

Pemandangan Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah yang terletak di Kepulauan Borneo di bahagian Malaysia, semasa matahari terbenam, 17 Sept 2012. [Bazuki Muhammad/Reuters]
Pemandangan Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah yang terletak di Kepulauan Borneo di bahagian Malaysia, semasa matahari terbenam, 17 Sept 2012. [Bazuki Muhammad/Reuters]

‘Duluan yang bahaya’

Meskipun terdapat penangguhan award hampir $15 bilion itu, firma minyak negara Malaysia iaitu Petronas pada Februari telah mengesahkan menerima perintah sitaan terhadap dua unit asetnya di luxembourg dalam percubaan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakannya.

Menurut Reuters, meskipun perintah itu ditangguhkan di Perancis, ia tetap dikuatkuasakan di luar negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketika itu, Petronas berkata ia akan terus mempertahan kedudukannya. BenarNews telah menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung sitaan itu namun belum menerima maklum balas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan baharu Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan berusaha sedaya upaya untuk mencabar keputusan proses timbang tara itu kerana tuntutan kumpulan terbabit tidak mempunyai asas manakala isu kedaulatan tidak boleh diputuskan oleh penimbang tara komersial. 

“Idea bahawa seorang penimbang tara komersial boleh mencabar kedaulatan kita adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Yakinlah bahawa kerajaan kita akan menentang kesemua tuntutan ini,” katanya di Parlimen bulan lepas.

Sementara itu, Filipina pada Ogos lepas dilihat mengambil tindakan untuk menjauhkan diri darupada kes itu dan menyifatkan ia sebagai “tuntutan yang bersifat peribadi antara dua pihak dan tidak melibatkan Manila.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula memaklumkan BenarNews bahawa kes itu boleh menjadi contoh yang berbahaya.

Undang-undang antarabangsa sedang melalui satu trend di mana terdapat perbezaan yang jelas antara undang-undang antarabangsa yang bersifat secara am atau peribadi yang sengaja dikaburkan dan menjadikan ia lebih mudah bagi entiti bukan rasmi mengheret mana-mana negara ke mahkamah atau tribunal timbang tara, dan menguatkuasakan penghakiman atau award terhadap mereka,” katanya.

“Sekiranya kes ini memihak kepada kumpulan Sulu, ia akan menjadi satu duluan yang bahaya dalam undang-undang antarabangsa dan bakal terus menghakis kedaulatan atau kekebalan undang-undang sesebuah negara.” 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.